SMK PANDAN, YOU ARE MY BABY
Oleh Alawyah Othman
“Dua tahun sembilan bulan menjadi warga SMK Pandan telah mematangkan kerjaya pendidikanku. Berbagai pengalaman dilalui. Ada yang manis dan kadang-kadang pahit. Ada masa cemerlang, ada kalanya kecundang. Bersama jatuh dan bangun kembali. Akhirnya pada 13.04.2008 (Ahad) aku sendirian mengosongkan bilik ini untuk memberi laluan kepada penggantiku. Penyudahnya air mataku tertumpah di bumimu SMK Pandan. YOU ARE MY BABY! DEWASALAH DENGAN TAMPAN DAN CANTIK. KU DOAKAN...” Inilah catatan yang saya tinggalkan ketika bertukar ke SMK Seri Mahkota mulai 14.04.2008.
SMK Pandan medan pertama tempat saya menguji kemampuan diri sebagai pengetua. Selepas dua minggu melapor diri saya dihantar menghadiri kursus KPKS di IAB selama sebulan. Dalam dua minggu itu tak banyak yang sempat saya teliti dan nilaikan. Sebaik sahaja balik dari kursus, sekolah mengadakan majlis sambutan Ambang Merdeka. Pengisian majlis tersebut lebih kurang sama dengan sekolah-sekolah lain. Selepas rehat diadakan persembahan pelajar dan temanya menepati majlis. Saya turun ke dewan yang telah dipenuhi pelajar dan saya bilang cuma ada 7 orang guru daripada 69 semuanya. Majlis bermula dan berakhir. Penilaian yang boleh saya buat ialah tiadanya latihan dan raptai, sambil lewa, cacat di sana sini termasuk guru yang menjadi pengacara majlis. Kesimpulannya, patutlah tidak ramai guru yang menyaksikan persembahan ini. Mereka sendiri TIDAK SANGGUP untuk menyaksikan majlis yang mereka sudah tahu memang TIDAK MENARIK dan TIDAK SEMPURNA. Ini satu perkara yang saya tidak boleh terima dan tidak pernah berlaku di sekolah tempat saya menjadi Penolong Kanan sebelum ini.
Sejak itu saya sentiasa memastikan KESEMPURNAAN setiap majlis yang diadakan tidak kira sama ada kecil atau besar, dalaman atau melibatkan pihak luar, ada VIP atau cuma tetamu biasa. Buku program, brosur, , backdrop, banner, ejaan, sambutan, persembahan, kad jemputan, jamuan, pengacaraan, persediaan tempat, peresediaan pentas, penyampaian hadiah, cenderamata VIP, protokol, adab menghulurkan buku program kepada VIP, chair-back, kotak tissue dan air minuman serta gelas untuk VIP di atas coffee table merupakan perkara-perkara yang saya semak dan pantau sendiri. Ramai yang rimas dengan fenomena ini dan tidak kurang yang melabel saya “cerewet”. Saya sentisa mengingatkan guru-guru tanggungjawab mendidik amatlah luas, rencam, dan tidak terbatas malah subjektif serta fleksibel. Kalau majlis kita dikendalikan secara sambil lewa maka anak didik kita akan belajar menjadi generasi pewaris serta bakal pemimpin yang tidak komited dan kalis terhadap ketidaksempurnaan.
Tidak mudah untuk kita mengenali hati budi dan sikap guru dalam masa yang singkat. Akhirnya saya dapat mengenal pasti lebih kurang 15 orang guru yang mempunyai citarasa seperti saya. Mereka ini merupakan pentadbir, guru biasa, senior, junior, wanita dan lelaki yang saya jadikan sandaran berperanan sebagai “trend setter”. Majlis demi majlis diadakan dan tahap kepuasan pengetua semakin meningkat. Pada masa yang sama fungsi utama sekolah yang terangkum dalam falsafah PKKP tetap tidak diabaikan. Dengan kata lain kurikulum, kokurikulum, HEM & bina insan, pengurusan & pentadbiran, 3K dan hubungan luar masih menjadi fokus utama.
SMK Pandan adalah sekolah Harian Biasa di pinggir bandar. Majoriti pelajar dari latar belakang sosio-ekonomi kumpulan bawahan dan mendiami rumah kos rendah di Taman Tas. Pencapaian akademik dan kokurikulum “biasa-biasa” sahaja. Namun ada bidang kebitaraannya (niche area) iaitu kadet bomba dan pantun hingga ke peringkat kebangsaan. Seringnya persembahan pelajar untuk majlis-majlis tidak lari daripada nasyid dan koir yang “tidak berapa nak menjadi”… Sebut sahaja pertandingan Ko-akademik Bahasa Inggeris, guru mesti angkat tangan, “budak-budak Pandan tak ada standard” katanya. “Kesiannya anak-anak muridku” fikir saya.
Awal 2007 saya beri satu lontaran idea kepada Pn. Nina iaitu Guru Media, untuk mengadakan satu majlis berprestij yang dihoskan oleh jawatan kuasa Pusat Sumber kerana saya yakin beliau tidak akan mengecewakan saya. Tepat sekali Pn. Nina menerima cabaran ini dengan amat positif. Kebetulan Tuan PPD ketika itu En. Yahya Bin Zainal Abidin melancarkan “GELOMBANG NILAM” sebagai gerakan membaca peringkat daerah. Saya merebut peluang keemasan ini. Sudah tentu VIP yang akan merasmikan majlis ini adalah Tn. PPD. Saya juga semakin ghairah menguji guru-guru dengan pelbagai cabaran baru. Pn. Sabariah saya minta membentuk kumpulan choral speaking dan Pn. Zuraini pula kumpulan tarian. Kumpulan koir di bawah pimpinan Pn. Norazizah juga berjaya menarik tumpuan saya dan tetamu lain. Ternyata cabaran saya kena pada tempatnya dan hasilnya tidak perlu dipertikaikan. Pelajar-pelajar choral speaking kelihatan sangat teruja dan menyangka mereka akan bertanding. (Paling menyentuh perasaan apabila mereka mengadakan satu persembahan yang liriknya dicipta khas untuk majlis perpisahan sempena pertukaran saya.)
16 April 2007, Gelombang Nilam & Minggu Kasih Sayang SMK Pandan dilancarkan dengan gilang-gemilang dan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian berasaskan akademik, ko-akademik, bina insan, kesenian warisan dan tabiat membaca. Saya dan guru-guru merasa semacam kepuasan. Tn. PPD tidak habis-habis memuji kejayaan majlis tersebut dan seingat saya beberapa kali beliau menyebut kehebatan SMK Pandan dalam ucapan beliau di hadapan Pengetua dan Guru Besar lain.
Selepas pelancaran Gelombang Nilam satu lagi majlis menanti iaitu Hari Anugerah Cemerlang. Saya memberitahu En. Razlan Bin Ngah, GPK Petang ketika itu (sekarang pengetua), “guru-guru dah penat, tak apalah, hari anugerah kita tak payah buat besar sangat”. Saya terkejut dengan jawapan beliau, “mana boleh! lepas ni kita tak boleh mengundur, Gelombang Nilam dah jadi penanda aras kita”. Dalam hati saya “ini sudah cukup baik, saya dah berjaya!”. Seterusnya selepas setiap majlis, walaupun penat sayalah yang paling gembira dan puas hati. Hingga kini masih terbayang majlis sambutan dimulai denga tarian Selamat Datang ala citra warna, backdrop dan buku program yang cantik, majlis yang lancar, persembahan pelajar yang hebat, pengacaraan yang fasih, penyampaian hadiah yang sempurna mengikut protokol dan jamuan yang menggambarkan tetamu amat diraikan bukan sekadar memberi makanan siap berbungkus.
Hujung 2007 kami merancang majlis sambutan 10 Tahun SMK Pandan pada 2008. Satu lagi program besar. Pelbagai aktiviti dirancang. Yang memerlukan persiapan paling awal ialah penubuhan galeri sekolah. En. Razlan sebagai pengurus projek bertanggung jawab mencari konsep dan idea asal dengan dibantu oleh AJK Induk serta semua guru dan staf sokongan. Saya tidak pernah melihat komitmen dan “teamwork” yang begitu kuat. Akhirnya impian melihat sebuah galeri dapat direalisasikan dan dirasmikan oleh Adun Pancing YB En. Mohd Zaili Bin Besar pada 30 Mac 2008 serentak dengan Sambutan 10 Tahun serta Hari Anugerah Cemerlang. Itulah majlis terakhir saya. Meninggalkan galeri yang baru siap ibarat tersiat hati ini kerana saat seluruh warga bertungkus-lumus membuat sentuhan terakhir saya telahpun mendapat isyarat akan bertukar dari SMK Pandan. Hancur luluh rasanya setiap kali guru-guru datang meminta idea dan kata putus dari saya untuk satu-satu perkara. Mereka belum mengetahuinya ketika itu.
Saban tahun SMK Pandan menjadi tuan rumah dan pengelola pesta pantun peringkat daerah. Sebelum berpindah saya sempat sekali lagi menggalas tanggung jawab tersebut dan majlis dirasmikan oleh Pn. Faudziah Binti Abdul Rahman, Pegawai Bahasa di PPD. Sekali lagi majlis tersebut mendapat pujian kerana acara sambutan yang menonjolkan adat warisan meriah dengan tarian, acara berbalas pantun dan buku program yang pastinya cantik. Backdrop pada hari itu adalah yang paling cantik pernah saya lihat diolah oleh Cikgu Nasir. Dengan replika tepak sirih serta daun sirih yang melilit junjungnya. Memang kelas….
Sesekali kembali menziarahi SMK Pandan saya melihat beberapa perubahan positif. Kurangnya salah laku disiplin seperti menconteng, vandalism dan merayau di koridor. Rasa juga tercabar! Namun saya perlu memberi kredit kepada diri sendiri kerana saya juga bertanggung jawab menyemai bibit kecemerlangan ini. Barangkali juga doa saya dimakbulkan… Tahniah dan terima kasih kepada Pengetua, semua Penolong Kanan (Alfatihah buat arwah Hj. Baharuddin dan Hjh. Noraini), serta guru-guru yang telah menjaga dan mendewasakan “babyku” dengan baik. Semoga SMK Pandan akan terus gigih melahirkan wira dan wirawati yang mengharumkan bumi... Walaupun yang dikatakan wangi itu bunga rampai tetapi semua tahu hakikat yang mewangikannya ialah pandan.
Guru-guru SMK Pandan, saya abdikan beberapa pujian dari individu-individu yang kagum dengan kehebatan kalian:
En. Yahya Bin Zainal Abidin : “Pandan, nampak dari luar tidak menarik, serabut dengan reban ayam dan pokok pisang tapi bila dah masuk, penuh dengan berbagai kehebatan”
Pn. Norhayati Bt Mohd Ghazali : “ Cantik buku program, di SABS tak cantik macam ni”.
Pn. Faudziah Bt Abdul Rahman : i) “Cantik buku program”
ii) “Bagus choral speaking, tak sangka Pandan boleh buat macam ni.. Selalu kita ingat SMART, SABS, MGS je yang boleh buat”.
insyaallah pandan kan sentiasa mewangi...
ReplyDeletesense of belonging mcm yg ada pn aluwiyah jarang ada pada pengetua lain... sampai ke hari ini setiap kali buat jamuan raya di rumah beliau kita di pandan tidak dilupakan....tq pn hajjah aluwiyah....
ReplyDelete2011 - 3 ORANG KETUA BIDANG YANG TELAH LAMA DI SMK PANDAN MOHON BERTUKAR....EMMM.. APA RAHSIANYA?
ReplyDelete