Thursday, June 16, 2011

AKU JADI PENGETUA

“ Aku Jadi Pengetua... ”
Oleh
Ibrahim bin Mat Akil
Pengetua SMK Cedung Jaya, Maran
( Jan. 2006 – Dis. 2007 )

Januari 2006. Telefon bimbitku berdering. Panggilan daripada seorang sahabat, En. Razali Mustafa (Kini Tuan Haji), pegawai yang kusegani dan hormati di JPN Pahang.
“ Yeem..esok Timbalan Pengarah nak jumpa. Awak dilantik jadi pengetua. ”
“ Haah..biar betul Li. Kat mana tu ? ” Aku tergamam. Aku jadi pengetua ? Tak terlintas langsung aku jadi pengetua. Aku lebih selesa jadi GPK HEM di SMK Tanah Putih sejak 2000. Biar mencabar dan tercabar, aku rela asalkan pelajar-pelajar mendapat faedah.
“ Awak dihantar jadi pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cedung Jaya, Maran. Dekat je. Boleh berulang. Lapan puluh kilometre je, pergi balik, baru seratus enam puluh kilometer. ” Dan En. Razali Mustafa ketawa.

Seratus enam puluh kilometer dekat ? Pukul berapa nak bertolak dari rumah di Tanah Putih Baru ? Mau-mau pukul 5.30 pagi dan tiba pukul 7.15 pagi di Maran dengan kelajuan kereta yang mematuhi had laju di jalan raya.

Akhirnya aku pergi juga... Jadi Pengetua SMK Cedung Jaya, Maran.
Minggu kedua, Januari 2006. Aku berada di pejabat sekolah. Disambut En. Khusaini; caretaker dan GPK HEM yang banyak berjasa dan berkhidmat untuk sekolah. Beliau kelihatan segak, kemas dan penuh sopan. Senyuman sentiasa menguntum di bibir. Aku diperkenalkan kepada Ustaz Hashim; GPK1 yang juga Imam Masjid Sentosa. Juga jurunikah.. ( ini yang aku kagum pasal Ustaz Hashim kerana tiga tugas yang menuntut masa tetapi berjaya dilaksanakan ! ) Seorang lagi, En. Ishak yang merupakan GPK Kokurikulum yang juga pakar subjek Matematik seperti abangnya. ( Siapa lagi kalau bukan En. Yahya bin Zainal Abidin. Pada masa itu, PPD Maran dan sekarang Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang ) Melihat kepada karektor ketiga-tiganya, aku berasa lega. Kata Napoleon Bonaparte; Yang aku takut dalam perjuanganku bukan pihak musuh tetapi timbalan-timbalanku yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkanku. ( Timbalan-timbalanku nampak semuanya ok. Legaaa... )


Pagi itu aku diperkenalkan kepada semua guru dan pelajar dalam perhimpunan rasmi. Sampai sahaja giliran aku berucap, semua memandang ke arahku. Mengharapkan sesuatu yang baru, rasanya atau menilai bagaimana pengetua baru berucap. Aku memperkenalkan diri. Terasa juga gentar kerana berada di sekolah baru dan berucap sebagai nakhoda yang menentukan timbul tenggelamnya sekolah. Selepas lima belas minit berucap, pelajar-pelajar mula menunjukkan kenakalan. Terkejut aku, apabila melihat batu-batu kecil dibaling dari kiri ke kanan dan dari kanan ke kiri. Mereka membaling sama sendiri, mungkin bosan dengan ucapanku atau budaya baling membaling sudah tiba.

Memandu pulang ke Kuantan sejauh lapan puluh kilometer tidak terasa kerana fikiran berserabut memikirkan batu. Tapi inilah cabaran...dari sebesar-besar masalah kepada sekecil-kecil batu. Akhirnya, selepas sebulan bersama, mereka sudah boleh menerima ucapanku. Aku selitkan motivasi dalam ucapan. Menceritakan kisah kejayaan diri, orang lain dan pemimpin-pemimpin dalam serta luar negara. Aku dapati anak-anak muridku suka mendengar cerita. Aku ceritakan asal usulku. Aku sebenarnya orang Maran tetapi ayahku berpindah ke Kuantan semasa komunis mengganas di Kampung Luit. Mendengar nama Maran, mereka terdiam. Aku ceritakan arwah ayahku seorang pemandu lori tetapi lima orang daripada adik beradikku berjaya masuk universiti. Kata arwah ayah, Aku cuma pemandu lori, aku tak nak anak-anak bawa lori tetapi mesti jadi tauke lori ! Aku cerita keseronokan masuk universiti. Bagaimana aku kenal Aznil Nawawi.. ( Alah, yang popular dengan Macam-macam Aznil tu...).Kami sama asrama semasa di Universiti Malaya dulu. Aku terpaksa kaji macam mana nak tackle mood pelajar-pelajar. Apabila aku nyatakan gaji Aznil dengan ASTRO RM50,000 sebulan, terlopong mulut mereka. Jadi, hari demi hari aku selitkan motivasi dalam ucapan. Memang pelajar-pelajar perlu motivasi, jika boleh setiap masa dan ketika. Everyone needs motivation.
Menyentuh guru-guru pula, aku bersyukur. Guru-guru sering kuanggap ‘satu anugerah’ kerana tidak ada seorang guru pun yang menimbulkan kesulitan. Semua umpama adik-beradik, mesyuarat bagai perbincangan keluarga dalam menguruskan majlis. Tidak ada salah menyalah, mengkritik atau bermain emosi. Itulah resepi kejayaan pengurusan menuju kecemerlangan. Kekurangan orang lain ditampung secara diam-diam. Cubit kaki kiri, kaki tangan terasa juga. Musibah yang melanda dirasai bersama. Sebab itulah, kepenatan satu jam lebih memandu dari Kuantan hilang apabila menatap wajah guru-guru dan para pelajar yang disayangi. Satu hal yang sukar kulupa, aku berusaha menggembirakan guru-guru setiap masa dan ketika. Kata pakar kepimpinan, anak buah yang gembira akan bekerja sepuluh kali ganda untuk ketuanya daripada biasa. Lantas aku memulakan sesuatu yang berbeza. Meraikan hari lahir guru-guru bersama pelajar biar sekadar pengumuman dalam perhimpunan pagi. Tersentak guru berkenaan apabila aku mengumumkan namanya pada tarikh hari lahirnya. Dapat kusaksikan, wajah kemerah-merahan kerana terharu dan akhirnya bertukar gembira. Apa tidaknya, dipandang dua puluh tiga orang guru dan tiga ratus dua puluh tiga orang pelajar. Lebih jauh lagi, sepanjang hari guru-guru, staf dan para pelajar tidak putus-putus mengucapkan ‘selamat hari lahir’ sehingga tamat waktu persekolahan. Maka tidak lekanglah senyuman di bibir apabila bersua sesiapa sahaja. Sampai sekarang, aku yakin meraikan tarikh lahir seseorang juga rahsia kejayaan sebuah kecemerlangan ! Setelah dua bulan pengumuman tarikh lahir guru berlangsung, pengerusi Kelab Guru dan Staf (KGS) mencadangkan penambahbaikan. Katanya, apakata kita adakan jamuan selepas sekolah dan ini menjadi lebih bermakna. Aku terharu, kebaikan ditambah dengan penambahbaikan oleh orang lain. Dan yang paling aku ingat, soto hasil air tangan En. Khusaini; GPK HEM. Memang sedap dan soto paling enak yang aku pernah makan.

Januari 2007. Genap setahun menerajui SMK Cedung Jaya. Banyak pengalaman dirasai dan terasa tanggungjawab begitu mencabar. Maklumlah tahun pertama menduduki PMR. Rasa debar bermula melangkah ke tahun baru. Guru-guru mula bercakap soal prestasi dan kemungkinan. Telahan dan ramalan. Yang jelas, semuanya berbaur kebimbangan ! Kelas demi kelas diadakan. Saban waktu, pagi dan petang. Pelbagai nama dan perjalanan. Namun keprihatinan pegawai-pegawai PPD dan JPN tidak dilupa. Memantau dengan niat membantu sedikit melegakan.

“ Berahim...awak ada di mana ? ” Satu suara kedengaran melalui telefon bimbit.Rupa-rupanya En. Yahya; Pegawai Pelajaran Daerah Maran. Aku mengenali beliau sudah agak lama. Sejak beliau menjadi pengetua. Kugelar beliau ‘Tokoh Pembaca’ . Kata beliau kepadaku, “Hidup lebih bermakna dengan membaca !”
“ Saya di kantin, tuan. Ada apa tuan ? ”

“ Saya dalam sekolah awak. Kalau macam tu, saya ke kantinlah. Saja je nak jumpa kawan-kawan. ” Aku terharu dengan sikap dan keprihatinan beliau dalam menjaga sekolah-sekolah di daerah Maran. Kami selesa dengan kesederhanaan En. Yahya sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Maran. Aku teringat cerita adiknya, En. Ishak. Katanya, “Saya kagum akan abang saya. Satu hari semasa dia jadi pengetua,dia menyaksikan pertandingan olahraga yang melibatkan wakil dari sekolahnya. Masa tu, pelari dari sekolahnya baru selesai berlari, keletihan dan akan masuk acara lain selepas itu. Abang saya turun dari tempat pengetua-pengetua duduk, pergi ke arah pelari dari sekolahnya dan mengosok serta mengurut betis si pelari. Saya rasa jarang seorang pengetua yang boleh buat seperti abang saya. Bukan senang nak urut betis pelajar ni. Betul tak cikgu ? ” Aku mengangguk lemah. Memang benar kata-kata En. Ishak. Aku rasa boleh buat apa-apa yang En. Yahya buat tapi mengurut kaki pelajar...entahlah.

“ Berahim, saya nak awak kukuhkan budaya membaca warga sekolah ni. Dulu masa saya jadi pengetua, saya buat perhimpunan senyap. Lepas tu, prestasi akademik meningkat. Memang saya yakin, tabiat suka membaca sangat membantu meningkatkan pencapaian akademik. Saya nak awak buat di sekolah ini. Boleh ? ” Aku terdiam. Dalam hati, banyak betul idea PPD Maran ni. Semuanya berlandaskan pengalaman yang sudah terbukti kejayaannya.

“ InsyaALLAH tuan. Saya akan bincang dengan guru-guru saya. ” Akhirnya Program Bacaan Senyap berjaya diadakan. Tokoh perasminya tidak lain tidak bukan, En. Yahya sendiri. Dalam ucapan beliau, En. Yahya menekankan betapa pentingnya membaca dalam kehidupan. Kata beliau lagi, rakyat Malaysia membaca dua muka surat buku setahun. Ini sangat memalukan kerana rakyat Jepun membaca tidak kurang tiga puluh buah buku setahun ! ( Nota Terkini : Mengikut buku ‘ Spiritual Reading ’ ; 2011, rakyat Jepun membaca empat puluh buah buku setahun dan orang Eropah membaca sepuluh buah buku setahun. )
Apabila aku fikir-fikirkan, memang bagus kita terapkan budaya membaca dalam diri warga sekolah. Apabila guru membaca, pelajar nampak dan akan mencontohi guru. Apa yang guru lakukan, pasti pelajar jadikan panduan. Apabila guru kencing berdiri, pelajar kencing berlari. Dan ada suara-suara nakal menyambung, apabila guru kencing berlari, pelajar kencing lari berganti-ganti...gurau je.

Jun 2007. Keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun keluar. Peratus lulus 26.6 %. Aku dan guru-guru meneliti analisis peperiksaan. Tumpuanku subjek yang peratus kelulusannya paling rendah kerana itulah lebih kurang peratus kelulusan keseluruhan kerana syarat lulus ialah lulus semua subjek. Tiga subjek jadi perhatian; Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Maka bergiatlah kami mengadakan aktiviti bagi merancakkan proses kecemerlangan. Menyentuh subjek Bahasa Inggeris, banyak cadangan diutarakan. Yang paling menarik, English In Camp. Kreatif juga guru-guru bahasa Inggerisku. Kem bahasa Inggeris diadakan selama tiga hari dua malam. Pendaftaran pukul dua petang hari Jumaat dan tamat lepas Zuhur hari Ahad. Sepanjang kem,semua pelajar diwajibkan berbahasa Inggeris termasuk guru-guru. Maka semasa majlis penutupan, berbahasa Inggerislah pengetua menyampaikan ucapan. Saya teringat ucapan Ustaz Hashim, GPK1 saya. Kata beliau, “ When you speak English...slow..slow.. ” Jadi slow-slowlah kami bertutur. Apa yang penting, mencuba sedaya upaya. Banyak juga aktiviti yang boleh dikongsi seperti explorace, spell it’s right, sing along dan smart reading. Apa yang menggembirakan, semua peserta dan guru begitu sporting bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun broken. Saya teringat kata-kata pensyarah saya di IAB, Puan Zuriah semasa beliau berucap dalam Kursus Public Speaking For Principle yang saya hadiri. Kata beliau, when you speak English, don’t bother about the grammar mistakes. The most important is the meaning.

Oktober 2007. PMR menjelma dan para pelajar Tingkatan 3 menduduki peperiksaan. Kami iringi dengan solat hajat, restu ilmu & mohon maaf serta doa setiap pagi peperiksaan.

Disember 2007, malam sebelum keputusan diumumkan. Aku minum malam bersama beberapa orang guru seperti Naim, Najib, Sazali, Ustaz Hashim dan Fadzli. Kami membuat ramalan masing-masing berdasarkan prestasi semasa dan sebelum. Jauh di sudut hati, aku rasa keputusan PMR SMK Cedung Jaya tidak kurang hebatnya. Ini berdasarkan analisis Peperiksaan Percubaan yang lalu. Ramai pelajar mendapat E tetapi markah mereka antara 30 hingga 39 markah. Aku rasa setakat untuk lulus D, mereka tiada masalah. Jadi aku yakin pencapaian kami masih baik dari segi peratus kelulusan. Aku cuma berkata kepada diri dan tidak berani untuk memberitahu orang lain.

Disember 2007, Pagi keputusan diumumkan. PMR SMK Cedung Jaya 71% pelajar lulus. Alhamdulillah...aku bersyukur. Nampaknya usaha kami semua berbaloi. Terima kasih kepada pegawai-pegawai JPN, PPD, Jemaah Nazir dan ajk PIBG yang banyak membantu menunjukajar kami warga SMK Cedung Jaya. Terima kasih juga kepada YB Datuk Ismail bin Abdul Mutalib; Ahli Parlimen Maran yang terlalu banyak jasa kepada kami semua. Setiap jemputan beliau penuhi, setiap permohonan beliau sumbangi. Memang beruntung mendapat seorang pemimpin yang peka dan prihatin demi kemajuan sekolah.
Satu petang hari Jumaat, 2.30 petang. Selesai menunaikan solat Jumaat di masjid Maran, telefon bimbitku berdering. Panggilan daripada seorang sahabat, En. Razali Mustafa ( sekarang Tuan Haji ), pegawai yang kusegani dan hormati di JPN Pahang.

“ Yeem.. Tuan Timbalan nak cakap. ”
“ Cikgu Ibrahim. Ni Haji Hamid. Awak tukar ke Pekan ya. Sekolah anak-anak nelayan. Boleh tolong di sana ”
“ Sekolah mana Tuan Timbalan ? ”
“ SMKIS. Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Syahbandar, Pekan. ”
“ Baik, tuan. ”

Dan pengalamanku menjadi pengetua bermula semula…

0 comments:

Post a Comment