Monday, May 30, 2011

HARI PERTAMA DI KAMAR PENGETUA

Oleh Yahya bin Zainal Abidin


“Kini umur aku menjangkau 50 tahun, seronok diberi peluang menerajui sekolah. Terus pegang jawatan pengetua sekolah besar di bandar. Pengalaman mentadbir sekolah amat sedikit, mengajar dalam kelas banyaklah. Tak mengapa, aku akan cuba.”
Itulah perasaan saya sewaktu mula menerima surat pelantikan sebagai pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, Temerloh pada bulan Februari 2005 yang lalu. Nama popular sekolah ini ialah ABS bermaksud ”Abu Bakar School”. Pada waktu itu saya bertugas di SMK Maran sebagai guru cemerlang Matematik gred DG48. Walaupun gred tidak berubah tetapi tetap seronok mendapat pangkat serta diberi kepercayaan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Pahang menerajui sebuah sekolah berjenama.

Timbul pertanyaan bagaimana mahu menggerakkan sekolah yang besar itu? Saya perlu menggunakan peluang sisa perkhidmatan enam tahun ini dengan sebaik mungkin. Ini adalah satu tugas baru yang mencabar. Saya lama bergelumang dengan anak murid di dalam kelas. Namun begitu saya tidak berasa seram kerana ada dua peristiwa lalu yang memberi keyakinan kepada saya.

Pertamanya saya pernah menyertai pasukan hoki SMRK Chenor tahun 1969 berlawan dengan pasukan hoki ABS dan SMK Seri Bahagia di padang sekolah ini. Waktu itu saya belajar di tingkatan tiga. Rupanya pengalaman dalam bidang sukan masa lalu memberi kesan positif yang mendalam. Itulah faedah kita aktif dalam sukan dan kokurikulum sewaktu di bangku sekolah.

Keduanya, saya pernah membentangkan satu kertas kerja berkaitan kelab komputer sekolah peringkat negeri Pahang sekitar tahun 1996 di dewan ABS ini. Bersandarkan dua pengalaman itu, saya berasa yakin untuk menerajui sekolah ini. Saya sama sekali tidak mahu dicap sebagai makan angin sebelum bersara.