Thursday, June 16, 2011

MASIH ADA YANG SAYANG

Masih Ada yang Sayang
oleh
Sudar Kiman

Hari itu aku tidak mempunyai jadual waktu mengajar, maknanya aku “free”. Sudah menjadi suatu kebiasaan, bila aku tidak terlibat dengan proses pengajaran dan pembelajaran lazimnya jadual kerjaku berubah. Aku berlegar dari dari sebuah kelas ke sebuah kelas untuk melihat apa yang berlaku di dalam kelas. Terutama untuk melihat secara lansung tentang telatah dan tingkah laku anak-anak pelajarku. Istimewa pula saat itu selama hampir dua minggu semua pelajar sedang berhadapan dengan peperiksaan petengahan tahun.
Bila kusaksikan suasana anak-anak didikku menghadapi peperiksaan, aku seakan terkejut kerana suasana sekolah sangat tenang, tidak kedengaran suara-suara nakal seperti menjerit atau lalu-lalang dari kelas ke kelas dengan tujuan berkunjung ke tandas secara berdua-duaan dan kadang kala secara berkumpulan. Jauh di hati kecilku berkata, “Alangkah indahnya suasana seperti yang sedang kusaksikan kalau berterusan seperi hari-hari biasa”, bisik hati kecilku. Dalam keadaan perjalananku dari kelas ke kelas tanpaku sedari aku sudah pun berada di pintu pejabat.

Jadual kerjaku kini berpindah ke pejabat. Sebelum aku sempat masuk ke bilik kerjaku aku sempat menyapa beberapa kakitangan sokongan sambil melemparkan senyuman nipis tanda aku senang hati pada pagi itu. Aku memulakan kerja dengan membuat semakan surat-surat yang baru kuterima daripada pembantu am pejabatku. Hari itu sangat banyak surat yang perlu aku teliti dan sebahagiannya pula untuk aku tandatangani. Sudah jadi prinsip kerjaku, aku akan menyelesaikan arahan surat kepada penerima pada hari aku menerimanya. Namun demikian kekadang masih terdapat kes lewat terima surat dan menyebabkan beberapa arahan yang ingin disampaikan mengalami kelewatan.


Setelah penat meneliti surat-surat semasa, aku keluar ke ruang pentadbiran sekadar untuk merehatkan fikiran. Tida-tiba pandanganku diganggu dengan kehadiran seorang penjaga murid yang bertubuh sasa dan tinggi lampai. Belum sempat aku mempekenalkan diri dia bangun lantas menggumam seperti ada sesuatu yang tidak kena. Aku menghulurkan tangan sanbil menghadiahi senyuman manis tanda aku menerima kehadirannya. Serentak dengan genggaman tangannya ditanganku lantas aku bertanya tentang kehadirannya ke sekolah pada hari itu. Dengan suara garau sedikit tegas dia memberitahuku dia dipanggil oleh Encik Rom untuk membincangkan tentang anaknya yang akan dibuang sekolah. Suaranya seakan menjerit sambil berkata, ” Cikgu, dah puas saya menasihati anak saya, dia sememangnya degil, Apa yang yang saya tidak buat, semua dah saya lakukan, tangan, kaki, pukul dan sepak terajang sudah menjadi kebiasaan. Tapi, dia masih tidak berubah, bahkan semakin teruk, tengoklah hari ini dah nak kena buang sekolah”. Dia meneruskan kata-kata dalam nada lebih jelas, ”Saya pernah berhadapan dengan pelbagai jenis manusia di penjara. Mereka ada yang terlibat dengan kes bunuh, rompakan, samun dan rogol, hampir semuanya dapat saya pulihkan tetapi dengan anak saya sendiri saya gagal melakukakannya”.

Aku menjadi terlalu kelu mendengarkan segala penjelasannya. Apa yang dapat aku lakukan ialah meminta dia bersabar dan menganggap semua yang berlaku adalah ujian Tuhan. Jauh di hati kecilku aku berdoa agar masih ada ruang untuk menyelesaikan masalah yang sedang menghimpit benak fikiranku.
Sebaik sahaja tetamuku berada di pejabatku, sejurus kemudian Encik Rom Guru Penolong Kanan Hemku masuk membawa sebuah fail. Kehadirannya kusambut dengan mempersilakannya duduk. Dia tidak sempat duduk dan terus memaklumkan kepadaku kehadiran bapa Shamir ke sekolah pada hari itu adalah untuk berbincang tentang hukuman pembuangan sekolah anak tetamuku. Aku menjadi semakin serba salah kerana aku menjangkakan masalah yang sedang aku hadapi dapat diselesaikan secara berhikmah dan bijaksana. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Daripada penjelasan yang diberikan oleh PK Hemku beliau tetap bertegas untuk melaksanakan hukuman buang sekolah dan memberitahuku keputusan yang dicapai telahpun dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Sekolah. Sementelah pula mengikut rekod sekolah Sham sudah pun mengulangi pelbagai kesalahan disiplin, dan yang terakhir ialah menyerang Sir Ham Ketua Guru Disiplin sekolahku. Kesalahan inilah yang dikategorikan kesalahan berat yang menyebabkan Sham dikenakan tindakan buang sekolah..

Aku menjadi semakin serba salah. Di pihak guru-guru aku akan dianggap mengatasi keputusan Jawatankuasa Disiplin dan di pihak bapa Sham pula aku berhadapan dengan kemanusiaan, kasih sayang dan tanggung jawab seorang pendidik. Kini fikiranku berlegar-legar mencari ruang terbaik untuk mengatasi masalah yang sedang berlaku. Saat-saat kesukaraan yang sedang kuhadapi tidak semudah yang ingin aku putuskan. Meneruskan hukuman buang sekolah atau menerima rayuan bapa Sham. Pada masa yang sama bapa Sham terus mendesak agar anaknya diberi peluang akhir untuk membaiki diri dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Beria-ia bapa Sham berhujah meminta ampun bagi pihak anaknya. Kelakuanya tak ubah seperti sedang berhadapan hukuman seorang hakim. Namun apapun yang diminta oleh bapa Sham, PK Hemku bertegas untuk melaksanakan hukuman buang sekolah.

Jika hukuman buang sekolah aku ambil bermakna Sham akan menghadapi tekanan yang lebih berat. Dia kini sedang berada di tingkatan tiga dan aku juga difahamkan masih ada kerja kursus yang belum diselesaikannya. Kalaupun dia memohon bersekolah semula dan ditempatkan di sekolah yang lain, masalahnya akan lebih besar. Kerja kursus tidak siap, bebanan penyesuaian diri dengan persekitaran baru, kaedah pengangkutan ke sekolah baru dan bermacam-macam masalah akan menghantui Sham. Mungkin Sham akan menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar yang tercicir dan terpinggir dalam kalangan masyarakat. Implikasinya Sham gagal menjadi modal insan tempiasnya sedikit sebanyak aku dan guru-guru akan menerimanya. Fikiranku buntu untuk membuat keputusan yang terbaik. Dalam keadaan bingung aku teringat kembali peristiwa bagaimana kes seorang pelajar di sekolahku tiga bulan sebelumnya. Asyraf anak seorang anggota tentera telah ditangkap oleh pihak polis dan tiga hari meringkuk dalam penjara kerana kesalahan mencuri motor. Bapanya sangat kecewa dengan sikap Asyraf dan akhirnya mengambil keputusan merantai/memasung Asyraf di rumah dan tidak dibenarkan keluar dari rumah. Aku hanya dimaklum tentang ketidak hadiran Asyraf ke sekolah setelah semingu berlalu.

Tindakan segera yang aku lakukan, aku telah memanggil bapa Asyraf ke sekolah dan berbincang tentang anaknya. Bermati-matian bapa Asyraf menerangkan tentang cara yang sedang dilakukan. Aku merayu bagi pihak Asyraf agar diberi peluang datang ke sekolah dan melepaskanya dari dirantai. Aku berjanji dengan bapa Asyraf untuk bekerjasama bagi memastikan Asyraf dapat dipulihkan. Aku mengambil keputusan berani dengan mengambil kebijaksanaan Asyraf dimestikan melapor diri kepadaku seawal kehadirannya ke sekolah dan ketika balik. Pada setiap pagi Asyraf aku tarbiyahkan menerusi pendekatan mengenal diri dan keagungan Ilahi. Demikian juga ketika Asyraf pulang aku akan mengambil kesempatan untuk bersama-samanya dengan nasihat dan bimbingan keagamaan. Alhamdulillah selang seminggu selepas kebijaksanaan yang kuambil bapa Asyraf datang ke sekolah memaklumkan Asyraf sudah menunjukkan sikap yang baik tidak keluar malam dan semakin rajin mengulangkaji pelajaran. Kini Asyraf sudahpun berpindah ke Perak mengikuti bapanya yang telah bersara daripada perkhidmatan tentera.

Aku mengajak Penolong Kanan Hemku menghimbau kembali kes Asyraf. Dia akur dengan apa yang aku sampaikan dan seterusnya bersetuju untuk memberi peluang terakhir kepada Sham dan bapanya dengan jaminanku akan mencari jalan penyelesaian menerusi kaedah bijaksana dan berhikmah ( Bilhikmah walmau Izatil hasannah).

Setelah aku menerangkan tentang hikmah dan kebijaksanaan yang akan aku lakukan barulah PK Hemku menerima rayuan bapa Sham itupun dengan syarat aku perlu mendapatkan persetujuan Sir Ham terlebih dahulu. Sebagai orang yang lebih dewasa berbanding dengan mereka yang sedang berhadapan denganku aku mengambi jalan tengah dengan meminta bapa Sham menunggu di luar dan aku meneruskan perbincangan dengan PK Hemku. Soalanku ringkas, mudah dan jelas. Sudahkah Sham diberi peluang membela diri? PK Hemku memaklumkan Sham telah diberi beberapa kali peluang. Fikiranku terus menerawang jauh. Tiba-tiba aku mengajukan soalan yang tak kusedari. ” Cikgu saya maklum pelajar ini telahpun diberi peluang tetapi sikapnya tidak berubah”. Namun, pernahkah pelajar ini ditarbiyahkan dan ditazkirahkan?. Bila soalan ini aku kemukakan, PK Hemku menggelengkan kepalanya tanpa memberi sebarang jawaban. Aku tabik dan kagum dengan PK Hemku yang sangat rajin dan tak pernah bosan dengan pelbagai masalah disiplin. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya dan lalu dia pergi meninggalkanku berseorangan.
Selang beberapa minit kemudian Sir Ham mendatangiku. Setelah dia duduk dan menarik nafas lega aku memaklumkan tentang keputusan yang akan aku ambil. Dia tetap meminta agarku membuat keputusan buang sekolah. Panjang lebar penjelasan yang disampaikan terhadapku tentang sikap kurang ajar Sham terhadapnya dengan membandingkan sikap pelajar lain. Aku cuba mengajukan pelbagai kenyataan dengan mengaitkan latar belakang pengetahuan agama Sham, tentang solat, ilmu fardhu Ain dan sebagainya. Menurur Sir Ham dia kurang pasti. Bila aku berhujah dan menerangkan tentang masa hadapan Sham terutama dalam konteks tuntutan agama setelah dia meninggalkan sekolah akibat hukuman buang sekolah, suaranya kendengaran tenang dan turut akur dengan keputusan yang akan aku ambil. Setelah puas berbincang dengan Sir Ham dan PK Hemku aku mempersilakannya mereka berbincang dengan semua pihak yang terlibat dan mencari jalan yang terbaik bagi merungkai masalah yang sedang berlaku. Harapanku ada kebijaksanaan yang perlu diambil dan lebih penting setiap daripada kita harus mengakui sesuatu yang berlaku pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Kepada Allah kita datang dan kepada Allah jua kita dikembalikan. (Wallahu ’a’ lam bis sawwab).

0 comments:

Post a Comment