Oleh : Mohamad Ripin bin Sedek
SMK Kerdau
Bertugas sebagai seorang pengetua, merupakan impian hampir kesemua orang guru. Begitu jugalah aku, apabila ditawarkan sebagai pengetua di SMK Tekek Pulau Tioman, berasa amat teruja walaupun tempatnya begitu jauh dan terasing sekali. Apa lagi aku terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri tercinta yang sangat memerlukan perhatianku. Ibarat dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, sudah cukup untuk aku mendefinisikan tentang impianku selama ini sudah diperolehi. Kini, aku bergelar sebagai pengetua. Dengan berbesar hati, aku menerima segala tanggungjawab dan bebanan yang bakal kugalas sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke sekolah tersebut nanti. Hati yang berbunga riang, mata yang bersinar penuh harapan dan senyuman manis yang terukir di bibir menunjukkan betapa aku puas dengan apa yang aku milikki di saat ini. Hati mana yang tidak girang setelah bertahun –tahun menjadi guru dan guru penolong kanan, akhirnya berpeluang menjadi pengetua walaupun di sebuah sekolah yang letaknya jauh di pulau. Namun, setelah memikirkan inilah masanya, dan demi masa depan, tanggungjawab serta amanah, terpaksalah aku akur dengan arahan berkenaan. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Pada pagi tanggal 12 November 2006, aku pun melaporkan diri di Pejabat Pelajaran Daerah Rompin. Di sana, aku telah diberi sedikit taklimat oleh PPD Rompin tentang latar belakang SMK Tekek. Akhirnya, sebelah tengah harinya aku ke Pulau Tioman melalui jeti Mersing Johor.
Setelah hampir dua jam perjalanan menggunakan feri, aku pun sampai di jeti Kampong Tekek. Rupa-rupanya di jeti berkenaan, aku disambut oleh beberapa guru dan pekerja sekolah yang sudah tersedia menunggu aku di situ. Setelah berkenalan, aku dibawa ke perkarangan sekolah dengan menaiki sebuah kenderaan dikenali sebagai ‘ sek kar ‘. Itulah pertama kali aku menaiki kenderaan tersebut.
Sesampai sahaja aku di perkarangan sekolah, aku terpegun. Dalam hatiku berkata, ‘inilah sekolah baruku, ini rupanya tempat aku bertugas sebagai pengetua, namun aku tak kisah, aku terima semua seadanya…’ Aku lihat terdapat dua blok bangunan kayu yang agak usang, sebuah padang kecil di tengah-tengahnya, dua blok asrama dan dewan makan dansebuah makmal komputer. Rupa-rupanya, barulah aku tahu bahawa semua infrastruktur tersebut terpaksa dikongsi dengan pelajar-pelajar sekolah rendah. Malahan kami dikatakan ‘ menumpang’ di sekolah berkenaan. Oleh sebab itulah kami terpaksa menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran pada waktu petang.