Thursday, August 4, 2011

MENGURANGKAN KEKERAPAN PELAJAR LELAKI KE TANDAS DI SMK PELABUHAN

Oleh 
 LAILATUN ZALALIAH BINTI HUSSAIN

Abstrak
Program yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kekerapan bilangan pelajar lelaki ke tandas. Tinjauan awal dibuat berdasarkan pemerhatian guru-guru dan pentadbir terhadap pelajar lelaki yang kerap ke tandas dalam satu-satu masa. Masalah pelajar kerap ke tandas boleh mendorong kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar. Satu kajian telah dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Setidaknya untuk mengurangkan jumlah pelajar lelaki ke tandas. Borang soal selidik telah digunakan untuk mengenalpasti masalah yang menyebabkan pelajar kerap ke tandas. Cara temubual yang dilakukan ke atas pelajar untuk mendapat maklumbalas berkaitan masalah pelajar lelaki kerap ke tandas dan keadaan tandas pelajar lelaki.

1. PENGENALAN
1.1 Latar Belakang Kajian
Kebanyakan pelajar lelaki kerap ke tandas semasa berada dalam sesi persekolahan. Ia melibatkan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan bukan sekadar waktu rehat pelajar sahaja. Situasi ini cukup membimbangkan warga pendidik SMK Pelabuhan.

1.2 Refleksi Masalah
Tinjauan mengenai program ini berdasarkan pengalaman sendiri serta rakan-rakan guru yang lain mendapati terlalu ramai pelajar lelaki  di sekolah kerap pergi ke tandas, malah menjadikan tandas sebagai tempat untuk bersembunyi daripada melakukan aktiviti yang diwajibkan kepada pelajar.  Masalah yang dihadapi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan seperti yang dirancang. Ianya sedikit sebanyak menganggu guru yang ingin melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu, perlu wujud satu usaha bagi menbendung masalah ini daripada berpanjangan agar dapat memupuk minat pelajar kekal berada di kelas pada waktu p&p di samping mengurangkan bilangan pelajar ke tandas dalam satu-satu masa.

2. OBJEKTIF KAJIAN
   i. mengurangkan bilangan kekerapan pelajar lelaki ke tandas.
  i.  memelihara dan memulihara kebersihan dan keceriaan tandas pelajar lelaki.
 ii.  mengenalpasti kaedah untuk mengurangkan kekerapan pelajar kerap ke tandas.
iii.  memupuk minat pelajar untuk menjaga kebersihan tandas.

3. FOKUS KAJIAN
Kajian ini memfokuskan sasaran kepada pelajar lelaki dari tingkatan 1 hingga 5 dan guru-guru SMK Pelabuhan.

4.  PELAKSANAAN KAJIAN
4.1 Tinjauan Awal
Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap masalah yang dikenalpasti dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam masalah tersebut. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti berikut:
4.1.1 Soal selidik
Borang soal selidik telah disediakan dan diedarkan kepada pelajar untuk mendapatkan maklumbalas pelajar berkenaan terhadap persepsi pelajar mengenai tujuan pelajar ke tandas.
4.1.2 Temubual
Satu temubual secara non formal telah dilakukan terhadap guru dan pelajar lelaki di setiap tingkatan (5 orang setiap kelas) mengenai keadaan tandas, suasana dalam tandas, peraturan yang perlu dipatuhi semasa ke tandas dan punca pelajar kerap ke tandas serta dengan keizinan siapa pelajar itu ke tandas.
4.1.3 Pemerhatian
Kami telah membuat pemerhatian ke atas tingkah laku pelajar semasa berada di luar tandas. Rata-ratanya pelajar melebihi 5 orang berada untuk menunggu giliran masuk ke tandas pada waktu pagi,rehat dan waktu antara guru masuk ke kelas.

5.  ANALISIS TINJAUAN MASALAH
5.1.1 Analisis soal selidik
Satu borang soal selidik telah dibuat untuk mengetahui tujuan pelajar ke tandas. Seramai 200 pelajar telah memberikan respon positif. Antara dapatan yang dapat diambil daripada analisis soal selidik yang telah dijawab oleh pelajar ialah:-
-          Memang berhajat untuk qada hajat.                                                   (68 pelajar)
-          Untuk menukar pakaian dan memperkemaskan diri.                        (55 pelajar)
-          Ponteng kelas                                                                                     (25 pelajar)
-          Keinginan tanpa tujuan                                                                       (21 pelajar)
-          Merokok                                                                                              (21 pelajar)

Daripada soal selidik yang dijalankan, ada beberapa cadangan dari pelajar hasil dari soal selidik. Antaranya:
ü  140 pelajar dari beberapa aras tingkatan mencadangkan agar bayaran masuk ke tandas sebanyak rm0.20 @ rm0.50 dikenakan ke atas setiap pelajar setiap kali masuk.
ü  140 orang juga mencadangkan supaya guru mengawasi setiap pelajar ke tandas untuk mengetahui aktiviti pelajar di dalam tandas sama ada merokok atau lain-lain.
ü  125 pelajar mencadangkan supaya pintu tandas dikunci setelah digunakan. Kunci hanya boleh diambil dengan kebenaran guru dan pelajar perlu memakai pas kebenaran.

5.1.2 Analisis Temubual
Setelah temubual dijalankan daripada 270 orang pelajar lelaki berbagai tingkatan, dapatlah dirumuskan
-       60% pelajar menyatakan tandas pelajar lelaki kotor dan tidak selesa bila berada di tandas.
-       70% pelajar tidak mengikut peraturan tandas yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
-       60% pelajar ke tandas setiap hari.
-       80% pelajar tidak suka pergi ke tandas.
-       63% pelajar dapat menerima peraturan yang telah ditetapkan di sekolah.   

5.1.3 Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian terhadap situasi dan peraturan masuk semasa kajian dijalankan terhadap kumpulan sasaran didapati :
ü  Pelajar pergi ke tandas dengan keizinan guru matapelajaran dan
ü  Terdapat pelajar yang pergi ke tandas tanpa keizinan guru iaitu samada waktu pertukaran guru atau semasa guru tiada dalam kelas
ü  Pelajar merekodkan kemasukan mereka ke tandas dengan menandakannya di dalam buku rekod penggunaan tandas.
ü  Buku rekod tersebut hanya membenarkan pelajar sekali sahaja masuk ke tandas pada satu hari persekolahan.
ü  Dalam satu masa hanya tiga pelajar sahaja boleh masuk ke tandas.
ü  Pelajar perlu menanggalkan kasut sekolah mereka dan menggunakan selipar yang telah disediakan di tandas.
ü  Pelajar yang lain perlu menunggu giliran untuk masuk ke tandas. Situasi ini memperlihatkan ramai pelajar berada di kawasan tandas.
ü  Manakala pelajar yang berada dalam tandas tidak diberi masa tertentu menyebabkan mereka lama di dalam tandas dan ada juga pelajar yang lepak di dalamnya kerana tidak mahu masuk ke kelas atas sebab tertentu.

6.  TINDAKAN YANG DICADANGKAN

6.1 Tol Tandas 
Cara pelaksanaan:
ü  Sebelum peraturan ini dikuatkuasakan, usul ini perlu dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat PIBG untuk mengelakkan sebarang masalah berbangkit.
ü  Peringkat awal : Setiap pelajar dikenakan bayaran sebanyak 20 sen setiap kali ke tandas.Ini  adalah untuk mendidik pelajar supaya lebih berdisiplin dan menghargai tandas.
ü  Pelaksanaan secara bayaran ini akan berterusan sehingga tempoh 4 bulan.
ü  Setelah mereka berjaya mendisiplinkan diri, bayaran hendak ke tandas tidak dilaksanakan.
ü  Bayaran ini akan dibayar pada pekerja yang menjaga dihadapan tandas.
ü  Duit bayaran pelajar akan direkod dan digunakan bagi membaik pulih sebarang kerosakan yang ada di tandas.

6.2 Kunci dan Guna
Cara pelaksanaan:
ü  Tandas akan dikunci pada 3 waktu yang tertentu iaitu pada waktu pertama, waktu selepas rehat dan waktu akhir. Ini bagi mengurangkan kadar bilangan pelajar yang masuk ke tandas memandangkan pada waktu ini  agak terlalu ramai pelajar yang masuk ke tandas.
ü  Sekiranya pelajar ingin menggunakannya,dia perlu meminta izin daripada GPK HEM untuk  membukanya.
ü  Pelajar juga perlu menulis nama dan tingkatan untuk tujuan semakan guru. Ini bagi memastikan tandas yang digunakan berada dalam keadaan yang bersih dan selamat selepas kegunaan pelajar tersebut.
ü  Selepas menggunakan tandas, pelajar perlu menyerahkan kunci kembali kepada pekerja swasta yang dilantik oleh pihak sekolah untuk menjaga tandas supaya kunci tandas tidak hilang.

6.3 Pas Tandas
Cara pelaksanaan:
ü  Pelajar yang ingin pergi ke tandas perlu mendapatkan pas tandas yang hanya boleh didapati daripada guru matapelajaran.
ü  Pas ini memerlukan pelajar mendapatkan tandatangan guru beserta namanya dan catatan yang menjelaskan bahawa hanya dibenarkan seorang sahaja pelajar yang diizinkan pergi ke tandas.
ü  Di dalam pas tandas itu juga perlulah dinyatakan tarikh, hari dan masa yang dibenarkan untuk pergi ke tandas.(rujuk lampiran 2)     
ü  Sekiranya pelajar yang berada di dalam tandas tidak mempunyai pas tandas, guru berhak meminta bayaran rm0.30 daripada pelajar tersebut, diberikan kepada pekerja yang menjaga tandas. Pelajar akan diberikan resit denda sebagai bukti dia telah membayar denda tersebut.
ü  Usul pelaksanaan bayaran sebagai denda ini perlu dibentang dan dipersetujui oleh ahli mesyuarat PIBG sebelum dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit.
ü  Ia kerana pelaksanaan ini bukan untuk menganiayai pelajar atau ibubapa tetapi untuk sebagai satu cara untuk pelajar berdisiplin.
ü  Sekiranya pelajar dapat mendisiplinkan diri, denda tidak akan dilaksanakan lagi. Ianya bukan dalam jangka masa yang panjang. Ianya bergantung kepada keadaan.

 6.4 Tandas Angkat
Cara pelaksanaan:
ü  Setiap tandas yang terdapat dalam tandas pelajar lelaki diberikan nama tertentu.
ü  Kunci disediakan pada setiap pintu tandas tersebut.
ü  -Semua kelas sebanyak 38 kelas akan dibahagi kepada jumlah tandas yang ada dalam tandas lelaki.
ü  -Setiap pelajar dipertanggungjawab untuk menjaga kebersihan, keceriaan tandas angkat tersebut.
ü  -Pelajar hanya boleh menggunakan tandas yang dijaga oleh mereka sahaja untuk menjamin kebersihan tandas tersebut.
ü  Pelajar yang masuk ke tandas itu perlu menulis nama sebagai rujukan.
ü  -Sekiranya tandas itu dalam kedaan yang tidak memuaskan maka ia akan dirujuk kepada pelajar yang dipertanggungjawab (AJK Tandas disetiap tingkatan) untuk menjaga tandas itu.

6.5 Pas, Tol dan Resit PIBG
ü  -Sebelum peraturan ini dilaksanakan, ianya perlu dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat PIBG untuk pemahaman dan persetujuan ibubapa. Ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi di antara ibubapa dan guru serta pelajar.
ü  Sekiranya dipersetujui dalam mesyuarat PIBG, barulah ianya boleh dilaksanakan mengikut keadaan tertentu.
ü  Mengikut perancangan, setiap pelajar yang ingin pergi ke tandas perlu mendapatkan pas tandas daripada guru matapelajaran.
ü  Sebelum masuk ke tandas pelajar perlu membayar duit sebanyak 0.20 sen sebagai tol tandas yang dikutip oleh pekerja kontrak yang dilantik oleh pihak sekolah dan PIBG.
ü  Pelajar akan diberikan resit bayaran  (kupon ) yang dicop dengan cop sekolah dan PIBG sebagai bukti pelajar memasuki tandas. Ini bagi mengelakkan pelajar pergi ke tandas bukan untuk ponteng dan hanya untuk qada hajat. Dengan ini, ia akan mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar lelaki.  
ü  Duit kutipan tol ini akan digunakan untuk membiayai kebersihan dan keceriaan tandas. 

7.   PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN / PENILAIAN
Peraturan memasuki tandas sebelum ini menetapkan supaya pelajar menulis nama dan kelas setiap kali ingin memasuki tandas. Setelah peraturan ini dilaksanakan, kami mendapati peraturan tersebut mempunyai kelemahan iaitu pelajar tidak menulis nama sebenarnya untuk memasuki tandas dan menanggalkan kasut serta memakai selipar yang disediakan.
Peraturan yang kedua diperkenalkan iaitu senarai semua nama pelajar beserta tingkatan telah disediakan dalam rekod pelajar ke tandas. Pelajar yang ingin pergi ke tandas perlu merekodkan dalam buku rekod tandas. Pelajar hanya boleh pergi ke tandas sekali sahaja dalam sehari. Ini berdasarkan kotak yang disediakan. Pelajar hanya perlu tanda pada bahagian namanya.Pekerja kontrak kebersihan akan memastikan pelajar menandakan pada nama pelajar itu.mereka akan menanggalkan kasut dan memakai selipar yang disediakan.
Selepas itu, penilaian akan dibuat oleh JK Disiplin dan pihak HEM. Mereka akan menyemak buku rekod tandas pada setiap akhir bulan. Analisis kelemahan dan kekerapan penggunaan oleh pelajar tertentu ke tandas akan dipanggil dan diberi amaran. Tindakan tatatertib seterusnya akan diambil bagi pelajar yang melanggar peraturan dan perjanjian untuk memasuki tandas.

8.  REFLEKSI  KAJIAN
Amalan pelajar pergi ke tandas mungkin perkara biasa di semua sekolah tetapi sekiranya dalam satu masa terlalu ramai pelajar berada di tandas adalah tidak wajar. Diharapkan dengan kajian yang dijalankan ini, bilangan pelajar yang pergi ke tandas dapatlah dikurangkan. Dengan ini masalah disiplin pelajar juga akan berkurangan. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa peraturan ini dapat dilaksanakan dengan baik. Cuma untuk menjadikan peraturan ini lebih berkesan, pekerja yang bertugas menjaga tandas perlu melihat tandanama pelajar di pakaian seragamnya sebelum pelajar menanda dalam buku rekod tandas. Ini bagi mengelakkan penipuan di kalangan pelajar.

3 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan
    terima kasih kpd Sdri Lailatun dan Tuan atas perkongsian bahan kajian ini .
    Amalan kerap ke tandas memang tidak bagus untuk pelajar.

    ReplyDelete
  2. Cikgu Rizz mohon share...TQ

    ReplyDelete
  3. jailani Tasman (Pengetua SMK Gali)January 8, 2012 at 6:42 PM

    Assalamualaikum...Terima kasih atas kajian tindakan yang telah dilaksanakan. Saya akan cuba realisasikan mana yang sesuai dengan iklim sekolah.tq

    ReplyDelete