CHINI-TANJUNG GEMUK-ROMPIN
Hasil nukilan : PN HAWIAH BINTI CHIK , SMKR , 2011.
Tanggal 16 Februari 2006 aku telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah yang baru dibuka di Felda Chini , Pekan ,Pahang. Sekolah ini merupakan sekolah yang ke 8 aku bertugas dalam tempoh perkhidmatan selama 22 tahun sebagai guru. Walaupun aku terpaksa berulangalik sejauh 170 km setiap hari dari Bandar Pekan, namun tidak menjadi masalah kepadaku kerana dalam masa sejam aku dapat sampai ke sekolah. Anak-anakku empat orang masih bersekolah tapi kakak sulungnya ada di rumah sedang menunggu keputusan STPM. Selain itu dengan berulang ke sana aku dapat melewati kubur ibuku di Kg Padang Rumbia pada setiap hari yang mana hampir 19 tahun telah aku tinggalkan sejak berpindah ke Perak ( 1985 ) dan Kelantan mengikut suami. Setiap kali melalui kawasan tersebut aku akan memberi salam dan kusedekahkan surah Al-Fatihah kepadanya dan saudara mara yang lain. Di samping itu dengan mendengar siaran Radio IKIM.FM sepanjang perjalanan pergi dan balik, banyak ilmu yang dapat ku peroleh untuk ku jadikan idea bagi ucapan-ucapan di sekolah.
Malangnya, bangunan sekolah baharu masih belum siap.Justeru kami terpaksa menumpang di SMK Chini pada sesi petang selama 5 bulan . Pengetua SMK Chini ketika itu ialah Tn Hj Razak Mohamad , iaitu jiranku semasa di Kg Parit Tengah , Pekan. Aku bersekolah menengah di SMU Tengku Ampuan Fatimah, Pekan dan menumpang di rumah abang keduaku kerana jarak dari kampung asalku ke Pekan ialah 16 batu Apabila memikirkan hal ini airmataku menitis tanpa disedari dan aku amat bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana walaupun kami berasal daripada keluarga susah, namun berkat kesabaran dan usaha gigih ,kami sekarang telah memegang jawatan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.
Jumlah pelajarku tak ramai hanya 300 orang sahaja dan jumlah guru 24 orang. Dengan berbekalkan pengalaman selama setengah bulan sebagai GPK Pentadbiran dan masing-masing lima tahun sebagai Ketua Bidang Sains dan Matematik serta setahun setengah sebagai Ketua Bidang Vokasional dan Teknik, alhamdulillah seboleh mungkin aku memimpin warga sekolah dengan penuh komited untuk menuju kecemerlangan. Malang juga bagiku kerana semua set pemimpin dari pengetua hingga GPK termasuk hanya seorang Pembantu Tadbir terdiri daripada orang baharu dan tidak ada langsung pengalaman dalam bidang masing-masing. Rasa nak marah pun ada pada orang JPN. Walau bagaimanapun aku amat bersyukur pada Allah SWT kerana mereka semua amat komited melaksanakan tugas masing-masing dan sentiasa berusaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang sepatutnya, dalam tempoh tiga bulan sahaja. Sebaliknya kali ini aku berterima kasih kepada pegawai-pegawai JPN Pahang kerana melantik orang - orang yang cemerlang untuk membantuku membangunkan sekolah baharu ini. Kebanyakan urusan kewangan diurus oleh GPK 1 , En Azman Ishak yang terpaksa mengusung Buku Tunai panjang itu pergi balik sampai naik ‘lunyai’ untuk belajar dengan KPT SMK Chini.Tak cukup siang, beliau belajar pada waktu malam kerana masing-masing tinggal di Kuarters Guru. Memasukkan wang ke bank menjadi tugasku kerana anak saudaraku bekerja di salah sebuah bank di Pekan.