Wednesday, June 29, 2011

NOSTALGIA PAHIT MANIS DI SERI BAHAGIA

Oleh
Pn Hjh Foziah Bt Harith
Setelah hampir satu tahun saya bertugas di PPD Temerloh sebagai Pegawai Teknik & Vokasional Unit Akademik, angin bertiup kencang di luar mengatakan saya akan dilantik menjadi pengetua di SMK Seri Bahagia akibat pertukaran 2 pengetua dalam masa setahun disitu menyebabkan kekosongan berlaku..Memang banyak perkara negatif yang saya dengar tentang sekolah ini. Prestasi akademik yang rendah. Tempat buangan pelajar yang bermasalah dari sekolah berdekatan. Kadar ponteng sekolah dan kelas yang tinggi. Perlanggaran kes disiplin yang agak membimbangkan dan banyak lagi..Kalau nak diikutkan ramai yang  cuba mengelak untuk menjadi pengetua di Seri Bahagia.
Tetapi saya lain. Sebagai bekas pegawai di PPD, saya ikhlas dan benar-benar ingin untuk mengubah situasi yang berlaku di Seri Bahagia..Harapan PPD agar imej sekolah ini dapat dipulihkan dan menjadi antara sekolah pilihan ibubapa di kawasan sekitar ini. Saya anggap ini sebagai satu cabaran dan yakin dapat meningkatkan pencapaian sekolah sedikit demi sedikit. Saya mengharapkan dan sentiasa berdoa agar tuhan dapat  memberi petunjuk dan hidayah serta kekuatan kepada saya untuk mentadbir Seri Bahagia.
Tanggal 17/7/2007, saya melapor diri di sekolah. Saya terus ke pejabat dan memperkenalkan diri. Saya diterima dengan baik oleh semua staf pejabat yang terdiri daripada En Othman Chik, Pn Hamizah dan Pn Rosliza. Kemudian GPK1,Tn Hj Ansari, GPK HEM, En Ariffin dan GPK Koko, En Jamaluddin memperkenalkan diri. Dalam pemerhatian saya, nampaknya mereka boleh dijadikan ‘team’ untuk bekerjasama. Mereka menanyakaan khabar saya sebab ada berita mengatakan saya dimasukkan ke hospital kerana darah tinggi. Mereka ingatkan darah saya naik disebabkan tekanan kerana menjadi pengetua di Seri Bahagia..Oh Tidak! Saya katakan yang saya tidak menghadapi sebarang tekanan untuk bertugas di sini sebab memang saya nak kesini dan ikhlas untuk membantu sekolah..Saya sentiasa bersikap positif Saya dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan darah tinggi kerana tidak makan ubat dan agak penat serta  stress ketika menjadi pegawai perhubungan sempena lawatan PPD Kebangsaan di Kuantan. Pada masa itu saya masih menjalankan tugas akhir di PPD.
Apabila masuk ke bilik pengetua, sedikit demi sedikit saya ceriakan bilik itu daripada sebelumnya dengan menampal beberapa poster berbentuk motivasi untuk sentiasa memberi kekuatan kepada saya dalam saya melaksanakan tugas sebagai pentadbir. Antaranya ialah :  
CABARAN
Teruskan Usaha . Teruskan Percubaan . Jangan Mengalah
Usaha itu penentu kejayaan.

JANGAN BERPUTUS ASA
Jadikan setiap rintangan sebagai dorongan untuk mencapai kemenangan

THE KEY TO SUCCESS LIES IN YOUR HANDS
Bilik tempat kita bekerja juga harus selesa dan kondusif supaya tidak menimbulkan stress dan dapat memberi  ketenangan kepada kita.
Pada hari kedua, saya diperkenalkan kepada semua warga Seri Bahagia semasa perhimpunan pagi. . Saya juga menyeru kepada semua untuk memberi kerjasama kepada saya demi untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah.  Apa yang penting guru dan pelajar tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tugas guru ialah mengajar manakala tugas pelajar ialah belajar. Selesai perhimpunan, saya membuat enviromental scanning’ melaluiManagement by Walking Around (MBWA) dan ‘Walk Around Your School’ (WAYS).
Walaupun banyak penambahbaikan dari segi infrastuktur telah dibuat oleh pengetua sebelum ini, namun masih lagi ada struktur-struktur fizikal yang perlu pembaikan. Yang ketara sekali ialah pagar di sekeliling sekolah yang menyebabkan pelajar senang lolos. Alhamdulillah,rezeki memihak kepada saya. Setelah permohonan dikemukakan kepada pihak PPD, tembok baru didirikan menggantikan sebahagian pagar ‘chain-link’ yang telah rosak. Melepaslah peluang pelajar-pelajar yang suka ponteng..Sedikit demi sedikit, keceriaan sekolah dapat ditingkatkan sepanjang saya bertugas di Seri Bahagia.Ini melegakan warga Seri Bahagia. Bersyukur dan rasa bangga juga apabila rakan-rakan memuji dan mengatakan Seri Bahagia dah banyak berubah sekarang. Antara kejayaan yang pernah dimenangi ialah Johan Anugerah Gading Bersilang Makmal Komputer 2008, Johan Makmal Sains Sempena Hari Guru Peringkat Daerah 2009. Terima kasih kepada Pn Zaiton ,guru  penyelaras makmal komputer yang dibantu oleh EN Mohd Saad dan staf makmal seperti En Ahmad, Pn Norhayati, Pn Siti Rafidah, Pn Maznah, En Burhanudin dan guru sains Pn Noraini Zainal Abidin dan Pn Norwahida..
Hubungan staf dan guru di Seri Bahagia pada peringkat awalnya sangat rapat umpama   seperti sebuah keluarga yang harmonis. .Trademark kami ialah Woodball. Laman woodball Seri Bahagia sentiasa di jaga rapi oleh staf sokongan dan saya bangga kerana inilah laman terbaik yang ada di daerah Temerloh. Walaupun sebelum ini, saya tak pernah pegang kayu woodball, tetapi disebabkan hampir semua pandai main di Seri Bahagia, maka terpaksalah saya turun padang dan berlatih serta ikut rentak mereka. Siapa sangka, saya pernah menjadi johan kategori VIP Wanita PSKPP Woodball Negeri Pahang. Kejohanan demi kejohanan dianjurkan sehingga kami pergi bersama bermain di Lanjut,Rompin dan di Dhe Rhu Kuantan. Seronoknya! Kami rasa seperti adik beradik tetapi mereka tetap hormatkan saya. Terima Kasih!  Apa yang penting di sini ialah perlu ada rasa seronok untuk bekerja. Jadi, jika ada ketegangan dan salah faham wujud di kalangan staf dan guru, maka , sayalah yang  akan susah hati dan tak dapat tidur berhari-hari memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah dan menjernihkan keadaan. Saya akan cuba  sedaya upaya untuk memastikan semua tak tersinggung dan selesaikan masalah ini dengan segera. Maklumlah kita ini manusia biasa. Ada yang boleh memaafkan orang dan ada yang susah. Setiap orang ada egonya.
Kemenjadian murid di Seri Bahagia baik dari segi akademik mahupun sahsiah memang mencabar. Saban tahun apabila keputusan PMR atau SPM nak diumumkan, sayalah orang yang paling risau dan gementar. Tak tahu mana nak suruk muka apabila asyik-asyik berada di kedudukan yang terbawah. Kadang-kadang rasa kecewa dan sedih juga apabila segala program yang dirancang untuk meningkatkan kecemerlanga pelajar tidak membuahkan hasil yang diharapkan.  Tapi keputusan PMR 2009 telah memberi satu kejutan kepada kami warga Seri Bahagia apabila telah membuat satu lonjakan saujana. Seorang pelajar Mohd Ikram yang menjadi kebanggaan kami telah mendapat 8A .Hanya dia seorang sahaja dari sekolah harian biasa di daerah Temerloh yang mendapat tawaran belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Terubat seketika kecewa di hati. Begitu juga dengan SPM 2009. Berkat usaha gigih semua pihak telah menghasilkan keputusan terbaik sepanjang lima tahun. Walaupun keputusan di peringkat sekolah meningkat tetapi di peringkat daerah, masih lagi antara  sekolah terendah.  Ini disebabkan terlalu ramai pelajar sederhana dan lemah serta bermotivasi rendah di Seri Bahagia menyebabkan kurang saingan untuk cemerlang.
Nak marah guru dan pelajar pun tak guna. Guru telah pun berusaha. Kita kena lihat kepada punca kenapa pelajar tak berminat nak belajar dan mengapa mereka tidak berdisiplin..Justeru itu, apabila saya mula bertugas di Seri Bahagia, setelah berbincang dengan jemaah tadbir sekolah, kami bersepakat menukar visi sekolah kepada ‘ Cemerlang Disiplin Daerah Temerloh 2010’ . Misi pula ialah ‘ Membentuk akhlak dan peribadi pelajar dengan menerapkan  nilai-nilai murni melalui pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.’ Saya percaya apabila pelajar dapat membudayakan disiplin dalam hidup mereka, kecemerlangan dalam apa sahaja aspek samada koko dan akademik boleh dicapai.
Sedih juga apabila disemak , didapati terlalu ramai pelajar di Seri Bahagia yang datangnya daripada keluarga yang bermasalah. Jiwa mereka kosong Tidak mendapat perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya daripada ibu bapa atau keluarga. Pengetahuan dari aspek agama dan kerohanian sangat lemah. Ada yang datang dari keluarga ibu bapa bercerai, keluarga ibu tunggal, tinggal dengan datuk/nenek atau ibu dan bapa tiri dan  keluarga yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat.. Merekalah pelajar-pelajar yang kerap ponteng sekolah dan tidak berminat untuk belajar. Ini semua salah siapa?????
Melihat kepada hakikat ini, sebagai ketua saya rasa bertanggungjawab untuk memulih akidah dan sahsiah pelajar. Dengan kerjasama guru kaunselor. Guru HEM dan guru-guru Agama, kami merancang pelbagai  program berbentuk bina insan dan kerohanian. Antaranya, Kem Pembinaan Remaja Islam, Solat Bestari, Anda Bijak Jauhi Zina dan Qiamullail serta bacaan yasin. Semua ini dilakukan dengan tujuan dapat mengubah sikap pelajar dan membina motivasi untuk terus belajar. Saya sentiasa mendoakan agar Allah swt menberi cahaya keimanan ke dalam diri setiap pelajar disamping dapat melembutkan hati mereka yang keras dan degil. Sedikit demi sedikat ada perubahan berlaku tetapi sikap manusia tidak boleh berubah dalam sehari dua. Usaha perlu terus di jalankan.
Memang betul, jatuh dan bangunnya sesebuah sekolah adalah dikaitkan dengan kepimpinan sekolah. Tapi, bagi situasi sekolah seperti Seri Bahagia, penggembelengan daripada semua pihak seperti JPN, PPD,PIBG, masyarakat setempat dan ibu bapa harus sama-sama membantu untuk peningkatan sekolah. Guru-guru sentiasa  diingatkan untuk tidak berputus asa. Selagi mereka bergelar guru di Seri Bahagia, usaha perlu terus dijalankan untuk mendidik pelajar di sini. Melalui motto “ Marilah Menuju Kejayaan “ serta “ 1 Bahagia Menjana Transformasi ”, adalah diharapkan SMK Seri Bahagia akan menjadi sekolah yang gemilang satu hari nanti. Insya Allah, dengan izin tuhan. Sekian.

3 comments:

  1. Tahniah hjh Foziah, nampaknya anda bersama guru SMK S Bahagia ada arah tuju yang jelas. Itulah syarat pertama untuk berusaha dan berjaya. Sebenarnya di mana2 sekolah harian di bandar, ramai pelajar yg naik tingkatan satu tak pandai membaca. Saya juga hadapi sewaktu di ABS dulu. Tahun 2006, ada 13 org yg tak pandai membaca. Kami buat kelas khas namanya SATU PERDANA. Kami laksanakan p&p fokus kepada membaca & memahamkan apa yg dibaca. Selepas satu bulan 3 org berjaya, lepas 4 bulan, 7 org lagi. Baki tiga itu, seorang gagap, seorang pelupa baca ayat kedua ayat pertama dah lupa dan seorang lagi hadir sehari shj dalam seminggu. Maknanya kita kena kreatif dan berani melaksanakan perubahan. Jangan putus asa.

    ReplyDelete
  2. Pn. Hjh, kami guru-guru SMKSB tidak sekali-kali akan membiarkan Pn keseorangan melaksanakan 1Bahagia Menjana Transformasi. Semoga usaha kita mendatangkan hasil...Rome was not built in one day.. kita kembalikan kecemerlangan yang hilang'... Bersama kita raikan Jubli Emas 1962-2012 SB - Marilah Menuju Kejayaan... Semoga bersara dengan kebanggaan..

    ReplyDelete
  3. Saya adalah bekas guru di sekolah ini. Kalau tak silap, saya bertugas di SMKSB di antara tahun 1989 dan 1992. Sekolah ini merupakan sekolah pertama saya ditempatkan setelah tamat atihan perguruan. Banyak kenangan manis semasa saya bertugas di sekolah ini dan tinggal di Temerloh. - Thomas Ong.

    ReplyDelete