Sunday, July 17, 2011

Hari guru,kau kunci…….. PINTU hatiku

oleh,
Lailatun Zalaliah binti Hussain­
SMK Ahmad, Pekan

Mengimbau……
Ingatan tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi semua guru.
Setiap guru semestinya ternanti-nanti akan tibanya hari yang istimewa itu. Tidak tahulah pula jika ada guru yang cuba mengelak daripada hadir ke sekolah pada hari yang diraikan itu. Bagi diriku itulah satu-satunya hari di mana semua guru akan diraikan dan menerima hadiah tak kira nilainya murah atau mahal. Diriku akan sentiasa menerimanya dengan hati yang ikhlas dan gembira. Balik sahaja ke rumah diriku akan terus membuka hadiah-hadiah yang diterima. Lantas diriku akan mempamerkan kepada anak-anak dengan senyuman tanda kegembiraan. Memori ini dirakamkan semasa diriku bertugas di SMK AHMAD,PEKAN pada tahun 2011.
Peluang penyertaan.......
Diriku tidak akan melepaskan peluang menyertai aktiviti  yang diadakan. Selain daripada menyediakan pakaian terbaik untuk dipakai di pagi hari sambutan itu diriku juga telah menyediakan pakaian sukan atau pakaian lebih kasual sehari sebelumnya agar tidak terlupa dibawa pada hari esoknya. Jika diminta untuk membuat persembahan, diriku tidak akan teragak-agak untuk menyertainya. Inilah hari di mana semua guru dapat bersama-sama menunjukkan bakat yang tidak seberapa ada dalam diri  seorang guru terutama diriku ini.
Memori…….            
Memori yang dirakamkan ini merupakan satu daripada seribu peristiwa yang dialami oleh diriku ini semenjak menjawat jawatan sebagai pengetua. Terlalu banyak yang hendak dikongsikan tetapi apakan daya diriku ini tidak pandai untuk meluangkan masa untuk menulis. Saat ini dikuatkan hati, bertekad dan berazam untuk pasti merakamkan memori teristimewa ini. Walaupun banyak kritikan diterima daripada anak-anak terutama apabila diriku hendak mendapatkan idea dan isi cerita untuk lebih menarik, diriku terus menulis. Degil tetapi kuat semangat.
Tibalah hari yang ditunggu...
Seperti yang dirancang, tepat jam lapan pagi, diriku keluar dari bilik. Semua Guru Penolong Kanan SMK Ahmad telah menunggu di luar pejabat. Sejurus saja melangkah keluar mereka mengucapkan ”Selamat Hari Guru, Puan” secara serentak. Terkejut juga dibuatnya. Diriku pun dengan spontan menjawab, ”Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu!”  Ditambah dengan kata-kata pujian ”Cantik awak hari ini!” kepada kelima-lima Guru Penolong Kanan.  Kami pun berjalan menuju ke barisan guru-guru yang telah bersedia menunggu dengan diiringi bunga manggar dan edaran kertas selawat menuju ke dewan Jubli  Sultan Ahmad Shah sekolah.  Jauh juga kaki melangkah dan tangan dihayun sambil memegang kertas selawat. Setibanya di dewan diriku disambut dengan tepukan dan senyuman. Sekali lagi terkejut dengan sambutan itu.
Majlis dimulakan.........sesi pertama,
Majlis diteruskan mengikut perancangan. Atur cara berjalan lancar dan teratur.  Persembahan klip video ditayangkan oleh jawatankuasa badan ketua kelas. Tidak disangka banyak aksi yang dapat dipaparkan walaupun musim peperiksaan pertengahan tahun sedang diadakan. Banyak aksi-aksi lucu dan mencuit hati dipaparkan. Antaranya adalah diriku menyertai acara berbasikal sejauh lapan kilometer mengikut trek merentas desa putera Ahmadian, mengelilingi Istana dan padang polo serta bandar Pekan.
Acara pada pagi itu diteruskan dengan membacakan teks ucapan Ketua Pengarah Pelajaran oleh Cikgu Ismail, kemudian teks ucapan Menteri Pelajaran dibacakan oleh Cikgu Rosli dan diikuti pula ikrar yang diketuai oleh Cikgu Hamdan. Manakala lagu hari guru  pula dinyanyikan secara beramai-ramai dengan penuh semangat dan berkeyakinan tinggi. Majlis pada pagi itu diakhiri dengan ucapan perasmian, memotong kek dan sesi bergambar. Cikgu Khairul Affendi dan Cikgu Hazrin telah menyediakan kelengkapan peralatan jurufoto. Tidak kurang hebatnya kedua-dua jurufoto lantikan sekolah ini. Seperti biasa acara padang diadakan selepas acara dewan.
Sesi kedua.......
Diriku segera bergegas menukar pakaian rasmi kepada pakaian sukan, dan lantas menyertai aktiviti sukaneka. Ada  enam acara kesemuanya. Aduh..., antara acara yang memenatkan pada hari itu adalah acara meniup belon dan salah seorang ahli akan duduk di atas belon dan diletupkan sebanyak yang boleh. Pening sungguh dibuatnya. Maklumlah belum bersarapan pagi. Cuma sempat minum susu dan bijirin ringan seawal enam pagi. Tapi apa-apa pun tetap segar dan bertenaga. Memang berpeluh juga dibuatnya. Setiap pasukan memberikan sorakan moral dan tepukan semangat kepada ahli-ahlinya. Terasa tekanan kerja pada hari itu dapat dilepaskan. Semua murid menyaksikan acara yang santai tetapi berperaturan itu dengan gelak dan ketawa.
Acara padang tamatlah sudah....
Tibalah sesi ketiga, iaitu persembahan pentas dan anugerah guru.
Dimulakan dengan persembahan murid mengikut tingkatan dan diikuti oleh pemberian hadiah daripada wakil ketua kelas serta unit-unit lain. Terima Kasih Cikgu! Itulah ungkapan yang kedengaran. Gembira dan terharu juga apabila guru dihargai oleh murid-murid sebegitu rupa.
Acara diteruskan lagi, dengan persembahan daripada kumpulan guru-guru. Nyanyian ”’Bila larut malam”, ”Jasa ibu dan ayah”, ’’Kalau  Berpacaran’’, dikir barat, boria dan  syair  menjadi pilihan persembahan guru. Bermacam-macam gaya dan cara guru-guru menyampaikan persembahan mereka. Ada yang berkaca mata hitam, berpegangan tangan dan menyanyi cara berkaraoke. Murid-murid dikejutkan dengan persembahan diriku yang menyampaikan lagu ”Kalau Berpacaran ” berduet dengan guru muzik secara berkaraoke dan latar korus oleh guru-guru sepasukan. Kedengaran murid-murid memberikan sorakan dan tepukan yang bergemuruh. Diriku menerima beberapa hadiah berupa bunga-bungaan dan bungkusan daripada murid-murid ketika menyampaikan lagu keramat itu. Rasa terharu bercampur gembira kerana persembahanku dihargai juga. Diriku mendapat maklumat bahawa kebiasaannya pengetua tidak naik ke pentas memberikan persembahan sempena sambutan Hari Guru. Malu juga dibuatnya sebab tidak di dalam pengetahuan diriku perkara ini. Niat bukan untuk menunjuk tetapi hanya sekadar memberi sokongan padu pada hari itu. Sekadar kata orang‘’ sportinglah pengetua”,itu saja.
Sesudah memberikan persembahan diriku diminta menyampaikan hadiah anugerah berbagai kategori guru. Kategori guru yang disampaikan adalah, guru paling bergaya, kategori guru inovatif, guru ceria, guru prihatin, guru popular dan guru penyayang. Cara jawatankuasa majlis mempamerkan keputusan dibuat melalui tayangan slaid berkaitan pencalonan semua guru yang layak dan kemudian dihilangkan daripada tayangan gambar-gambar calon undian terendah sehingga kepada calon tertinggi undiannya akan diumumkan nama dan gambarnya. Amat menarik! Penuh debaran.
Anugerah….
Guru Inovatif dianugerahkan kepada Cikgu Faizah, Guru Ceria kepada Cikgu Norhisham, Guru Penyayang kepada Ustazah Najihah, Guru Prihatin kepada Cikgu Nik Nurzaitun, gelaran Guru Popular  sekali lagi dianugerahkan kepada Cikgu Norhisham dan Guru Paling Bergaya kepada …? Itulah yang dikatakan rezeki. Agar anugerah itu akan sentiasa menjadi ingatan yang segar dalam diri kalian Ahmadian. Walaupun sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan tengah hari di Kamar Ulum, ada lagi memori indah yang hendak dikongsikan bersama. Tunggu dikemuncak memori.
Kemuncak memori…
Dalam kegembiraan pasti ada kesedihan. Setelah selesai jamuan, diriku pun beredar
ke pejabat untuk menguruskan hal-hal di pejabat. Seperti biasa aku mengerjakan solat serta berehat seketika sebelum menyambung kerja-kerja pejabat. Tiba-tiba diriku terasa hendak melepaskan hajat. Dengan pantas diriku  berjalan meluru ke kamar selesa yang terletak di dalam pejabat sahaja. Malang tidak berbau, kamar selesaku tidak boleh dibuka setelah pelbagai cara dicuba. Ketika itu hanya diriku dan seorang pembantu pejabat, Puan Noraida sahaja yang ada. Pada saat itu diriku terpaksa menahan diri daripada pergi ke kamar selesa. Kami buntu. Sejenak kemudian, Cikgu Mohd Yusnizam ( Cikgu Yus, warden asrama) datang ke pejabat dan kami sempat meminta pertolongan. Dicuba beberapa kali akhirnya, Alhamdulilah, pintu kamar selesa dapat dibuka. Amin.... Aku pun mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepadanya, kerana jika tidak sudah tentu pintu hanya boleh di buka selepas jam dua petang. Sebaik saja selesai diriku menutup pintu serta lampu untuk solat dan berehat. Alangkah malangnya nasib pada hari itu perkara yang tidak disangka berlaku lagi apabila pintu kamar selesa terkunci dari dalam pula. Ya ALLAH! Apa yang harus dilakukan ini? Sambil beristighfar dan mohon petunjuk daripada Yang Maha Esa, diriku cuba pelbagai cara untuk membuka pintu dari dalam. Tiada apa yang dapat digunakan selain daripada kertas tisu dan sabun. Keadaan kamar itu kedap bunyi, tiada berlubang dan dindingnya tebal. Tidak ada cara lain untuk mengetuknya selain daripada menggongcang pintu dengan sekuat kuat tangan dan kaki  dari dalam. Tiada seorang pun mendengar goncangan dan ketukan itu. Semua  staf  sedang berehat ketika itu. Nasib menyebelahi diriku, selepas berusaha dalam beberapa minit ada pembantu pejabat, Puan Nora yang sudah mula meneruskan tugasnya terdengar bunyi hentakan yang bertubi-tubi itu. Puan Nora menghubungi semula Cikgu Yus dan pekerja rendah am yang lain untuk membantu. Lambat juga untuk mendapatkan bantuan mereka. Mungkin mereka fikir tiada kerja mustahak hendak dibuat pada petang itu memandangkan sekolah pada hari itu diadakan dalam satu sesi sahaja.
Berdebar-debar.....
Puan Nora tidak dapat mencari kunci pintu bilik pengetua. Nasib baik Cikgu Yus datang semula untuk berurusan di pejabat.  Selepas menunggu selama lebih kurang empat puluh minit,  pintu bilik dapat  dipecahkan oleh Cikgu Yus tetapi masih tidak dapat masuk untuk membuka pintu kamar selesa. Hanya dapat mematahkan pemegangnya saja. Kelakar sungguh! Tidak lama kemudian Cikgu Hassan (GPK Tg 6, juga merupakan warden asrama) sampai dan ikhtiar yang dapat difikirkan ialah mencungkil cermin tingkap disebelah pintu masuk bilik pengetua lalu memanjat masuk untuk memecahkan pula pintu kamar selesa. Lantas Cikgu Hassan meluru masuk menuju ke kamar selesa dan melaung meminta untuk berada jauh dari pintu. Kedengaran hentakan dan ketukan yang kuat dari luar kamar selesa ke arah diriku. Berdentum dentam! Ketukan yang amat kuat sebanyak tiga empat kali baru terkopak.
Pertanyaan...
”Puan tidak apa-apakah?” tanya Cikgu Hassan. Diriku terdiam sahaja, memikirkan nasib badan pada hari itu. Sambil berjalan keluar, diriku bertanya kepada Cikgu Hassan ”Bagaimana cara masuk tadi?”. ’’ Ikut cermin tingkap” jawab cikgu Hassan. Ada tiga orang pekerja  menunggu di luar bilik. Mereka hanya diam sahaja. Mungkin tidak tahu apa yang hendak ditanya. Cuma ada seorang menyapa. ”Saya bimbang pengetua pengsan dalam tandas itu” sapa Haji Harun, pekerja rendah am sekolah. Difahamkan rupanya, kamar selesa itu adalah bilik kebal pada asalnya. Patutlah..... Memang kebal sungguh!
Syukur!
Semuanya selamat.  Alhamdulilah. Lantas diriku berkata dan  mengingatkan semua staf agar menyimpan kunci pejabat dengan selamat dan mengikut peraturan. Perkara kedua pula diingatkan tidak tinggal seorang diri dalam pejabat dan perkara ketiga  jangan berasa terlalu gembira, kerana akan ada musibah menimpa.  Amin!


Tuesday, July 5, 2011

ANTAH DALAM NASI, ANTAH DALAM BERAS

Oleh Yahya bin Zainal Abidin

Seawaktu hendak menyuap nasi, tiba-tiba ternampak antah di celah nasi, apa nak buat?
Kalau ditelan juga alamatnya memudaratkan perut. Kulit antah yang tajam boleh melukakan dinding usus. Kalau sabar, ketepikan antah itu. Ada orang merungut kepada isteri, akibatnya boleh bermasam muka. Kasihan kepada isteri ye. Jangan-jangan isteri mengesat air mata sewaktu membasuh pinggan?

Antah dan melukut dalam beras
Ingat tak waktu emak kita nak menanak nasi dulu. Ditampinya beras itu dalam nyiru, akhirnya antah dan melukut berkumpul di suatu bucu. Lepas itu antah dan melukut itu di keluarkan. Selalunya taburkan antah dan melukut itu ke laman rumah, maka berebutlah ayam.
Emak saya lain sikit, disimpannya antah itu di dalam bujang. Beberapa hari kemudian dapat segengam. Emak dan jiran-jirannya mengumpulkan antah itu hingga dapat segantang. Lepas itu mereka tumbuk menggunakan lesung tangan, akhirnya dapatlah beras kelas dua, bentuknya kompot dan patah. Orang hari ini kata beras B2. Tiada siapa yang mahu. Emak gunakan pengisar, akhirnya jadi tepung beras. Tepung dijemur hingga kering. Beberapa minggu kemudian emak bersama Mak Andak dan Maklum Minah bergotong royong buat kueh putu dengan menggunakan tepung beras itu yang diadunkan dengan sedikit gula. Kueh putu  nampak cantik dan putih. Terasa berselera nak makan, tetapi emak suruh hantar ke setiap rumah jiran dulu.

Kreativiti dan inovasi sebenarnya telah dilakukan oleh orang tua kita.

Untuk melangkah maju, kita tidak sanggup nak tinggalkan budak-budak yang tercicir itu, kita mahu jadikan mereka lulus dan pandai. Kalau mereka boleh beralih dari E kepada D dan yang D beralih ke C sudah cukup baik. Boleh mengecilkan GPS juga. Lebih mulia dari itu, haluannya kita cuba betulkan. Ingat, “Tersilap seinci di pelabuhan, akan tersasar beribu batu di lautan.”

Antah bukan setakat boleh jadi beras tetapi boleh dijadikan kueh yang kelihatan cantik dan sedap. Kita ulang balik apa yang emak kita lakukan dahulu, pasti berjaya.

Cerita antah ini banyak terdapat dalam Memori Pengetua Pahang.

Monday, July 4, 2011

DARI KAKI GUNUNG TAHAN

Cikgu Azizah binti Abu Bakar

“Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zaman mereka”.
Kata-kata hikmah Khalifah Ali bin Ab Talib menjelma di minda sebaik sahaja menerima surat lantikan sebagai Pengetua pada 1 Julai 2006.

            “Sekarang cikgu adalah Ketua Jabatan/ Pengetua bukan lagi Guru Penolong Kanan  Hal Ehwal Murid. Oleh itu bergurulah untuk menjalankan tanggungjawab ini”. Pesan Pegawai Pelajaran Daerah yang masih menjadi pedoman untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin sekolah.
            Berpandukan dua pernyataan tersebut, aku bersedia untuk menjalankan tangungjawab sebagai Pengetua. Bukan mudah untuk menerajui sebuah institusi tanpa ilmu., kemahiran dan nilai yang bersesuaian dengan kehendak organisasi pendidikan. Dengan tekad, aku berguru dokumentasi mengurus sekolah dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Damak. Berdasarkan pembacaan, perbincangan dan bimbingan kedua-dua rakan sejawat, maka bermulalah proses menyemak, mengemaskini dan penyediaan dokumen pengurusan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.
            Alhamdulillah dengan kerjasama erat seluruh warga sekolah, aku berpeluang mendekati budaya dokumentasi dengan tepat dan cepat. Amalan CPO dalam kalangan Guru Penolong Kanan dan guru terserlah biarpun tanpa Pengetua selama 6 bulan (Januari - Jun 2006). Dengan sikap komited dan komitmen seluruh warga sekolah, aku selaku Pengetua baru menerajui penambahbaikan pemurnian dokumentasi pemantauan, penilaian dan kajian tindakan program pengurusan sekolah bagi melonjakkan pencapaian sekolah dalam sahsiah, kokurikulum dan akademik.

PERJALANAN SEORANG GURU

Oleh: Edah binti Salim
SMK Temerloh

          Hatiku gusar berdebar dan selalu aku memikirkan tentang suatu perkara. Perkara yang sangat penting yang akan menentukan arah tuju perjalanan hidupku seterusnya. Hatiku gusar tentang penempatan guru baru. Bimbang, aku akan dihantar bertugas jauh ke negeri lain atau di pedalaman. Namun bagiku kerisauan ini adalah normal kerana sepanjang pengetahuanku, semua guru baru yang menunggu untuk ditempatkan mengajar, perkara ini pastinya menjadi kerisauan mereka.
          Syukur ku panjatkan kepada Ilahi, penempatan pertamaku adalah di sekolah di mana aku belajar dulu, tempat aku menimba ilmu dan sangat banyak berjasa padaku. Aku ditempatkan bertugas di Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor. Maka, tibalah masanya untuk aku mencurahkan khidmat baktiku kepada masyarakat setempat.
          Hari pertama di sekolah baru dimulakan dengan memperkenalkan guru-guru baru di perhimpunan pagi. Ianya kulalui dengan lancar walaupun agak sukar dan kekok. ‘ Pengalaman adalah guru terbaik mengajar kita.’ Seterusnya, hari demi hari kulalui pengalaman  mengajar, mendidik pelajar dan tidak kurang juga dengan pelbagai aktiviti luar kelas. Walaupun kadangkala sangat penat tetapi ianya membuatkan diriku sangat seronok dan rasa teruja sehinggakan aku dipilih oleh pengetua menjadi warden asrama. Pelantikan itu kuterima dengan senang hati memandangkan aku akan lebih dekat dan selalu berdampingan dengan pelajar dibandingkan jika aku terpaksa berulang alik ke sekolah yang mana masaku banyak terbuang denga