Sunday, June 26, 2011

OH ANAKKU

Oleh Faridah Mohamed
Pengetua SMK Seri Semantan

pelajar perempuan memberi salam dan mohon untuk berjumpa denganku. Aku menjawab salam dan mempersilakan mereka masuk.
Aku mengenali seorang daripada pelajar itu, Ron pelajar tingkatan satu. Ibunya pernah memaklumkan kepadaku semasa hari bertemu penjaga bahawa Ron mempunyai masalah sakit tulang belakang dan perlu selalu mendapat rawatan doktor. Ron merupakan anak harapannya kerana telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam UPSR di banding dengan abang dan kakaknya yang lain.
Ron memaklumkan bahawa dia ada temu janji dengan doktor pada petang itu sambil menunjukkan kad rawatannya. Dia memohon kebenaranku untuk keluar lebih awal supaya tidak terlewat sampai ke hospital. Aku menyemak kadnya, ya memang betul. Aku mempersoalkan kenapa ibu atau ayahnya tidak datang menjemputnya. Ron memaklumkan bahawa ayahnya bekerja di Kuala Lumpur manakala ibunya tidak ada kenderaan.  Kata-kata Ron itu diakui oleh Nira temannya. Nira juga mengatakan dia sanggup menemankan Ron kerana ibu Ron berpesan kepadanya supaya pergi bersama. Memandangkan Ron dan Nira bukanlah pelajar bermasalah, dan minggu itu adalah minggu pelajar asrama balik, aku melepaskan mereka balik awal sedikit. Selepas rehat Ron pergi bertemu doktor tepat pada masanya. Lagipun dari pekan kecil ini ke bandar menaiki bas mengambil masa satu jam. Ron perlu balik ke rumah dulu sebelum  pergi bersama ibunya ke hospital. Elok juga dia ditemani oleh Nira supaya jika ada perkara yang berlaku ada orang yang membantunya, fikirku.
Hari Ahad, jam telah menunjukkan pukul 6.30 petang, aku bersama suami masih sibuk lagi membeli barang keperluan rumah di bandar. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi panggilan daripada GPK.  GPK memaklumkan Nira yang sepatutnya balik ke asrama tidak balik tetapi pergi ke Kuala Lumpur mengikut lelaki yang baru dikenalinya di stesen bas. Maklumat ini diperoleh dari Ron. Rahsia ini terbongkar apabila ibu bapa Nira datang ke asrama untuk bertemu dengan anaknya. Alangkah terperanjatnya mereka bahawa hujung minggu itu adalah minggu pelajar balik sedangkan  mereka dimaklumkan oleh Nira pelajar asrama tidak dibenarkan balik pada minggu itu. Nira yang sepatutnya sudah sampai ke asrama bersama Ron juga tidak sampai malah telah berani mengikut  pemuda yang baru dikenalinya.
Lemah lututku, rasa tidak mampu aku bergerak. Aku tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada pelajar yang sebegini muda di bandar yang besar dan siapakah lelaki itu yang berani membawa pelajar bawah umur. Kenapakah pelajar ini begitu berani mengikut orang yang baru di kenali? Kalau Nira anakku mahu aku melolong di situ juga. Aku tak dapat bayangkan bagaimana perasaan ibu Nira apabila mengetahui hal yang sebenar. Beberapa persoalan yang timbul di benakku, aku sendiri takut untuk menjawabnya.
Warden dan juga ibu bapa Nira telah bertindak awal membuat laporan polis dan Ron diminta untuk memberi keterangan. Aku mendapatkan maklumat alamat Ron dan bergegas ke rumah Ron untuk mendapat maklumat daripada ibu Ron. Ibu Ron memaklumkan Ron dan Nira adalah kawan baik sejak sekolah rendah. Sepanjang hujung minggu itu Nira memang berada bersama dengan keluarga Ron. Nira memaklumkan kepada ibu Ron bahawa kedua ibu bapanya  ke Melaka, oleh itu dia meminta kebenaran untuk tinggal bersama di hujung minggu. Kedua-duanya telah di hantar ke stesen bas pada pukul 4 petang untuk balik ke asrama.
Kemudian aku bergegas pula ke asrama untuk berjumpa dengan warden, ibu bapa Nira dan juga Ron. Ibu bapa Nira tidak ada di asrama.  Maklumat daripada Ron ialah semasa di stesen bas mereka berkenalan dengan beberapa orang pemuda. Pemuda itu mengajak mereka ke Genting Highland kerana dia bekerja di sana. Pujukan salah seorang pemuda itu telah dapat menambat hati Nira, manakala Ron terus mengambil bas untuk pulang ke asrama.
Kerisauan  hatiku tidak dapat di kawal. Rasa bersalah kepada ibu bapa Nira cukup mendalam. Kelalaianku dan mudah mempercayai menyebabkan aku tersilap membuat percaturan. Sebarang perkara buruk yang berlaku, akulah orang yang pertama bersalah, itulah perasaan aku pada waktu itu.  Setelah mendapat cerita yang sebenarnya daripada Ron, aku turut ke balai polis meminta bantuan daripada mereka. Pada masa yang sama bapa Nira telah menghubungi kawannya di Kuala Lumpur untuk menunggu Nira disana.
Aku mesti cuba membantu mencari Nira. Tidak ada cara lain lagi kecuali memohon kepada Allah yang maha besar. Di rumah, aku sembahyang hajat memanjatkan doa agar tidak ada perkara yang buruk berlaku kepada Nira dan semoga dia cepat dipertemukan. Hanya Allah sahaja yang dapat membantu aku pada ketika itu.
Dalam pukul 10.30 malam , telefon bimbitku berbunyi. Warden memaklumkan bahawa Nira telah dijumpai di stesen bas Pekeliling Kuala Lumpur. Maklumat yang lengkap tentang rupa,dan pakaian Nira telah dapat membantu polis menahan pemuda itu semasa mereka turun daripada bas. Nira telah di serahkan kepada kawan bapanya untuk dibawa balik. Aku cukup bersyukur kepada Allah kerana telah memakbulkan doaku.
Walaupun kehilangan Nira berlaku tidak sampai sehari, iatu lebih kurang empat jam tetapi ia cukup meninggalkan kesan yang mendalam kepada diriku. Aku perlu lebih berhati-hati dengan pelajar dan jangan mudah mempercayai mereka, walaupun mereka tidak ada masalah disiplin. Aku perlu mendapat kepastian dan sepatutnya aku menelefon ibu bapa mereka bertanyakan hal yang sebenar sebelum membenarkan mereka keluar dari kawasan sekolah. Anak mereka adalah anakku. Bila berada di kawasan sekolah ia menjadi tanggungjawabku.
Selepas kejadian itu, ibu bapa Nira mengambil tindakan menukarkan anak mereka ke sekolah baru dan anak mereka tidak lagi tinggal di asrama. Ron masih tinggal di sekolah yang sama dan di beri kaunseling. Oleh kerana Ron perlu kerap berjumpa doktor, maka dia juga akhirnya bertukar sekolah dan tinggal bersama ibu bapanya.
Inilah antara peristiwa yang tidak dapat aku lupakan semasa menjadi pengetua. Untuk ibu bapa Nira dan Ron, aku mohon maaf kerana tidak dapat menjaga mereka sebaik mungkin. Kepada Ron dan Nira kasih sayang ibu adalah kasih sejati, apa yang kita lakukan jangan sekali membelakangkan kedua-dua kedua-dua ibu bapa kita. Kesilapan yang kita lakukan akan menjadi pengajaran agar kita lebih berhati-hati.

Hasil nukilan;
FARIDAH BINTI MOHAMED
PENGETUA SMK SERI SEMANTAN
28400 MENTAKAB, PAHANG.

0 comments:

Post a Comment