Wednesday, June 29, 2011

NOSTALGIA PAHIT MANIS DI SERI BAHAGIA

Oleh
Pn Hjh Foziah Bt Harith
Setelah hampir satu tahun saya bertugas di PPD Temerloh sebagai Pegawai Teknik & Vokasional Unit Akademik, angin bertiup kencang di luar mengatakan saya akan dilantik menjadi pengetua di SMK Seri Bahagia akibat pertukaran 2 pengetua dalam masa setahun disitu menyebabkan kekosongan berlaku..Memang banyak perkara negatif yang saya dengar tentang sekolah ini. Prestasi akademik yang rendah. Tempat buangan pelajar yang bermasalah dari sekolah berdekatan. Kadar ponteng sekolah dan kelas yang tinggi. Perlanggaran kes disiplin yang agak membimbangkan dan banyak lagi..Kalau nak diikutkan ramai yang  cuba mengelak untuk menjadi pengetua di Seri Bahagia.
Tetapi saya lain. Sebagai bekas pegawai di PPD, saya ikhlas dan benar-benar ingin untuk mengubah situasi yang berlaku di Seri Bahagia..Harapan PPD agar imej sekolah ini dapat dipulihkan dan menjadi antara sekolah pilihan ibubapa di kawasan sekitar ini. Saya anggap ini sebagai satu cabaran dan yakin dapat meningkatkan pencapaian sekolah sedikit demi sedikit. Saya mengharapkan dan sentiasa berdoa agar tuhan dapat  memberi petunjuk dan hidayah serta kekuatan kepada saya untuk mentadbir Seri Bahagia.
Tanggal 17/7/2007, saya melapor diri di sekolah. Saya terus ke pejabat dan memperkenalkan diri. Saya diterima dengan baik oleh semua staf pejabat yang terdiri daripada En Othman Chik, Pn Hamizah dan Pn Rosliza. Kemudian GPK1,Tn Hj Ansari, GPK HEM, En Ariffin dan GPK Koko, En Jamaluddin memperkenalkan diri. Dalam pemerhatian saya, nampaknya mereka boleh dijadikan ‘team’ untuk bekerjasama. Mereka menanyakaan khabar saya sebab ada berita mengatakan saya dimasukkan ke hospital kerana darah tinggi. Mereka ingatkan darah saya naik disebabkan tekanan kerana menjadi pengetua di Seri Bahagia..Oh Tidak! Saya katakan yang saya tidak menghadapi sebarang tekanan untuk bertugas di sini sebab memang saya nak kesini dan ikhlas untuk membantu sekolah..Saya sentiasa bersikap positif Saya dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan darah tinggi kerana tidak makan ubat dan agak penat serta  stress ketika menjadi pegawai perhubungan sempena lawatan PPD Kebangsaan di Kuantan. Pada masa itu saya masih menjalankan tugas akhir di PPD.

Monday, June 27, 2011

ASAS DAN KOMPONEN KEPIMPINAN PENGETUA

Oleh YAHYA BIN ZAINAL ABIDIN, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang.
Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Saya sangat gembira menerima banyak hasil penulisan daripada pengetua Pahang. Sehingga hari ini 27 Jun 2011, saya telah berjaya memasukkan hasil penulisan daripada 18 orang pengetua. Saya sedang menguruskan beberapa lagi untuk dimasukkan ke dalam blog ini.  Jika kita membacanya, banyak idea yang baik yang boleh kita tiru. Itulah antara matlamat Memori Pengetua Pahang 2011 ini. Melalui komunikasi secara maya ini kita sebenarnya menyumbang dan menerima idea dengan rakan- rakan di segala ceruk dari Perlis hingga ke Sabah. Ini juga merupakan saluran yang pantas dan murah.
Kita sebenarnya adalah pemimpin. Oleh itu kita perlu meningkatkan keupayaan kita untuk memimpin guru dan staf di sekolah agar dapat menjana transormasi pendidikan. Akhirnya kita mahu melihat anak didik kita terdidik. Apakah tandanya? Tentu sekali kita mahu membentuk mereka sebagai modal insan kelas pertama. Berikut saya senaraikan unsur yang mesti kita miliki selaku pemimpin;
ASAS KEPIMPINAN meliputi perkara  A, B dan C.
A bermaksud Adminstrator , iaitu kita mengurus.
B bermaksud Build up the image,  imej pengetua tentulah seorang yang bijak berkomunikasi, watak kebapaan/ keibuan, matang , bergaya dan meyakinkan. Ada banyak lagi, sila senaraikan sendiri.
C bermaksud cater the crisis, berani menangani krisis, jangan sampai menjadi konflik. Selesaikan secara bijaksana, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak terserak. Melaksanakan keputusan win-win.

KOMPONEN KEPIMPINAN pula memerlukan kita menggunakan ilmu/kemahiran(20%), kuasa mengarah(20%) dan kuasa pengaruh peribadi(60%). Oleh itu kita perlu merenung ke dalam diri kita dan bertanya adakah kita telah memiliki ciri-ciri itu?

Kali ini saya kemukakan ASAS KEPIMPINAN dan KOMPONEN KEPIMPINAN untuk renungan anda semua.  Mari kita bergerak sederap memajukan pendidikan negeri Pahang.

Saya harap anda tidak jemu merujuk dan menokok tambah MPP 2011 ini. Jumpa lagi.

MEMORI INDAH

Hjh Hafidzah Bt Jono
SMK Jengka Pusat

3 Januari 2004 merupakan tarikh keramat yang sukar dilupakan dalam dunia kerjaya sebagai pendidik.  Mulai tarikh itulah bermulanya kerjaya saya sebagai pengetua di SMK B .  Sukar untuk diungkapkan dalam  perkataan perasaan saya ketika itu.  Gembira, teruja, berdebar-debar, dan takut bercampur-baur menerjah gelodak fikiran dan emosi.  Maklumlah SMK B baru dibuka pada pertengahan tahun 2003 dan sayalah bakal  pengetuanya yang pertama.
Pagi itu, beberapa orang rakan guru di SMK A menghantar saya lengkap membawa dulang-dulang hantaran ke SMK B.  Sungguh saya tidak sangka rupa-rupanya warga  SMK B telah bersedia dengan kedatangan rombongan kami.  Dari jauh lagi saya melihat para pelajar berbaris memegang bunga manggar yang berwarna-warni, paluan kompang menggegar pendengaran, dan barisan guru yang dedikasi tersenyum ikhlas menanti kehadiran kami. Alamak! Seperti pengantin baharulah pula rasanya apabila saya dan rombongan diarak ke dewan sekolah.  Apabila warga SMK B menyambut dulang-dulang hantaran itu,  hati saya berdebar-debar dan terasa peluh sejuk kerana rasmilah tugas sebagai pemimpin di sini.  Pundak sayalah yang akan memikul tanggungjawab berat ini.  Ya Allah berilah kekuatan kepada saya.  Dari raut wajah mereka tergambar penantian dan harapan yang menggunung terhadap saya.  Terasa kerdilnya saya, insya’allah saya berjanji pada diri saya bahawa saya tidak akan menghampakan harapan mereka.  Saya berpegang pada prinsip, nobody can be successful unless he loves his work!, jadi untuk menjadi seorang pengetua yang berkarisma dan berkesan, saya mesti mencintai tugas baharu saya.

TAPAK KAKI ANAK SIAPA ?
Petang itu saya mengambil peluang keemasan untuk berkenal-kenalan dengan lebih rapat dan mesra dengan kakitangan di pejabat.  Sedang kami berbual mesra, tiba-tiba saya dikejutkan oleh mesin fotostat pejabat beroperasi sendiri.  Saya tergamam seketika , yang peliknya mereka biasa sahaja.  Ya Allah apa dah jadini? Jerit hati kecilku.  “Memang macamtulah..dah biasa dah, jangan terkejutlah…” selamba sahaja mereka memberitahuku.  Pucat sekejap saya dibuatnya….
Selang beberapa minggu saya dikejutkan oleh guru ERT yang berlari tercungap-cungap sambil marah-marah kerana bilik ERT kotor oleh kesan tapak kaki yang berlumpur. “Siapa  masuk bilik ERT bawa anak?”  Saya cuba menenangkannya dan mengajaknya ke bilik ERT.  Masya’allah…memang betul, kesan tapak kaki berlumpur orang dewasa dan kanak-kanak sehingga di hujung bilik ERT!.  Pelik juga saya dibuatnya kerana ketika itu pintu bilik ERT berkunci, cuaca panas , dan semua kawasan sekolah bertar.  Memang pelik..k..tegak juga bulu roma saya.
Ada kalanya lampu dan kipas di bilik saya terpasang dan tertutup sendiri, malah barang-barang saya seolah-olah ‘ diusik’ oleh seseorang. Cerita kakitangan terkunci di bilik air ,  guru  membuat aksi berenang di dewan pada waktu siang, dan pelajar histeria merupakan insiden biasa di sekolah.  Sebagai pengetua saya harus menangani kejadian-kejadian itu secara berhemah. Banyak lagi kejadian misteri yang berlaku sepanjang saya di sini, namun sedikit pun tidak menjejaskan tugas kami mendidik anak bangsa. Walau apa pun, itulah kebesaran kuasa Allah swt yang telah menjadikan manusia sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkannya.  Manusia diberi tugas untuk memimpin makhluk lain termasuklah makhluk halus yang menghuni dunia dan tertakluk di bawah prinsip naungan kepimpinan.   Kewujudan makhluk ini memang tidak boleh dinafikan sebagaimana disebut dalam Al-Qur’an, surah Al-A’raaf, ayat 27 yang bermaksud;
‘…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dalam keadaan kamu tidak dapat melihat mereka.’
Pengajarannya di sini, Allah swt telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga ,iaitu  Allah swt menghijab pandangan kita daripada melihat makhluk halus yang berada di sekitar kita.  Bersyukur saya kepada Ilahi akan nikmat ini.  Saya tidak dapat membayangkan sekiranya kita dapat melihat dengan mata kasar  makhluk halus seperti itu setiap hari,  nauzubillah..  Insya’allah pengalaman itu akan memperkuat dan memperkukuh keimanan warga SMK B kepada Allah swt.  Kejadian ini meyakinkan kami tentang kebesaran dan keagungan kuasa Ilahi.  Sehubungan dengan itu, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap musuh yang tidak dapat dilihgat.  Akhirnya percayalah bahawa Allah swt akan sentiasa member pertolongan-Nya kepada hamba-hambanya yang beriman. Ameen.
                
PKKP SEDERAP
Menjadi tuan rumah Majlis Perasmian PKKP SEDERAP Peringkat Negeri Pahang 2004 memang amat mencabar.  Apa tidaknya, sumber kewangan yang ciput, kemudahan, dan kakitangan yang terhad amat merunsingkan saya.  Berpeluh juga saya apabila memikirkannya.  Walau apa pun, sebagai pengetua saya mesti sentiasa berfikiran positif dan sentiasa memberi inspirasi yang akan memotivasikan guru-guru dan kakitangan sokongan yang lain.  Saya selalu berdoa kepada Allah swt agar memberi kekuatan dan memudahkan semua urusan.  Saya amat terharu dengan semangat kerja dan komitmen tinggi warga SMK B yang bertungkus-lumus untuk menjayakan majlis gilang-gemilang ini.  Working together is success memang tepat, kami berkorban idea, tenaga, wang ringgit, dan masa di sekolah semata-mata untuk merealisasikan agenda ini.  Ada yang terpaksa membawa anak-anak kecil sehingga tertidur di kerusi pada malam hari menyiapkan dewan dan guru-guru lelaki sibuk ‘mengusung’ apa-apa jua keperluan yang ada di rumah untuk menceriakan sekolah .  Yang saya bangga sangat ialah mereka lakukan semua ini tanpa arahan daripada saya pun!.  Terima kasih cikgu! Terima kasih sekali lagi.  Di sinilah saya melihat, a team is more than a collection of people. It is a process of give and take.  Alhamdulillah, semuanya berjalan  lancar dengan izin Allah swt.  Masing-masing boleh tersenyum walaupun saya melihat riak muka yang letih dan mata yang kuyu kerana kurang tidur malam sebelumnya.  Penat lelah kami amat berbaloi kerana Yang  Hormat Dato’ Azmey, Pengarah Pelajaran Negeri Pahang ketika itu amat berpuas hati dan menyampaikan kata-kata pujian kepada warga SMK B.
Moralnya, interdependent people combine their own efforts with the efforts of others to achieve their greatest success.
                                               
RANTAI EMAS BERLOKET NILAM
Pejam celik-pejam celik, sedar tak sedar, 4  tahun berlalu begitu pantas di SMK B.  Amat bertuah dan seronok rasanya apabila saya diterima dengan baik oleh warga di sini.  Mereka memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada saya untuk menjayakan agenda sekolah.  Hubungan kerja yang akrab antara guru-guru, guru-kakitangan, dan guru-pelajar menjadi aset penting dan kekuatan saya di sini.  Alhamdullilah, saya tidak stres langsung sebagai pengetua di sekolah ini.  Saya benar-benar berasa dihormati, dihargai, dan dikasihi di sini.
November 2007, saya menerima surat pertukaran ke SMK C yang jauhnya dua kilometer dari SMK B.  Ucapan tahniah beriringan dengan air mata menghujani saya daripada keluarga di sini dan masyarakat sekitar.  Sebak berbaur sayu menyelinap di hati saya dan menjadikan saya agak kurang keruan dibuatnya.  Saya belum puas lagi di sekolah ini…banyak perkara lagi  yang hendak saya lakukan.  Walau apapun, yang pasti saya mesti meneruskan perjuangan .
Saya dikejutkan dengan jamuan ‘ringan’ (kata mereka) tetapi saya anggap gah sebenarnya sebagai tanda perpisahan dan selamat bertugas di sekolah baharu (sebenarnya saya pernah mengajar di sekolah C sebelum ini).  Saya ‘meninggalkan’ sebuah lukisan kapal belayar sebagai kenang-kenangan dan tanda saya akan terus melayari dunia pendidikan yang tiada penghujung ini, sebaliknya mereka mengalungkan saya dengan seutas rantai emas yang berloketkan batu nilam biru berbentuk hati dan bertatahkan berlian.  Aduh..h..h  terharunya, tidak terungkap oleh kata-kata, hanya air mata membasahi pipi saya.  Terkasima saya atas ingatan yang menusuk kalbu.  Bukan harga menjadi ukuran tetapi thought counts.  Sesungguhnya emotional attachment dan memori saya bertugas di SMK B akan terpahat di hati dan menjadi kenangan abadi yang tidak mungkin saya lupakan.  As a new principal at a new school I used to remind my team about the principles of success and promote the feeling that every human being is unique.  Thank you cikgu.  Terima kasih teachers. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi pengetua di SMK B.

Sunday, June 26, 2011

SMK TEKEK DALAM KENANGAN ...

Oleh : Mohamad Ripin bin Sedek
           SMK Kerdau

Bertugas sebagai seorang pengetua, merupakan impian hampir kesemua orang guru. Begitu jugalah aku, apabila ditawarkan sebagai pengetua di SMK Tekek Pulau Tioman, berasa amat teruja walaupun tempatnya begitu jauh dan terasing sekali. Apa lagi aku terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri tercinta yang sangat memerlukan perhatianku. Ibarat dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, sudah cukup untuk aku mendefinisikan tentang impianku selama ini sudah diperolehi. Kini, aku bergelar sebagai pengetua.  Dengan berbesar hati, aku menerima segala tanggungjawab dan bebanan yang bakal kugalas sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke sekolah tersebut nanti. Hati yang berbunga riang, mata yang bersinar penuh harapan dan senyuman manis yang terukir di bibir menunjukkan betapa aku puas dengan apa yang aku milikki di saat ini. Hati mana yang tidak girang setelah bertahun –tahun menjadi guru dan guru penolong kanan, akhirnya berpeluang menjadi pengetua walaupun di sebuah sekolah yang letaknya jauh di pulau. Namun, setelah memikirkan inilah masanya, dan demi masa depan, tanggungjawab serta amanah, terpaksalah aku akur dengan arahan berkenaan. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
            Pada pagi tanggal 12 November 2006, aku pun melaporkan diri di Pejabat Pelajaran Daerah Rompin. Di sana, aku telah diberi sedikit taklimat oleh PPD Rompin tentang latar belakang SMK Tekek. Akhirnya, sebelah tengah harinya aku ke Pulau Tioman melalui jeti Mersing Johor.
            Setelah hampir dua jam perjalanan menggunakan feri, aku pun sampai di jeti Kampong Tekek. Rupa-rupanya di jeti berkenaan, aku disambut oleh beberapa guru dan pekerja sekolah yang sudah tersedia menunggu aku di situ. Setelah berkenalan, aku dibawa ke perkarangan sekolah dengan menaiki sebuah kenderaan dikenali sebagai ‘ sek kar ‘. Itulah pertama kali aku menaiki kenderaan tersebut.
            Sesampai sahaja aku di perkarangan sekolah, aku terpegun. Dalam hatiku berkata, ‘inilah sekolah baruku, ini rupanya tempat aku bertugas sebagai pengetua, namun aku tak kisah, aku terima semua seadanya…’ Aku lihat terdapat dua blok bangunan kayu yang agak usang, sebuah padang kecil di tengah-tengahnya, dua blok asrama dan dewan makan dansebuah makmal komputer. Rupa-rupanya, barulah aku tahu bahawa semua infrastruktur tersebut terpaksa dikongsi dengan pelajar-pelajar sekolah rendah. Malahan kami dikatakan ‘ menumpang’ di sekolah berkenaan. Oleh sebab itulah kami terpaksa menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran pada waktu petang.

OH ANAKKU

Oleh Faridah Mohamed
Pengetua SMK Seri Semantan

pelajar perempuan memberi salam dan mohon untuk berjumpa denganku. Aku menjawab salam dan mempersilakan mereka masuk.
Aku mengenali seorang daripada pelajar itu, Ron pelajar tingkatan satu. Ibunya pernah memaklumkan kepadaku semasa hari bertemu penjaga bahawa Ron mempunyai masalah sakit tulang belakang dan perlu selalu mendapat rawatan doktor. Ron merupakan anak harapannya kerana telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam UPSR di banding dengan abang dan kakaknya yang lain.
Ron memaklumkan bahawa dia ada temu janji dengan doktor pada petang itu sambil menunjukkan kad rawatannya. Dia memohon kebenaranku untuk keluar lebih awal supaya tidak terlewat sampai ke hospital. Aku menyemak kadnya, ya memang betul. Aku mempersoalkan kenapa ibu atau ayahnya tidak datang menjemputnya. Ron memaklumkan bahawa ayahnya bekerja di Kuala Lumpur manakala ibunya tidak ada kenderaan.  Kata-kata Ron itu diakui oleh Nira temannya. Nira juga mengatakan dia sanggup menemankan Ron kerana ibu Ron berpesan kepadanya supaya pergi bersama. Memandangkan Ron dan Nira bukanlah pelajar bermasalah, dan minggu itu adalah minggu pelajar asrama balik, aku melepaskan mereka balik awal sedikit. Selepas rehat Ron pergi bertemu doktor tepat pada masanya. Lagipun dari pekan kecil ini ke bandar menaiki bas mengambil masa satu jam. Ron perlu balik ke rumah dulu sebelum  pergi bersama ibunya ke hospital. Elok juga dia ditemani oleh Nira supaya jika ada perkara yang berlaku ada orang yang membantunya, fikirku.
Hari Ahad, jam telah menunjukkan pukul 6.30 petang, aku bersama suami masih sibuk lagi membeli barang keperluan rumah di bandar. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi panggilan daripada GPK.  GPK memaklumkan Nira yang sepatutnya balik ke asrama tidak balik tetapi pergi ke Kuala Lumpur mengikut lelaki yang baru dikenalinya di stesen bas. Maklumat ini diperoleh dari Ron. Rahsia ini terbongkar apabila ibu bapa Nira datang ke asrama untuk bertemu dengan anaknya. Alangkah terperanjatnya mereka bahawa hujung minggu itu adalah minggu pelajar balik sedangkan  mereka dimaklumkan oleh Nira pelajar asrama tidak dibenarkan balik pada minggu itu. Nira yang sepatutnya sudah sampai ke asrama bersama Ron juga tidak sampai malah telah berani mengikut  pemuda yang baru dikenalinya.

Friday, June 24, 2011

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL

Oleh ROHANA  BINTI ABDUL MALIK
Pengetua, SMK Sungai Retang, Jerantut

Baru satu tahun dan  belum puas lagi rasanya berkhidmat di sekolah pertama  sebagai pengetua , saya mendapat arahan bertukar ke sebuah sekolah gred B di daerah yang sama. Walau bagaimanapun, arahan tersebut saya terima dengan hati terbuka. “Sekolah itu teruk.” Itulah kata-kata yang disampaikan kepada saya dua hari sebelum saya melangkah ke sekolah baru.  Kata-kata ini sedikit merunsingkan dan masih  jelas diingatan saya pada hari pertama saya bertugas di SMKSW. Sekolah kedua yang akan saya berkhidmat sebagai pengetua terletak di kawasan  bandar  dan  berhampiran dengan jalan besar. SMKSW merupakan sebuah sekolah yang mana pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum  iaitu  Melayu, Cina, India dan terdapat juga pelajar orang asli dengan enrolmen 350 orang pelajar.

Pada hari pertama bertugas di SMKSW, saya sampai awal ke sekolah. Kedudukan bilik pengetua amat strategik kerana, dengan mengubah kedudukan  kerusi  saya dapat melihat pintu pagar sekolah dan kehadiran pelajar dan guru-guru  ke sekolah dengan jelas.  Sedangkan pelajar tidak dapat melihat saya kerana cermin tingkap berwarna  gelap. Peluang ini tidak saya lepaskan dan saya tarik kerusi dan duduk memandang  ke pintu pagar. Kelihatan pelajar masuk ke kawasan sekolah dan yang memeranjatkan saya ialah ramai pelajar yang keluar semula melalui pintu pagar utama di hadapan pengawal keselamatan. Pengawal Keselamatan tidak menghalang pelajar keluar dari kawasan sekolah.  Kelihatan beberapa pelajar melintas jalan  pergi membeli makanan di gerai nasi lemak di hadapan sekolah. Sebahagian pelajar pula kelihatan masuk kawasan sekolah dengan membawa bungkusan makanan yang dibeli daripada gerai-gerai makanan  yang berhampiran. Keselamatan pelajar yang masuk ke sekolah dan kemudian keluar membeli makanan dalam kesibukan lalu lintas sangat membimbangkan. Saya bertekad untuk membetulkan keadaan ini demi menjaga keselamatan pelajar.

Pengalaman hari pertama saya pada waktu rehat juga mengecewakan. Ada beberapa orang guru yang keluar  dari kawasan sekolah tanpa kebenaran saya. Kemudian apabila ditanya, alasan yang diberi adalah tidak mahu makan di kantin. Setelah loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat, saya mendapati pelajar meninggalkan kantin  dalam keadaan yang kotor.  Pinggan dan gelas di biarkan di  atas meja. Kelihatan juga air yang tumpah dan sisa makanan di atas lantai. 

Sedang saya di kantin, saya memandang  ke arah kelas-kelas di dua blok bangunan berhampiran. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki yang ada di antara mereka tidak memakai tali leher,  lencana dan tanda nama serta baju kemeja yang tidak dipakai dengan kemas berada di luar kelas menunggu guru masuk. Sesekali pelajar-pelajar perempuan juga keluar masuk  kelas dan berada di koridor kelas seolah-olah menantikan  kehadiran guru ke kelas sambil berbual dengan pelajar lelaki. Kadangkala terdengar gelak tawa mereka, mungkin kerana ada peristiwa yang melucukan. Tidak lama kemudian , kelihatan beberapa guru berjalan melintasi kantin menuju ke kelas. Saya menyapa setiap guru yang lalu di hadapan saya. Sebaik melihat kehadiran guru, kumpulan pelajar tadi masuk ke kelas semula.  Akhirnya terdengar doa dibacakan menandakan  guru telah sampai ke kelas dan pengajaran dan pembelajaran bermula.

Semasa  melaksanakan WAYS (Walk Around Your School)  pada hari pertama, saya  mendapati ada bungkusan makanan yang dibuang didalam dan dicelah-celah pasu bunga, disorokkan di antara daun-daun pokok dan diselitkan didalam lubang-lubang saluran air di sepanjang koridor.  Sampah juga ada ditangga dan di koridor kelas. Sedang saya berjalan berhampiran tandas pelajar lelaki, saya terhidu bau busuk tandas dan keadaan  tandas tidak menyenangkan pandangan mata saya. Tandas pelajar perempuan lebih bersih tetapi kelihatan banyak tisu dan pembalut tisu dibuang di atas dan di dalam sinki. 

Sambil berjalan saya melalui satu dua kelas tanpa guru. Apabila di semak didapati guru-guru ini lewat ke kelas atas pelbagai alasan. Saya juga melalui makmal sains. Terdapat empat makmal dengan 3 staf di tugaskan menguruskan makmal. Melalui pemerhatian dan perbualan dengan staf di makmal, saya dapat merasakan bahawa pengurusan makmal dapat dipertingkatkan jika  pengurusan sumber manusia diperkemaskan.

Setelah penat berjalan melihat keadaan persekitaran sekolah, menuju ke pejabat.  Menghampiri pejabat, saya melihat Pembantu Am Pejabat sedang melakukan kerja-kerja mencetak  menggunakan mesin gelek yang masih menggunakan kertas stensil.  Saya amat terkejut kerana pada tahun 2007, SMKSW masih lagi menggunakan mesin gelek untuk mencetak bahan bantu mengajar dan pelbagai modul. Sedangkan banyak sekolah yang saya mengajar telah pun menggunakan mesin fotostat. Sampai di pejabat, saya memberitahu pembantu tadbir bahawa saya hendak melihat akaun sekolah.  Hasil daripada semakan didapati ada pembelian telah dibuat tanpa menggunakan nota minta dan pesanan kerajaan.

WAYS memberi makluman awal bahawa isu-isu keceriaan, disiplin pelajar, keselamatan pelajar datang dan balik dari sekolah serta  keakuran guru kepada Surat Pekeliling Iktisas (SPI) dan Pekeliling-pekeling serta kemudahan fotostat perlu diselesaikan segera.  Setelah menyemak akaun sekolah, saya terus mengambil pen dan kertas dan menulis surat kepada Pengarah untuk memohon mesin photostat.  Surat ditulis  dengan  panjang lebar demi menarik perhatian Pengarah untuk memberikan SMKSW satu unit mesin fotostat.  Apa yang menggembirakan saya dan warga sekolah ialah satu unit mesin fotostat telah dihantar ke SMKSW dalam masa seminggu.  Saya berterima kasih kepada Pengarah atas kelulusan segera permohonan tersebut.  Saya turut menghubungi ibu bapa dan guru  sekolah bertanyakan  mengenai satu lampu isyarat  di hadapan sekolah.  Saya terus bertekad untuk berusaha mendapatkan satu lampu isyarat berkenaan.

Langkah seterusnya yang saya ambil ialah dengan mengadakan mesyuarat dengan Guru-guru Penolong Kanan. Hal ini diikuti dengan mesyuarat dengan semua guru dan staf.   Dengan ilmu yang dibekalkan oleh pensyarah-pensyarah  pemilih, saya membuat taklimat Pengurusan HEM dengan menekankan keselamatan, keceriaan dan disiplin serta sahsiah pelajar . Guru-guru dan staf juga diingatkan untuk sentiasa akur kepada pekeliling dan siaran Kementerian Pelajaran Malaysia serta akibat dan kesan kepada ketidakakuran kepada pekeliling juga dimaklumkan. 

Saya telah menyediakan carta alir pembelian daripada peruntukan yang ada. Saya mula menperkenalkan Nota minta, Pesanan Kerajaan, Buku Rekod Pergerakan Guru untuk acara rasmi dan tidak rasmi, Pas Keluar Kelas dan Buku Pengesanan Kehadiran pelajar di kelas juga diadakan. Pada waktu yang sama, ‘coaching’ and ‘mentoring’ dijadikan senjata saya untuk menguruskan  guru-guru dan staf. Guru-guru dan staf yang didapati tidak akur kepada pekeliling seperti tidak manghantar Buku Rekod, lewat ke kelas, lewat hadir kesekolah, tidak membuat pengurusan kelas, keluar kawasan sekolah tanpa kebenaran Pentadbiran  dan perkara-perkara yang dianggap  kecil tetapi berat seperti itu saya tangani dengan melakukan ‘coaching and mentoring’ dengan bantuan barisan pentadbir lain.

Pertemuan dengan guru-guru kerap saya lakukan di bilik saya dengan memberikan mereka perangsang dan nasihat. GPK juga kerapkali bersama saya semasa sesi ‘coaching and mentoring’ berlangsung. Saya menggalakkkan penggunaan  pendekatan ‘coaching and mentoring’ dalam kalangan barisan pentadbir lain. Akhirnya mereka memainkan peranan yang cemerlang dalam melaksanakan pendekatan ini. Sedikit demi sedikit pelanggaran peraturan oleh guru-guru serta staf semakin kurang dan dapat di atasi.  Amalan ini disokong dengan pemberian penghargaan kepada guru-guru dan staf. Setiap kejayaan mereka diiring dengan hadiah-hadiah dan sijil-sijil yang diberikan pada masa perhimpunan, mesyuarat guru dan staf atau pada hari-hari keraian tertentu. Amalan merekod  pergerakan guru mula dilakukan. Buku-buku Rekod Pergerakan Guru untuk  perkara-perkara rasmi dan tidak rasmi diperkenalkan.  

Tidak dinafikan tindakan tegas dan menarik sedikit kelonggaran yang ada sebelum ini menyebabkan saya mendapat tentangan daripada beberapa guru.  Satu peristiwa  yang tidak dapat dilupakan ialah apa yang berlaku antara saya dan cikgu Z..  Saya baru saja  masuk dan mengunci pintu tandas apabila saya mendengar bunyi tapak kasut guru diluar tandas.  Bunyi itu semakin lama semakin menghampiri  tandas yang saya masuk.   “Aku tak boleh kerja dengan perempuan ni. Ini tak boleh , itu tak boleh. Aku bosan”. Kemudian terdengan bunyi pintu tandas  di sebelah ditutup dengan kuat. Setelah beberapa minit balik ke pejabat, guru Z meluru masuk ke bilik saya dan nampak  sangat marah.  Sambil berdiri dia menyatakan pendiriannya tidak boleh bekerja dengan saya. “ Puan, I cannot  work with you. Too many restrictions. Everything kena beritahu you”.  Kata-kata itu dihamburkan keluar dari mulut cikgu Z kepada saya.  Mungkin cikgu Z marah kerana sekarang sebarang pembelian dan pergerakan guru memerlukan kelulusan dan kebenaran saya. Keadaan ini agak menyusahkan guru-guru dan staf.  Kemudian saya mempersilakan cikgu Z duduk dan cuba menenangkannya. Saya memberitahu dia bahawa ada cara untuk tidak bekerja dengan saya iaitu dia tukar atau tukarkan saya.  Kalau dia nak tukar saya boleh sokong dengan syarat dia isi borang permohonan pertukaran atau tukarkan saya dengan melaporkan apa jua kesalahan saya kepada Pegawai Pelajaran Daerah atau Pengarah. Dia terdiam mendengar jawapan penyelesaiaan yang saya cadangkan. “Cikgu Z, saya tak marah cikgu kalau cikgu tidak suka saya. Setiap orang ada pilihan dan pendirian masing-masing.”  Mendengar kata-kata itu, dia nampak lebih tenang. Saya mengambil peluang untuk menjelaskan bahawa semua saya lakukan adalah untuk melindungi dan membela diri cikgu.  Saya menerangkan kepada cikgu Z mengenai implikasi sekolah audit  berteguran, atau salah mengurus aset alih kerajaan. Saya juga memberi contoh kes warga sebuah sekolah yang terlibat dengan kemalangan dan tidak mendapat  sebarang pampasan kerana keluar dalam waktu bertugas  tanpa kebenaran  Ketua Jabatan.  Apabila melihat cikgu Z lebih tenang , saya mengajak cikgu Z minum di kantin.  Harapan saya ialah supaya staf tidak memandang serong kepada kami kerana mereka mendengar suara cikgu Z menjerit kepada saya sebentar tadi. Cikgu Z menerima pelawaan saya dan kami minum bersama. Bermula daripada hari itu, saya mendekati cikgu Z. Kami kerapkali  secara bersama menilai tugasan yang diberikan atau prestasi kerjanya. Cikgu Z juga  kerapkali diberikan penghargaan atas usahanya. Atas usaha gigih dan kesungguhannya dia telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2008. Pada tahun berikutnya, dia telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Saya amat gembira dengan pencapaian prestasi cikgu Z.

Setelah berbincang dengan GPK HEM , saya memutuskan untuk memperkenalkan sistem merit de merit bagi membendung masalah keluar masuk pelajar membeli makanan dan juga masalah sampah atau sikap tak acuh pelajar kepada keceriaan sekolah. Taklimat sistem ini diberikan kepada semua guru. ”Roadshow” sistem ini dilaksanakan melalui  Jawatankuasa Disiplin kepada pelajar-pelajar dan juga dalam satu perjumpaan dengan ibu bapa. Pelajar-pelajar akan diberikan mata sekiranya melanggar peraturan sekolah.  Tindakan susulan seperti nasihat, kaunseling, amaran dan rotan dilaksanakan apabila mata merit mencapai sesuatu tahap tertentu. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada guru-guru dalam menjalankan sistem merit de merit ini.  Saya bertegas mengambil itndakan terhadap pelajar. Ada ibu-bapa kepada pelajar yang dibuang sekolah memarahi saya kerana tindakan yang saya ambil. Tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan yang diambil.

Saya juga mendapatkan kerjasama Jawatankuasa Keceriaan dan Jawatankuasa Kantin untuk menceriakan kawasan sekolah terutamanya tandas dan kantin sekolah..   Melalui perbincangan dengan pihak pengusaha kantin, bekas-bekas dan besin yang dilabel dan cukup  bilangannya  disediakan untuk pelajar meletakkan pinggan, gelas, sudu dan garfu yang telah digunakan. Jawatankuasa Kantin sentiasa mewar-warkan mengenai pendidikan kesihatan dan kebersihan semasa perhimpunan dan perjumpaan-perjumpaan dengan pelajar secara berkelompok.  Saya juga sentiasa mengambil tindakan memantau keadaan kantin. Saya juga kerap berbincang dengan kontraktor pembersihan kawasan sekolah.

Peristiwa kedua yang tidak dapat saya lupakan ialah pada  hari saya menyuruh sekumpulan pelajar Cina  membersihkan kantin sekolah. Kumpulan pelajar Cina seramai 10 orang  dikenalpasti telah meninggalkan sisa makanan, pinggan dan gelas yang digunakan di atas meja. Mereka menyapu dan  mengelap lantai dan membersih serta menyusun kerusi meja.  Walaupun pada awalnya saya membiarkan saja mereka membuat kerja-kerja tersebut tetapi akhirnya saya turut membantu mereka. Sambil membantu pelajar  membersihkan kantin, saya juga menasihati mereka untuk sama-sama menjaga kebersihan kantin. Mungkin kasihan kepada saya, pelajar-pelajar ini tidak lagi mengotorkan kantin.  Malahan pelajar-pelajar ini rapat dengan saya.  “Selamat pagi, Bonda”.  Itulah antara ucapan keramat mereka kepada saya setiap kali mereka bertemu saya.

 Penekanan tentang menjaga kebersihan kantin, tandas dan makmal sentiasa diberikan semasa perhimpunan dan pertemuan saya dengan pelajar. Saya turut mengadakan program “Dari hati ke hati” dan “Sepetang/Sepagi bersama  Bonda pengetua”.  Semasa program ini dijalankan, saya sentiasa menasihati pelajar untuk menjaga kebersihan  dan keceriaan sekolah. Di waktu saya tiada kelas, ‘roadshow’ kebersihan kantin dan tandas serta makmal sentiasa saya laksanakan. Apabila saya masuk ke kelas saya sentiasa memujuk serta menasihti pelajar mengenai tingkah laku mereka dikantin, tandas dan makmal. Kejayaan usaha ini diperolehi apabila pada tahun 2008 SMKSW menerima anugerah tempat ketiga Kantin Ceria Dan Selera, Naib Johan  Anugerah Program Keceriaan dan Keharmonian Sekolah Menengah pada sambutan Hari Guru peringkat daerah.

Satu lagi pengalaman manis di SMKSW ialah apabila kami masuk bertanding Gading Bersilang kategori Pengurusan Makmal dan Pengurusan PPSMI pada tahun 2009.   Persiapannya perlu rapi dan persembahan ‘powerpoint’ juga mesti menarik dan mantap.  Kerjasama Jawatankuasa terlibat yang terdiri daripada guru-guru. Bidang Sains dan Matematik sungguh membanggakan. Apabila kami disenarai pendekkan di antara enam sekolah, kami telah berusaha memastikan pengurusan makmal  dan pengurusan PPSMI adalah mantap.  Kami  telah bertungkus lumus menyiapkan “presentation” sehingga pukul 2.00 pagi. Apa yang menyentuh hati dan perasaan saya ialah tidak seorang pun guru merungut kerana balik lewat pada hari tersebut. Kami kecundang dalam kategori Pengurusan Makmal tetapi kesusahan kami terbalas apabila kami mendapat tempat kedua Anugerah Gading Bersilang  Pengurusan PPSMI.  Menerima hadiah daripada YAB Menteri Besar Pahang amat mengembirakan saya kerana ini menandakan kejayaan warga sekolah SMKSW .

Melalui pengalaman ini, membuktikan bahawa tindakan membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul  membawa kejayaan kepada SMK Setia Wangsa.  Peristiwa pahit di sini menjadi kenangan.

JEPUN DAN SEKOLAH CEMERLANG

Jailani bin Tasman
Pengetua , SMK Gali,Raub

Disaat aku sekarang ini bergelar seorang Pengetua di SMK Gali,Raub. Saban hari aku berhadapan dengan 1001 masaalah dan cabaran untuk diuruskan dan ditangani secara bijaksana.

            Masuk sahaja ke pintu pagar sekolah seawal 6.30 pagi maka bermulalah tugas-tugasku sebagai Pengetua. Dipintu pagar aku disambut setia oleh Pengawal Keselamatan, ”Assalammualaikum Boss…Alhamdulillah sekolah dalam keadaan selamat.”sapa Pengawal Kesalamatan sambil menganggukkan kepala sebagai tanda hormat.

            Sesampai dipejabat aku mulakan tugas dengan memperdengarkan alunan Zikir Munajat melalui kemudahan pembesar suara canggih di sekolah. Kadangkala aku selang selikan dengan siaran bacaan Surah-surah lazim ataupun Nasyid.

            Jam 7.20 pagi maka bermulalah sesi persekolahan pagi dan ketika itulah pelbagai perkara datang kepadaku untuk diselesaikan sehingga ke akhir sesi persekolahan.Bermula hari isnin sehingga hari Jumaat.

            Suatu hari aku duduk dihujung dewan terbuka(serbaguna), ketika itulah aku terkenang zaman aku kanak-kanak,seronok rasanya zaman tersebut tiada banyak masalah hidup yang perlu difikirkan, hari-hari pergi bermain dengan kawan-kawan, berseronok mandi-manda di tali air dan kekadang bermain masak-masak bersama rakan lain jantina.

            Tiba-tiba aku teringat suatu kisah yang diceritakan oleh bapaku tentang zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.Menurut bapaku,atok ku suatu masa dulu telah ditangkap oleh pihak Jepun dan telah didera dengan cara mengikat seluruh tubuhnya pada buaian dan rakannya yang lain diperlakukan yang sama,kemudian mereka dihayunkan dengan laju menyebabkan kepala mereka berlaga sesama mereka. Perbuatan itu dibuat berulangkali sebagai satu hiburan tentera Jepun. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana deritanya datukku ketika itu.

            Secara tidak semena-mena tanganku menggenggam erat sebagai reaksi geram terhadap kekejaman Jepun, dalam kotak fikiranku,jahat betul Jepun ini.

            Pada penghujung tahun 2007 dengan berkat usaha semua warga sekolah, akhirnya SMK Tersang telah dinobatkan sebagai Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Lonjakan Saujana STPM.Sebagai salah satu hadiahnya aku telah ditawarkan pakej Lawatan sambil belajar ke Nagoya Jepun. Perkara ini memang tidak disangka-sangka langsung,namun peluang dapat pergi ke Jepun ini hendak aku gunakan untuk mengetahui sekejam mana Jepun yang telah diceritakan oleh ayahku.

            Apabila berada di Jepun aku sangat terkejut dengan budaya mereka dengan cerita masa ku kecil dulu.Mungkin cerita itu watak orang Jepun zaman perang,penuh dengan keganasan, kezaliman dan kebiadaban.

            Melalui penampilan diri mereka aku sangat kagum dan teruja dengan santunnya ketika bercakap, lemah lembutnya ketika melayan tetamu,tunduk hormat dan bermacam-macam lagi nilai diri positif yang mereka miliki.

            Disini ingin aku kongsikan beberapa perkara baik amalan hidup  orang Jepun walaupun ia sudah mencapai status negara maju,semoga menjadi pedoman & pengajaran.
Peristiwa 1
Satu hari sewaktu lawatan kami ke sebuah bangunan bersejarah di Nagoya Jepun. Sebelum sampai ke bangunan tersebut aku terserempak seorang pemandu teksi berpakaian kemas, bertali leher dan bertopi, turun dari teksi seterusnya membuka bonet teksi lalu mengeluarkan sebatang penyapu yang diikat dengan kayu panjang, terus menyapu daun-daun kering disepanjang jalan tersebut. Perkara kedua aku kagum ialah ia bukan sahaja menjalankan tugas-tugas orang lain tapi kerja orang lain itu juga,dilaksanakan dengan rasa hati yang gembira, ada tanda memek muka, suka,senyum dan gembira menjalankan tugas tersebut.

            Jiwa yang kuat sahaja yang boleh menjalankan kerja sukarela tanpa rungutan malah kalau kerja itu dilaksanakan dengan ikhlas dan tulus hati mereka pun suka melaksanakan kerja-kerja tersebut.

            Bila saya buat reflection saya rasa sifat-sifat ini sudah semakin terhakis dalam jiwa masyarakat kita hari ini”Kerja kalau tidak dapat bayaran jangan harap nak dilaksanakan”.
        
Peristiwa 2
Suatu hari semasa lawatan ke sebuah sekolah tinggi di Nagaya Jepun, tengah kami sedap diberi penerangan oleh seorang pensyarah di sekolah tinggi tersebut melalui tayangan LCD,tiba-tiba seorang pensyarah lain duduk dimuka pintu lalu merangkak masuk, tujuannya ialah supaya badannya tidak menggangu tayangan yang sedang dijalankan. Kalau dalam masyarakat kita sepanjang aku hidup aku tak pernah terjumpa seorang semulia pensyarah sanggup merangkak didepan audian semata-mata tak nak menggangu tayangan,(yang ramainya berjalan didepan skrin dengan gaya selamba sahaja tanpa rasa bersalah).
          
Peristiwa 3
Kesempatan aku berjalan malam di bandaraya Tokyo sebuah bandar cosmopolitan dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang mengagumkan. Sepanjang malam tersebut lebih kurang pukul 12.00 malam -2.00 pagi, keadaan sangat aman, masuk lorong ini masuk lorong itu semuanya aman dan selamat tiada sesiapa menggangu.

            Tetapi sebelum pergi ke Jepun aku ada pengalaman lalu dilorong Haji Taib. MasyaAllah, ngerinya melihat lorong-lorong tersebut di penuhi pelacur-pelacur dan pondan yang mencari pelanggan , penagih dadah yang bergelimpangan,pengemis yang gelandangan, nak berjalan kat lorong-lorong belakang  macam sengaja nak bunuh diri.

            Banyak lagi peristiwa yang menarik yang bila kita buat perbandingan masyarakat Jepun lebih baik dengan masyarakat kita hari ini. Kemajuan dan kemakmuran Jepun tercapai, mungkin masih banyak sifat positif yang menjadi amalan kuat masyarakatnya. Masyarakat kita kaya dengan amalan dan nilai-nilai murni kehidupan.Namun nilai-nilai ini jauh daripada amalan hidup mereka malah sesetengah pihak sudah menguburkan nilai ini dalam kehidupan bermasyarakat.

            Kesemua yang berlaku ada hikmahnya pengalaman ke Jepun dan tanggungjawab sebagai pendidik ada hubung kaitnya. Mulai saat inilah kita sebagai pendidik seluruh negara  harus  kembali menerapkan amalan nilai-nilai murni & positif dalam kehidupan pelajar hari ini sebagai pewaris bangsa yang merdeka pada masa hadapan. Perkara paling penting wawasan 2020 kearah status Negara maju, dapat dicapai tanpa mengorbankan nilai murni, adat ketimuran dan jatidiri bangsa Malaysia yang berdaulat.


Thursday, June 23, 2011

MEMADAM API ATAU MEMBINA BANGUNAN

Abdul Rahim bin Mohd Yunus  
Pengetua SMK Bukit Rangin Kuantan


“Ada kalanya, di sini saya lebih banyak memadam api daripada membina bangunan.”  Itulah antara lain kataku ketika memberi taklimat kepada sekumpulan ibu bapa di Dewan Titipan Ilmu, Seri Bentong. Ketika itu belum pun sampai setahun aku bertamu di daerah ini.

Ada seorang bapa mengulas kata-kataku itu dengan harapan supaya aku “terus juga membina bangunan”. Aku lega kerana dia memahami. Juga lega kerana mengingatkan aku kepada tanggungjawab dan keputusanku mengimbangi  islah asrama dengan sekolah atau akademik. Cabaran “besar, berbulu  dan menakutkan” itu aku  pahatkan di minda. Cabaran itu sentiasa timbul sebagai ”parut” yang membangkit kesedaran apabila tersentuh oleh jari-jemari perasaan yang sensitif.

Api. Hangat, panas, membakar, tidak selesa dan bisa membahayakan. Sebaliknya pula, api menjadi perlu, bermanfaat dan menyamankan. Kuasa yang Allah berikan kepada api mempunyai potensi positif dan negatif. Pada fikiranku masalah disiplin itulah ”api” bagiku di sini. Habis tu, apalah yang positif tentang masalah disiplin? Yang negatif, memang jelas. Tak payah nak suluh.

Aku yakin bahawa masalah disiplin pelajar memberi peluang berfikir dan mematangkan guru. Pemikiran guru menjadi reflektif apabila berdepan dengan beraneka masalah disiplin anak didik. Bahkan boleh jadi kreatif! Kita boleh tersentap dan tersentak, namun naluri seorang guru akan membuat kita berfikir mencari punca dan mencari cara menanganinya. Cari akal: ”Kalaulah aku boleh menyelesaikannya ...”. Menyelesaikannya adalah satu kepuasan. Bahkan berupa satu calitan atau meninggalkan bekas yang mematangkan.

Sebaik sahaja aku ’confirm’ akan bertukar ke Seri Bentong, Cikgu Azhar Daud (SMART) menyampaikan khabar bahawa Cikgu Azmi Othman di sini sudah memaklumkan lebih awal bahawa ada kes yang ”menunggu” untuk diselesaikan. Kes buli. Budak kena pukul. Polis akan berjumpa pengetua baru. ”Api” itu sudahpun memanaskan kerusiku. Bahangnya sudah sampai ke Kuantan sedangkan aku belum pun mengemas barang. Lirik lagu Inggeris yang berbunyi ”I beg your pardon, I never promise you a rose garden” seperti tiba-tiba didendangkan dengan muzik ghaib ala cerita Hindustan!

Apabila aku kemudiannya bertemu semula rakan di SMART, ada yang bertanya penuh minat tentang bagaimana aku ”memadam api” itu. Berjayakah? Apa dah jadi?

Cerita memadam api boleh menjadi rumit seperti karya fiksyen. Tiada nota kuliah mahupun latihan perguruan yang boleh menyediakan kita secara khusus dengan cabaran mengatasi masalah yang unik serta tersendiri di sekolah masing-masing. Nak sangat jadi cikgu! Tiada orang paksa dan kita sendiri rela hati menandatangan surat menerima tawaran lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Kita bukan sahaja menerima segala faedah dan ganjaran profesion ini, tetapi juga segala masalah dan cabaran yang datang bersamanya. Pakej lengkap. Take it or leave it? Ignore it? Pilihan di tangan kita.

Sudah tentulah aku terpaksa mempunyai pakej lengkap untuk memadam api. Kalau penyanyi rancangan realiti tv dinilai berdasarkan pakej, cikgupun demikian. Masalahnya bilakah pakej ’fire fighting’ ala bomba ini akan lengkap? Aku pernah berhadapan dengan kes atau masalah disiplin pelajar, guru dan staf sokongan yang pelbagai di Kuantan, namun untuk mengatakan bahawa aku tahu menyelesaikan atau menangani kes-kes di Bentong ini tentunya satu pembohongan. Memang aku harap dan berdoa agar Tuhan Yang Maha Bijaksana mengajarku.

Berdasarkan pengalaman menjadi pengetua  yang masih ”hijau” di sini, aku dapati beberapa panduan berguna berhadapan dengan ibu bapa pelajar bermasalah disiplin ialah:

  1. Tenang dan mesra (’cool head and warm heart’). Banyak berdoa moga-moga semuanya akan selesai dengan baik,
  2. Beri makluman kepada ibu bapa tetapi bukan menyelesaikannya melalui telefon. Seringkali berlaku salah tafsir perkataan, nada, ‘pitching’ dan lain-lain lagi. Jika perlu menjelaskan melalui telefon, berhati-hatilah dengan perkataan. Apabila tiada “bahasa” badan yang boleh ditafsir, maka setiap perkataan adalah mustahak,
  3. Ajak berbincang dalam suasana “anak-beranak”/kekeluargaan,
  4. Sambut ibu bapa dengan hormat dan ucap terima kasih terlebih dahulu kerana sudi bertemu,
  5. Amat berguna jika kita meminta maaf kerana ”mengganggu” dan menyusahkan ibu bapa (mereka mungkin sekali mengambil cuti, meninggalkan kerja atau datang dari jauh).Sudah tentu juga mereka gusar serta malu,
  6. Cari ruang yang paling selesa, nyaman dan menyejukkan; seboleh-bolehnya terlindung daripada pandangan dan pendengaran umum,
  7. Gunakan perkataan “anak kita” apabila merujuk kepada pelajar pada awal pertemuan. Ini cukup membantu meredakan ketegangan/kebimbangan ibu bapa bahawa anak mereka akan dipersalahkan dan kita menganggap pelajar sebagai individu yang jauh dari hati kita (contohilah slogan TV9),
  8. Jangan bertengkar atau mempertahankan tindakan peribadi, guru dan staf di hadapan ibu bapa. Sikap defensif yang tidak dialas atau tidak dilapik dengan ‘cushion’ bahasa yang wajar akan “menyemarakkan api”!,
  9. Sediakan rekod salahlaku yang lengkap; termasuk tindakan yang akan membantu pelajar memulihkan diri. Jangan memberi fokus kepada hukuman,
  10. Dapatkan laporan/pandangan Guru Kaunseling berdasarkan sesi kaunseling individu. (Secara peribadi, aku rasa selesa jika ada laporan dua Guru Kaunseling dan laporan dua sesi tersedia.)
  11. Sertakan rekod akademik pelajar dan dapatkan maklum balas bertulis tentang kekuatan dan kelemahan daripada guru-guru yang mengajar (sebaiknya dalam bentuk jadual/’table’-komen tulisan tangan dengan tandatangan kuanggap terbaik). Pastikan ruang ”kekuatan” turut diisi.
  12. Jelaskan dengan berhati-hati tentang pandangan bahawa perubahan tingkahlaku ada kaitan dengan kemerosotan tumpuan terhadap akademik. Awas! Jangan mereka-reka kaitan jika data menunjukkan sebaliknya. Tiada yang lebih menjengkelkan ibu bapa daripada guru yang ”kelihatan” ’bias’ atau mencari kesalahan anak mereka (walaupun kita tidak bermaksud demikian).
  13. Tunjukkan kita serius dan bimbang akan implikasi negatif tetapi nyatakan juga sayang akan masa depan, tidak membezakan serta menerima pelajar secara peribadi tanpa syarat,
  14. Ikutlah garis panduan/saranan Kementerian Pelajaran melalui surat pekeliling/siaran supaya tindakan kita tidak dipertikai.
Aku amat yakin bahawa ada banyak lagi pendekatan yang bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan yang menjadi ’trademark’ masing-masing. Apa yang penting di sini ialah kita mesti mematuhi garis panduan dan kita menunjukkan pemahaman yang profesional tentang masalah yang wujud. Profesionalisme itulah yang membezakan kita dan bersamanya akan datang penghormatan yang tidak perlu diminta atau dituntut.


Saturday, June 18, 2011

MEMORI BERSAMA PENGETUA

Oleh
Roslan bin Md Ali

Pada bulan Februari tahun 2009 saya menerima surat penempatan sebagai pengetua di salah sebuah sekolah dalam daerah Jerantut. Saya dikehendaki mula bertugas  bermula awal bulan Mac tahun 2009.  Dengan keyakinan berbekalkan serba sedikit pengalaman bertugas sebagai GPK Hal Ehwal Pelajar dan GPK Pentadbiran selama 13 tahun di dua buah sekolah menengah di daerah Maran, saya melapor diri di PPD Jerantut pada 2 Mac 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada JPN Pahang kerana memberikan peluang dan kepercayaan ini.
Pelbagai teori kepimpinan yang dipelajari melalui kursus, seminar, bahan bacaan dan sebagainya boleh dijadikan sebahagian daripada panduan yang berguna untuk memulakan tugas sebagai pengetua disertai dengan pengalaman selama 13 tahun sebagai GPK.
Namun begitu saya mula mengimbas kembali karektor dan amalan atau tindakan-tindakan pengetua yang boleh saya jadikan teladan dan panduan. Saya mula menyusur masa ke belakang mengimbau kenangan bertugas bersama beberapa orang pengetua. Saya juga mengingati kembali tindakan-tindakan pengetua semasa belajar dalam tahun 70an dahulu di sebuah sekolah dalam daerah Jerantut.

BELAKANG PARANG DIASAH LAGIKAN TAJAM


YAHYA BIN AWANG
PENGETUA
SMK JENGKA PUSAT 2, MARAN PAHANG

Saya menyandang jawatan Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Purun di daerah Bera pada tahun 2006. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman sebagai  Pentadbir  di beberapa buah sekolah di Johor dan juga di Pahang saya berazam ingin menjalankan tugas sebagai seorang Pengetua dengan sebaik mungkin. Setelah setahun setengah bertugas di SMK Purun, saya ditukarkan ke SMK Jengka Pusat 2. Diam tak diam sudah tiga tahun saya berkhidmat di sekolah ini.
Tiap-tiap Pengetua mempunyai hasrat dan keinginan untuk menjadikan sekolah mereka , sebuah sekolah yang hebat dan cemerlang dalam semua aspek. Saya juga mempunyai keinginan seperti itu. Saya dan juga warga  Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 mencuba sedaya upaya untuk menjadikan sekolah kami sekolah yang hebat dan cemerlang. Walaupun sekolah saya tidak sehebat atau setanding dengan sekolah-sekolah lain di negeri Pahang ini, namun ada juga beberapa kejayaan yang suka saya kongsi bersama dengan warga pendidik yang lain. Pengalaman saya dalam mentadbir di Sekolah MenengahKebangsaan Jengka Pusat 2 ini sedikit sebanyak telah melakar kenangan manis yang sukar untuk saya lupakan semenjak saya terlibat secara langsung di dalam bidang kepengetuaaan ini.
Saya memulakan tugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Kebangasaan Jengka Pusat  2 ini pada bulan November 2007, Sejak hari pertama saya bertugas di sekolah ini , saya mula  melihat  dan meneliti perjalanan sekolah dari segi pengajaran dan pembelajaran serta  kejayaannya. Di samping itu juga saya sering mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk berbincang dan menerima pandangan bagj melancarkan lagi program-program yang dirancang oleh demi kebaikan anak-anak didik di sekolah ini. Komitmen yang diberikan oleh  Persatuan Ibu bapa dan Guru memudahkan saya untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sekolah. Dari sini saya mula menyusun strategi untuk meningkatkan pencapaian sekolah ini. Langkah pertama yang saya lakukan ialah membina hubungan baik dan mesra antara Pengetua, Penolong Kanan dengan guru-guru.  Seterusnya hubungan dengan murid-murid, staf sokongan dan ‘stake holder’. Hubungan yang dibina  perlu mesra, cekap dan telus.
2 Januari 2010, pendaftaran pelajar tingkatan satu bermula. Saya mendapati ramai di kalangan pelajar tingkatan satu masih belum  menguasai kemahiran 3M. Saya terfikir jika sesuatu tidak dilakukan maka pelajar-pelajar ini akan menghadapi masalah apabila berada di dalam masyarakat nanti. Saya memandang serius keadaan ini. Saya harus merancang sesuatu untuk menangani masalah ini.

LIKU-LIKU PERJALANAN SEBAGAI PENGETUA

Oleh Zulaffandi bin Ahmad

Saya teringat pada kali pertama menerima surat pelantikan sebagai pengetua di SMK Astana iaitu pada Mac 2007. Pada waktu itu, saya bertugas sebagai Ketua Unit, Unit Pengurusan Maklumat di JPN Pahang. Lama juga saya bertugas di sana, hampir tujuh tahun. Terasa tugas pada kali ini amat berbeza dengan tugas yang pernah dilakukan sebelumnya. Walaubagaimanapun kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Dato’ Pengarah pada ketika itu akan saya jadikan sebagai cabaran.
Saya berasa agak gentar juga nak berhadapan dengan guru dan pelajar yang dikatakan mempunyai berbagai kerenah. Tetapi pengalaman menguruskan guru-guru data semasa di JPN sedikit sebanyak membantu dalam menangani perasaan tersebut. Teringat saya pada pepatah Melayu, ’ di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Di mana saya ditempatkan di situlah amanah dan tanggungjawab yang mesti saya laksanakan. Saya mula berfikir bagaimana nak jadi seorang pengetua.
Saya mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari rakan-rakan pengetua yang sudah lama bertugas di sekolah . Antaranya adalah Simaon Kassim, Haji Karim dan ramai lagi. Banyak ilmu yang tiada dalam buku dapat dikongsikan. Seterusnya saya berjumpa dengan bekas pengetua SMK Astana Pn. Hajjah Rakiah Daud yang akan bertukar ke SMK Bukit Goh. Beliau banyak memberi maklumat dan tunjuk ajar berkaitan dengan SMK Astana, baik dari segi pencapaian sekolah, staf mahupun pelajarnya. Dapat saya simpulkan bahawa penentu kepada kejayaan sekolah bergantung kepada kebijaksanaan pengetua yang peka kepada keadaan sekelilingnya. Mencari punca kepada masalah dan menyelesaikan masalah berasaskan kepada punca tersebut.
Untuk mencari gambaran yang lebih jelas tentang sekolah, saya membaca buku pengurusan sekolah. Banyak maklumat yang dapat saya perolehi di dalam buku tersebut. Saya meneliti misi dan visi sekolah. Terdetik dalam hati ..... banyak yang perlu saya lakukan.
Setelah berada di SMK Astana selama hampir lapan bulan, saya diarahkan bertukar ke SMK Bukit Goh. Walaupun banyak program yang tidak dapat saya laksanakan, sebagai penjawat awam saya terpaksa akur dengan arahan yang telah diberikan. Nampaknya sekali lagi saya perlu berjumpa Hajjah Rakiah untuk menyelesaikan proses serah tugas. Banyak maklumat dan tunjuk ajar yang telah disampaikan. Kebetulan pula GPK Kokurikulum, Pn. Wan Norini dan cikgu Wan Sabariah merupakan rakan sekuliah semasa di Universiti Malaya dulu. Bukan itu saja, teman sekelas masa di SK Ahamd juga bertugas di situ. Kemesraan barisan pentadbir dan staf menjadi mangkin kepada saya untuk terus berusaha meningkatkan kecemerlangan sekolah.
Pada 1 November 2007, saya melangkahkan kaki ke SMK Bukit Goh, sebuah sekolah yang telah lama menabur jasa kepada anak-anak peneroka Felda. Murid yang belajar di situ merangkumi Felda Bukit Goh, Felda Bukit Sagu dan juga Felda  Bukit Kuantan. Di sekeliling saya banyak mata dan telinga peneroka yang memantau kecemerlangan sekolah. Jadi saya perlu berhadapan dengan tiga golongan iaitu guru dan staf sokongan, pelajar dan masyarakat setempat. Apa yang penting adalah saya perlu mempunyai perancangan dan tekad untuk berjaya. Insyaallah.
Seperti di SMK Astana, langkah pertama yang saya lakukan adalah mengingat sebanyak mungkin nama guru dan staf sokongan. Saya masih ingat pesanan Tuan PPD pada masa pertama kali mendaftar diri sebagai pengetua ...” Zul, ingat nama guru, itu penting”. Bagi saya, kita akan lebih mengenali seseorang dan lebih mudah berinteraksi jika kita ingat namanya. Guru akan rasa dihargai jika kita sebut namanya. Saya juga pernah terbaca di dalam internet tentang teori kepimpinan yang mengatakan bahawa pengetua yang berkesan mesti dapat berkomunikasi dengan baik dan melaksanakan pentadbiran dengan melibatkan pekerja di bawahnya dengan cara yang disenangi, menghargai pendapat dan pengalaman orang lain. Secara tidak langsung ia akan melahirkan sikap staf yang kuat dan rajin bekerja.
Banyak perkara yang ingin saya lakukan bermain di kepala. Umpama sedang beratur menunggu giliran. Saya memfokuskan kepada disiplin terlebih dahulu. Saya  mengambil peluang mendisiplinkan pelajar tingkatan tiga yang telah selesai menduduki PMR kerana pada masa itu pelajar tingkatan lima sudah mula menduduki Sijil Pelajaran Malaysia manakala pelajar yang lain sibuk menjawab peperiksaan akhir tahun. Ini adalah peluang terbaik membentuk kerohanian pelajar dan seterusnya memantapkan disiplin diri. Alhamdulilah saya mendapat sokongan padu daripada guru-guru terutama guru disiplin.
Pada masa yang sama, pelajar yang mengambil SPM juga tidak diabaikan. Walaupun kedatangan saya ke SMK Bukit Goh agak lewat tetapi perhatian dan sokongan kepada pelajar-pelajar tingkatan lima sentiasa diutamakan. Ada pelajar yang terpaksa dijemput datang ke sekolah untuk menduduki peperiksaan. Begitulah hebatnya guru-guru pada masa sekarang, tugas bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah malah terpaksa memantau pelajar hingga ke rumah.
Sepanjang cuti sekolah, saya mengatur strategi agar kecemerlangan sekolah dapat ditingkatkan pada tahun hadapan. Guru-guru kanan dan staf datang membantu walaupun pada masa cuti. Setelah 2008  membuka tirai, tugas dan tanggungjawab menjadi semakin berat. Walaupun pengalaman menjadi pengetua baru setahun jagung, tetapi saya berasa gembira kerana banyak perubahan yang dapat saya sumbangkan seperti pembinaan laluan gajah menyusur, stok perabot yang baru, surau dan sebagainya. Sebuah almari tersergam indah di laluan lorong ke tangga pejabat. Di situ ditempatkan semua piala dan sijil yang telah diperolehi oleh sekolah. Tujuan saya membina almari tersebut adalah sebagai perangsang kepada semua pelajar agar menyayangi sekolah dan berusaha untuk mengharumkan nama sekolah dalam apa jua bidang.
Saya amat berbangga dengan pasukan Robotik dan F1 sekolah. Bukan mudah bagi sekolah kategori luar bandar seperti SMK  Bukit Goh dapat menghasilkan pasukan Robotik dan F1 yang cemerlang. Usaha dan idea yang dicurahkan , pasti akan membuahkan hasil pada satu hari nanti. Tahniah buat guru dan pelajar yang terlibat.
Penerimaan dan layanan masyarakat Felda menyebabkan  saya merasa amat terharu. Mereka sangat perihatin dan ramah orangnya. Ada saja yang menegur sekiranya saya menjamu selera di gerai Roti Canai Edd berhampiran dengan sekolah. Sekali sekala saya masih lagi ’mengetih’ di gerai roti canai tersebut. Walaupun saya tidak lagi bergelar pengetua SMK Bukit Goh, layanan masyarakat setempat masih seperti dulu. Itulah uniknya SMK Bukit Goh.
Ogos 2009 saya diarahkan bertukar ke sekolah yang baru dibuka, SMK Pelindung.Tidak pernah terlintas di sudut hati saya akan bertugas di sekolah yang di bina berkonsepkan percutian ala resort. Idea pembinaan ini dicetuskan oleh Dato’ Haji Azmey bin Abu Talib selaku Pengarah Pelajaran Pahang pada masa itu. SMK Pelindung merupakan sekolah pertama di negara ini yang berkonsepkan demikian. Ramai pengetua yang berminat nak ke SMK Pelindung. Tanpa di sangka saya telah di beri amanah dan peluang menerajui sekolah tersebut . Itulah takdir namanya.
Pengalaman di dua buah sekolah sebelum ini saya gunakan untuk menguruskan SMK Pelindung. Perkara pertama yang saya lakukan ialah menetapkan hala tuju sekolah dengan menghasilkan misi dan visi. Sukar juga rupanya hendak memulakan perjalanan sebuah sekolah yang baru. Banyak yang perlu dilakukan. Namun kerjasama dan usaha semua warga SMK Pelindung menjadi semangat kepada saya untuk terus meningkatkan kecemerlangan sekolah.
Seperti biasa disiplin pelajar masih menjadi fokus utama saya. Bagi saya kecemerlangan akademik mestilah bergerak selari dengan disiplin pelajar. Tanpa disiplin yang mantap, walau berjuta program akademik di jalankan, misi dan visi  sekolah tidak dapat dicapai. SMK Pelindung sangat bertuah kerana mendapat pelajar-pelajar dari Asrama Seri Semai Bakti Kuantan. Sebelumnya , pelajar ini ditempatkan di SMK Astana. Atas faktor pengangkutan, semua pelajar asrama telah dipindahkan ke SMK Pelindung. Pelajar ini merupakan aset yang sekiranya digilap dengan betul, akan meningkatkan kecemerlangan sekolah.
Tahun ini merupakan tahun yang mendebarkan kerana calon SPM yang pertama akan menduduki peperiksaan pada bulan November nanti. Kejayaan mereka akan menjadi TOV atau titik mula sekolah untuk terus cemerlang. Saya percaya , berkat usaha guru-guru, pelajar dan ibu bapa, kejayaan pasti diperolehi. Saya sangat berharap agar saya dapat bertugas lebih lama di SMK Pelindung supaya semua program yang dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya .
Kepada semua warga sekolah, terima kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan untuk membangunkan sekolah. Harapan saya adalah dapat memimpin dan mendidik dengan kaedah yang terbaik secara  berpasukan dan bersepadu agar hasil kecemerlangan nanti tidak hanya dalam bidang tertentu sahaja malah kecemerlangan dilihat sebagai aspek menyeluruh sebuah organisasi yang dipimpin iaitu SMK Pelindung.

SMK PANDAN, YOU ARE MY BABY

SMK PANDAN, YOU ARE MY BABY
Oleh Alawyah Othman

“Dua tahun sembilan bulan menjadi warga SMK Pandan telah mematangkan kerjaya pendidikanku. Berbagai pengalaman dilalui. Ada yang manis dan kadang-kadang pahit. Ada masa cemerlang, ada kalanya kecundang. Bersama jatuh dan bangun kembali. Akhirnya pada 13.04.2008 (Ahad) aku sendirian mengosongkan bilik ini untuk memberi laluan kepada penggantiku. Penyudahnya air mataku tertumpah di bumimu SMK Pandan. YOU ARE MY BABY! DEWASALAH DENGAN TAMPAN DAN CANTIK. KU DOAKAN...” Inilah catatan yang saya tinggalkan ketika bertukar ke SMK Seri Mahkota mulai 14.04.2008.
SMK Pandan medan pertama tempat saya menguji kemampuan diri sebagai pengetua. Selepas dua minggu melapor diri saya dihantar menghadiri kursus KPKS di IAB selama sebulan. Dalam dua minggu itu tak banyak yang sempat saya teliti dan nilaikan. Sebaik sahaja balik dari kursus, sekolah mengadakan majlis sambutan Ambang Merdeka. Pengisian majlis tersebut lebih kurang sama dengan sekolah-sekolah lain. Selepas rehat diadakan persembahan pelajar dan temanya menepati majlis. Saya turun ke dewan yang telah dipenuhi pelajar dan saya bilang cuma ada 7 orang guru daripada 69 semuanya. Majlis bermula dan berakhir. Penilaian yang boleh saya buat ialah tiadanya latihan dan raptai, sambil lewa, cacat di sana sini termasuk guru yang menjadi pengacara majlis. Kesimpulannya, patutlah tidak ramai guru yang menyaksikan persembahan ini. Mereka sendiri TIDAK SANGGUP untuk menyaksikan majlis yang mereka sudah tahu memang TIDAK MENARIK dan TIDAK SEMPURNA. Ini satu perkara yang saya tidak boleh terima dan tidak pernah berlaku di sekolah tempat saya menjadi Penolong Kanan sebelum ini.

Friday, June 17, 2011

MEMORI CHIN NYUK PHENG

MEMORY  PENGETUA  PAHANG
DISEDIAKAN OLEH
CHIN NYUK PHENG

Sebelum  melangkah masuk ke SMK  TELEMONG , saya telah menerima  banyak  maklumat negatif mengenai sekolah itu. Antara komen-komen yang negatif  adalah seperti  % kelulusan dan GPS peperiksaan PMR dan SPM adalah ranking terakhir di daerah Bentong. Sebilangan guru datang lewat dan balik awal serta tidak masuk kelas. Staf sokongan terutamanya pembantu makmal adalah “ king of the school ” kerana mereka adalah kaki politik dan mempunyai  “ Orang Kuat ” di belakang.
Pada hari pertama bertugas ( 01-09-2006 ) , didapati  4 orang guru datang ke sekolah lewat (antara 8.00-9.00 pagi ). Kebetulan maklumat yang  terdengar adalah benar. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap guru-guru tersebut. Pada hari kedua, ketiga dan hari yang seterusnya, saya berdiri di depan pintu sekolah menyambut kehadiran guru-guru.Tanpa  apa-apa teguran , guru-guru yang datang lewat itu telah sampai ke sekolah sebelum loceng berbunyi pada keesokan hari .Satu perubahan yang positif dan menggalakkan. Saya diberitahu mereka berasa malu ketika melihat pengetua berdiri di depan pintu  sekolah  menyambut serta memberi  salam kepadanya.  Ini merupakan satu kaedah “ soft approach ” untuk menyelesaikan masalah serta mengubah sikap manusia tanpa menjejaskan hubungan mesra antara satu sama lain.
Penekanan prioriti  pertama  adalah  memantapkan  pengurusan  akademik. Pemeriksaan audit akademik  menerangkan kurikulum sekolah memerlukan  penambahbaikan dan harus dipertingkatkan. Selepas sesi perbincangan dan debriefing  dengan  GPK pentadbiran dan semua ketua panitia mata pelajaran , didapati sistem pemantauan  dan penilaian akademik adalah kurang mantap. Walaupun mempunyai  proses “ Plan, Do, Check , Act ”(PDCA), tetapi proses   “Check and Act” sangat kurang. Tindakan yang seterusnya adalah menjalankan pencerapan P&P  dan penyemakan buku  latihan pelajar mengikut jadual perancangan. Setiap kali perjumpaan KMK, guru-guru akan  melaporkan “ outcome  and output”  kepada saya.  Hasil perbincangan  didapati ramai guru muda kurang pengalaman ( 80% ) dalam P&P dan pengurusan kelas.  Kompetensi P&P guru agak rendah. Dengan itu ,program-program  LADAP telah dilaksanakan untuk meningkatkan  kompetensi guru dan profesionisme keguruan.  Antara program LADAP ialah “ benchmarking ”  SMK SERI BENTONG, SMK KETARI dan SM TEKNIK ,KUALA LIPIS. Dengan  melaksanakan perancangan  penambahbaikan berterusan , kompetensi  P&P guru  telah meningkat dan seterusnya %  pencapaian peperiksaan PMR dan SPM turut meningkat.  Dari semasa ke semasa, saya  cuba menyerap nilai kreatif , pemikiran positif dan  semangat ingin berubah dalam kalangan warga sekolah  untuk mewujudkan budaya inovatif  di SMK TELEMONG

CHINI-TANJUNG GEMUK-ROMPIN

CHINI-TANJUNG GEMUK-ROMPIN
Hasil nukilan : PN HAWIAH BINTI CHIK , SMKR , 2011.

Tanggal 16 Februari 2006 aku telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah yang baru dibuka  di Felda  Chini , Pekan ,Pahang. Sekolah  ini merupakan sekolah yang ke 8 aku bertugas dalam tempoh perkhidmatan selama 22 tahun sebagai guru. Walaupun aku terpaksa berulangalik sejauh 170 km setiap hari  dari Bandar Pekan, namun  tidak menjadi masalah kepadaku kerana dalam masa sejam aku dapat sampai ke sekolah. Anak-anakku empat orang masih bersekolah tapi kakak sulungnya ada di rumah sedang menunggu keputusan STPM. Selain  itu dengan berulang ke sana aku dapat melewati kubur ibuku di Kg Padang Rumbia pada setiap hari yang mana hampir 19 tahun telah aku tinggalkan sejak berpindah ke Perak      ( 1985 ) dan Kelantan mengikut suami. Setiap kali melalui kawasan tersebut aku akan memberi salam dan kusedekahkan surah  Al-Fatihah kepadanya dan saudara mara yang lain. Di samping itu dengan mendengar siaran Radio IKIM.FM sepanjang perjalanan pergi dan balik, banyak ilmu yang dapat ku peroleh untuk ku jadikan idea bagi ucapan-ucapan di sekolah.
           Malangnya, bangunan sekolah baharu masih belum siap.Justeru kami terpaksa menumpang di SMK Chini pada sesi petang selama  5 bulan .  Pengetua SMK Chini ketika itu  ialah Tn Hj Razak Mohamad , iaitu jiranku semasa  di Kg Parit Tengah , Pekan. Aku bersekolah menengah di SMU Tengku  Ampuan Fatimah, Pekan dan menumpang di rumah abang keduaku kerana jarak dari kampung asalku ke Pekan ialah 16 batu  Apabila  memikirkan hal ini airmataku menitis tanpa disedari dan aku amat bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana walaupun kami berasal daripada  keluarga susah, namun berkat kesabaran dan usaha gigih ,kami sekarang telah memegang jawatan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Jumlah pelajarku tak ramai hanya 300 orang sahaja dan jumlah guru 24 orang. Dengan berbekalkan pengalaman selama setengah bulan sebagai GPK Pentadbiran dan masing-masing  lima  tahun sebagai Ketua Bidang Sains dan Matematik serta setahun setengah sebagai Ketua Bidang Vokasional dan Teknik, alhamdulillah seboleh mungkin aku memimpin warga sekolah dengan penuh komited untuk menuju kecemerlangan.  Malang  juga bagiku kerana semua set  pemimpin dari pengetua hingga  GPK termasuk hanya seorang Pembantu Tadbir  terdiri daripada orang baharu dan  tidak ada langsung  pengalaman dalam bidang masing-masing. Rasa nak marah pun ada pada orang JPN. Walau bagaimanapun aku amat bersyukur pada Allah SWT kerana mereka semua amat komited melaksanakan tugas masing-masing  dan sentiasa berusaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang sepatutnya, dalam tempoh tiga bulan sahaja. Sebaliknya kali ini aku berterima kasih kepada  pegawai-pegawai  JPN Pahang kerana melantik orang - orang  yang cemerlang untuk membantuku  membangunkan sekolah baharu ini. Kebanyakan urusan kewangan diurus oleh GPK 1 , En Azman Ishak yang terpaksa mengusung Buku Tunai panjang itu pergi balik sampai naik ‘lunyai’ untuk belajar dengan KPT SMK Chini.Tak cukup siang, beliau belajar pada waktu malam kerana masing-masing tinggal di Kuarters Guru. Memasukkan wang ke bank menjadi tugasku kerana anak saudaraku bekerja di salah sebuah bank di Pekan.