Friday, June 24, 2011

JEPUN DAN SEKOLAH CEMERLANG

Jailani bin Tasman
Pengetua , SMK Gali,Raub

Disaat aku sekarang ini bergelar seorang Pengetua di SMK Gali,Raub. Saban hari aku berhadapan dengan 1001 masaalah dan cabaran untuk diuruskan dan ditangani secara bijaksana.

            Masuk sahaja ke pintu pagar sekolah seawal 6.30 pagi maka bermulalah tugas-tugasku sebagai Pengetua. Dipintu pagar aku disambut setia oleh Pengawal Keselamatan, ”Assalammualaikum Boss…Alhamdulillah sekolah dalam keadaan selamat.”sapa Pengawal Kesalamatan sambil menganggukkan kepala sebagai tanda hormat.

            Sesampai dipejabat aku mulakan tugas dengan memperdengarkan alunan Zikir Munajat melalui kemudahan pembesar suara canggih di sekolah. Kadangkala aku selang selikan dengan siaran bacaan Surah-surah lazim ataupun Nasyid.

            Jam 7.20 pagi maka bermulalah sesi persekolahan pagi dan ketika itulah pelbagai perkara datang kepadaku untuk diselesaikan sehingga ke akhir sesi persekolahan.Bermula hari isnin sehingga hari Jumaat.

            Suatu hari aku duduk dihujung dewan terbuka(serbaguna), ketika itulah aku terkenang zaman aku kanak-kanak,seronok rasanya zaman tersebut tiada banyak masalah hidup yang perlu difikirkan, hari-hari pergi bermain dengan kawan-kawan, berseronok mandi-manda di tali air dan kekadang bermain masak-masak bersama rakan lain jantina.

            Tiba-tiba aku teringat suatu kisah yang diceritakan oleh bapaku tentang zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.Menurut bapaku,atok ku suatu masa dulu telah ditangkap oleh pihak Jepun dan telah didera dengan cara mengikat seluruh tubuhnya pada buaian dan rakannya yang lain diperlakukan yang sama,kemudian mereka dihayunkan dengan laju menyebabkan kepala mereka berlaga sesama mereka. Perbuatan itu dibuat berulangkali sebagai satu hiburan tentera Jepun. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana deritanya datukku ketika itu.

            Secara tidak semena-mena tanganku menggenggam erat sebagai reaksi geram terhadap kekejaman Jepun, dalam kotak fikiranku,jahat betul Jepun ini.

            Pada penghujung tahun 2007 dengan berkat usaha semua warga sekolah, akhirnya SMK Tersang telah dinobatkan sebagai Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Lonjakan Saujana STPM.Sebagai salah satu hadiahnya aku telah ditawarkan pakej Lawatan sambil belajar ke Nagoya Jepun. Perkara ini memang tidak disangka-sangka langsung,namun peluang dapat pergi ke Jepun ini hendak aku gunakan untuk mengetahui sekejam mana Jepun yang telah diceritakan oleh ayahku.

            Apabila berada di Jepun aku sangat terkejut dengan budaya mereka dengan cerita masa ku kecil dulu.Mungkin cerita itu watak orang Jepun zaman perang,penuh dengan keganasan, kezaliman dan kebiadaban.

            Melalui penampilan diri mereka aku sangat kagum dan teruja dengan santunnya ketika bercakap, lemah lembutnya ketika melayan tetamu,tunduk hormat dan bermacam-macam lagi nilai diri positif yang mereka miliki.

            Disini ingin aku kongsikan beberapa perkara baik amalan hidup  orang Jepun walaupun ia sudah mencapai status negara maju,semoga menjadi pedoman & pengajaran.
Peristiwa 1
Satu hari sewaktu lawatan kami ke sebuah bangunan bersejarah di Nagoya Jepun. Sebelum sampai ke bangunan tersebut aku terserempak seorang pemandu teksi berpakaian kemas, bertali leher dan bertopi, turun dari teksi seterusnya membuka bonet teksi lalu mengeluarkan sebatang penyapu yang diikat dengan kayu panjang, terus menyapu daun-daun kering disepanjang jalan tersebut. Perkara kedua aku kagum ialah ia bukan sahaja menjalankan tugas-tugas orang lain tapi kerja orang lain itu juga,dilaksanakan dengan rasa hati yang gembira, ada tanda memek muka, suka,senyum dan gembira menjalankan tugas tersebut.

            Jiwa yang kuat sahaja yang boleh menjalankan kerja sukarela tanpa rungutan malah kalau kerja itu dilaksanakan dengan ikhlas dan tulus hati mereka pun suka melaksanakan kerja-kerja tersebut.

            Bila saya buat reflection saya rasa sifat-sifat ini sudah semakin terhakis dalam jiwa masyarakat kita hari ini”Kerja kalau tidak dapat bayaran jangan harap nak dilaksanakan”.
        
Peristiwa 2
Suatu hari semasa lawatan ke sebuah sekolah tinggi di Nagaya Jepun, tengah kami sedap diberi penerangan oleh seorang pensyarah di sekolah tinggi tersebut melalui tayangan LCD,tiba-tiba seorang pensyarah lain duduk dimuka pintu lalu merangkak masuk, tujuannya ialah supaya badannya tidak menggangu tayangan yang sedang dijalankan. Kalau dalam masyarakat kita sepanjang aku hidup aku tak pernah terjumpa seorang semulia pensyarah sanggup merangkak didepan audian semata-mata tak nak menggangu tayangan,(yang ramainya berjalan didepan skrin dengan gaya selamba sahaja tanpa rasa bersalah).
          
Peristiwa 3
Kesempatan aku berjalan malam di bandaraya Tokyo sebuah bandar cosmopolitan dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang mengagumkan. Sepanjang malam tersebut lebih kurang pukul 12.00 malam -2.00 pagi, keadaan sangat aman, masuk lorong ini masuk lorong itu semuanya aman dan selamat tiada sesiapa menggangu.

            Tetapi sebelum pergi ke Jepun aku ada pengalaman lalu dilorong Haji Taib. MasyaAllah, ngerinya melihat lorong-lorong tersebut di penuhi pelacur-pelacur dan pondan yang mencari pelanggan , penagih dadah yang bergelimpangan,pengemis yang gelandangan, nak berjalan kat lorong-lorong belakang  macam sengaja nak bunuh diri.

            Banyak lagi peristiwa yang menarik yang bila kita buat perbandingan masyarakat Jepun lebih baik dengan masyarakat kita hari ini. Kemajuan dan kemakmuran Jepun tercapai, mungkin masih banyak sifat positif yang menjadi amalan kuat masyarakatnya. Masyarakat kita kaya dengan amalan dan nilai-nilai murni kehidupan.Namun nilai-nilai ini jauh daripada amalan hidup mereka malah sesetengah pihak sudah menguburkan nilai ini dalam kehidupan bermasyarakat.

            Kesemua yang berlaku ada hikmahnya pengalaman ke Jepun dan tanggungjawab sebagai pendidik ada hubung kaitnya. Mulai saat inilah kita sebagai pendidik seluruh negara  harus  kembali menerapkan amalan nilai-nilai murni & positif dalam kehidupan pelajar hari ini sebagai pewaris bangsa yang merdeka pada masa hadapan. Perkara paling penting wawasan 2020 kearah status Negara maju, dapat dicapai tanpa mengorbankan nilai murni, adat ketimuran dan jatidiri bangsa Malaysia yang berdaulat.


1 comment:

  1. Seronok baca cerita cikgu Jailani tetapi saya dapat cerita yang berbeza. Ayah saya sewaktu kecil tak pergi sekolah, anak yatim. Tinggal bersama nenek. Nenek tak upaya menyuruhnya pergi sekolah. Tiba2 Jepun memerintah. Jepun memaksa kanak2 pergi sekolah. Maka belajarlah ayah di sekolah Jepun. Setiap enam bulan dia melompat kelas, cerah otaknya. Dalam masa tiga tahun dia tamat darjah enam. Lepas itu tentera Jepun bawa ayah ke merata kampung sebagai pentejemah pegawai Jepun bila bercakap kpd orang kampung. Sayang tidak berapa lama kemudian Jepun kalah, maka ayah kembali tak bersekolah. Ayah kata, “ Kalau Jepun terus memerintah rasa-rasanya aku boleh jadi orang besar.” Tak mengapalah, ayah gigih menyekolahkan kami melalui kegigihan tulang empat keratnya.

    ReplyDelete