Oleh
Roslan bin Md Ali
Pada bulan Februari tahun 2009 saya menerima surat penempatan sebagai pengetua di salah sebuah sekolah dalam daerah Jerantut. Saya dikehendaki mula bertugas bermula awal bulan Mac tahun 2009. Dengan keyakinan berbekalkan serba sedikit pengalaman bertugas sebagai GPK Hal Ehwal Pelajar dan GPK Pentadbiran selama 13 tahun di dua buah sekolah menengah di daerah Maran, saya melapor diri di PPD Jerantut pada 2 Mac 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada JPN Pahang kerana memberikan peluang dan kepercayaan ini.
Pelbagai teori kepimpinan yang dipelajari melalui kursus, seminar, bahan bacaan dan sebagainya boleh dijadikan sebahagian daripada panduan yang berguna untuk memulakan tugas sebagai pengetua disertai dengan pengalaman selama 13 tahun sebagai GPK.
Namun begitu saya mula mengimbas kembali karektor dan amalan atau tindakan-tindakan pengetua yang boleh saya jadikan teladan dan panduan. Saya mula menyusur masa ke belakang mengimbau kenangan bertugas bersama beberapa orang pengetua. Saya juga mengingati kembali tindakan-tindakan pengetua semasa belajar dalam tahun 70an dahulu di sebuah sekolah dalam daerah Jerantut.