“Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zaman mereka”.
Kata-kata hikmah Khalifah Ali bin Ab Talib menjelma di minda sebaik sahaja menerima surat lantikan sebagai Pengetua pada 1 Julai 2006.
“Sekarang cikgu adalah Ketua Jabatan/ Pengetua bukan lagi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Oleh itu bergurulah untuk menjalankan tanggungjawab ini”. Pesan Pegawai Pelajaran Daerah yang masih menjadi pedoman untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin sekolah.
Berpandukan dua pernyataan tersebut, aku bersedia untuk menjalankan tangungjawab sebagai Pengetua. Bukan mudah untuk menerajui sebuah institusi tanpa ilmu., kemahiran dan nilai yang bersesuaian dengan kehendak organisasi pendidikan. Dengan tekad, aku berguru dokumentasi mengurus sekolah dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Damak. Berdasarkan pembacaan, perbincangan dan bimbingan kedua-dua rakan sejawat, maka bermulalah proses menyemak, mengemaskini dan penyediaan dokumen pengurusan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.
Alhamdulillah dengan kerjasama erat seluruh warga sekolah, aku berpeluang mendekati budaya dokumentasi dengan tepat dan cepat. Amalan CPO dalam kalangan Guru Penolong Kanan dan guru terserlah biarpun tanpa Pengetua selama 6 bulan (Januari - Jun 2006). Dengan sikap komited dan komitmen seluruh warga sekolah, aku selaku Pengetua baru menerajui penambahbaikan pemurnian dokumentasi pemantauan, penilaian dan kajian tindakan program pengurusan sekolah bagi melonjakkan pencapaian sekolah dalam sahsiah, kokurikulum dan akademik.