Monday, July 4, 2011

DARI KAKI GUNUNG TAHAN

Cikgu Azizah binti Abu Bakar

“Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zaman mereka”.
Kata-kata hikmah Khalifah Ali bin Ab Talib menjelma di minda sebaik sahaja menerima surat lantikan sebagai Pengetua pada 1 Julai 2006.

            “Sekarang cikgu adalah Ketua Jabatan/ Pengetua bukan lagi Guru Penolong Kanan  Hal Ehwal Murid. Oleh itu bergurulah untuk menjalankan tanggungjawab ini”. Pesan Pegawai Pelajaran Daerah yang masih menjadi pedoman untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin sekolah.
            Berpandukan dua pernyataan tersebut, aku bersedia untuk menjalankan tangungjawab sebagai Pengetua. Bukan mudah untuk menerajui sebuah institusi tanpa ilmu., kemahiran dan nilai yang bersesuaian dengan kehendak organisasi pendidikan. Dengan tekad, aku berguru dokumentasi mengurus sekolah dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Damak. Berdasarkan pembacaan, perbincangan dan bimbingan kedua-dua rakan sejawat, maka bermulalah proses menyemak, mengemaskini dan penyediaan dokumen pengurusan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.
            Alhamdulillah dengan kerjasama erat seluruh warga sekolah, aku berpeluang mendekati budaya dokumentasi dengan tepat dan cepat. Amalan CPO dalam kalangan Guru Penolong Kanan dan guru terserlah biarpun tanpa Pengetua selama 6 bulan (Januari - Jun 2006). Dengan sikap komited dan komitmen seluruh warga sekolah, aku selaku Pengetua baru menerajui penambahbaikan pemurnian dokumentasi pemantauan, penilaian dan kajian tindakan program pengurusan sekolah bagi melonjakkan pencapaian sekolah dalam sahsiah, kokurikulum dan akademik.
            Dapatan pemantauan bulan pertama perlu diberi perhatian dan diambil tindakan. Akaun Sekolah dengan “Sijil Audit Berteguran” sejak 2003 hingga 2005 merupakan tugas utama pengurusan kewangan sekolah ini. Punca Audit Berteguran dikenalpasti iaitu lewat “bank in” kutipan dan pembayaran dibuat tanpa dokumen yang lengkap. Selaku pengurus sekolah aku menghadap Pegawai Pelajaran Daerah bagi mendapatkan panduan tatacara pengurusan kewangan sekolah. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah menegaskan Pengetua hendaklah menyemak punca ketidakpatuhan tatacara pengurusan kewangan. Kenalpasti di peringkat  manakah ketidakpatuhan itu berlaku. Beliau juga menjelaskan kaedah menyemak pengurusan kewangan sekolah semasa beliau menjawat jawatan Pengetua DG 48 (2000-2005).
            “Terima kasih Tuan atas bimbingan ini”. Selama seminggu, kerja-kerja semakan dokumen kewangan dilakukan dengan kerjasama Pembantu Tadbir N 17 yang juga baru tiga bulan bertugas, mengendalikan akaun sekolah ini.
            Pada bulan Ogos, satu mesyuarat Jawatankuasa Kewangan diadakan untuk membentangkan tatacara perolehan dan pembayaran. Bedah siasat punca-punca kesilapan difahami oleh Pembantu Tadbir N 17, Penyelia Asrama, Guru Penolong Kanan dan Ketua Panitia. Pematuhan tatacara dilaksanakan dengan serta merta. Kepatuhan ini penting bagi memastikan sekolah memperoleh “ Sijil Audit Tanpa Teguran” mulai tahun 2006! Alhamdulillah akhirnya Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah bebas daripada mendapat “Sijil Audit Berteguran” pada tahun 2006, 2007 dan 2008.
            “Terima kasih Tuan Pegawai Pelajaran Daerah dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kerana meletakkan sekolah ini pada Sijil Audit Tanpa Teguran selama tiga tahun berturut-turut”.
            Dalam pada itu, core-business iaitu kurikulum diberi perhatian. “Anak orang, anak saya”. Pemantauan mendapati terdapat banyak ruang dan peluang untuk cemerlang dalam PMR dan SPM 2006.
            Mesyuarat Program Peningkatan PMR dan SPM dilaksanakan untuk mengenalpasti analisis persekitaran dan menyediakan pelan tindakan. Kata sepakat dipersetujui oleh ahli mesyuarat untuk meningkatkan prestasi PMR dan SPM 2006. Rujukan semua guru adalah SKPM 2003, elemen 9 iaitu proses Pengajaran dan Pembelajaran di bilik darjah. Semua aspek hendaklah dipatuhi oleh semua guru matapelajaran.. Selain itu, pemurnian dokumen akademik berpandukan Program Kemajuan Kurikulum Pendidikan diberikan penekanan. Semua panitia merancang, melaksana, memantau dan menilai semua program dan aktivit berdasarkan kategori program utama, sokongan dan sampingan. Peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah  dipertingkatkan untuk membina minda pelajar dan guru menuju kecemerlangan. Post-mortem dilaksanakan dengan kehadiran Ketua Unit Akademik, Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut. Impaknya, semua matapelajaran/ panitia menyediakan Pelan Tindak Ikut peperiksaan percubaan dan peperiksaan sebenar PMR dan SPM sebagai garis panduan guru menguruskan Pengajaran dan Pembelajaran Masteri.
            Alhamdulillah pada Disember 2006, Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dianugerahkan “Sijil Peningkatan” 20 peratus dalam PMR 2006. Majlis diadakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan yang diterajui oleh Pengarah Pelajaran Pahang (Dato’ Haji Azemi bin Talib).
            “Tahniah untuk semua guru, anak-anak calon PMR 2006 dan juga ibu bapa atas peningkatan tersebut”.
            Dalam menghargai kejayaan PMR, sekolah berhadapan akaun koperasi tidak beraudit sejak tahun 2003 hingga 2006. Sekali lagi urusan kewangan akan diuruskan. Mensyuarat Ahli Lembaga Koperasi diadakan bagi mengenalpasti punca akaun tidak dihantar untuk audit Suruhanjaya Koperasi Malaysia sejak 2003. Puncanya, akaun harian (perolehan dan pembayaran) tidak dikemaskini oleh Bendahari Koperasi. Kata sepakat dicapai untuk menghantar dua guru Ahli Lembaga Koperasi menyelesaikan akaun yang tidak beraudit (2003-2006) ke pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia Jerantut. Alhamdulillah pada November 2006, Mesyuarat Agung Koperasi boleh dilaksanakan dengan akaun koperasi yang beraudit.
            “Syabas Guru Penolong Kanan Hel Ehwal Murid dan Ahli Lembaga Koperasi kerana akur dengan bimbingan Pengetua”.
            Asrama empat blok bagai resort tersergam indah di belantara Taman Negara dengan kapasiti 400 penghuni. Namun hanya terdapat 150 penghuni! Apakah punca kekurangan penghuni tersebut?. Jawatankuasa Asrama bermesyuarat untuk mencari punca kekurangan penghuni dan sekali gus merancang promosi untuk meningkatkan jumlah penghuni kepada 250 orang. Promosi dilaksanakan untuk menarik perhatian ibu bapa dan anak-anak sekitar kampong di Kuala Tahan dan Merting. Program-program asrama dirancang dan dilaksanakan mengikut takwim. Hebahan program juga dilaksanakan dalam “Perhimpunan Rasmi Sekolah”. Kelihatannya, ramai penjaga hadir mengisi borang bagi anak-anak mereka tinggal di asrama. Menjelang Oktober 2006, peningkatan penghuni asrama berlaku kepada 230 orang. Hampir menepati sasaran sekolah!
            Bagi memantapkan sokongan masyarakat setempat terhadap sekolah ini, fungsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru diserlahkan! Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru dilaksanakan selama 3 hari 2 malam! Hari pertama ibu bapa pelajar menghuni dan bermalam di bangunan lama asrama dengan jamuan makan malam bersama-sama guru-guru dan anak-anak pelajar asrama. Pada hari kedua Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru dilaksanakan pada sebelah pagi dan sukaneka diadakan pada sebelah petangnya. Antara acara ialah bowling kelapa tua, belon beracun dan menyusun muka surat khabar. Kemesraan hubungan antara ahli pasukan mula terasa. Forum Perdana dilangsungkan pada sebelah malam bertajuk “Ibu Bapa Prihatin Anak Cemerlang”. Penyampaian hadiah dan cenderahati juga dilaksanakan. Qiamullail dan kuliah subuh menjana minda anak-anak, guru-guru dan ibu bapa bagi mengisis slot kerohanian pada hari ketiga. Guru-guru menghantar ibu bapa ke jeti hulu. Pengetua, Guru Penolong Kanan dan guru-guru juga staf sokongan mengucapkan selamat jalan. Lambaian guru - ibu bapa menyentuh hati kecil yang ada. Itulah tanda keeratan kerjasama antara masyarakat, ibu bapa dengan pihak sekolah.
            Tiba masa untuk ibu bapa pulang ke kampung masing-masing pada hari Ahad. Sebelum pulang, ibu bapa dan guru-guru juga anak-anak asrama akan bersarapan pagi bersama-sama. Kerinduan dan keeratan terasa ketika melihat wajah anak-anak dan ibu bapa mereka.  
            Tidak wajar sekiranya hanya ibu bapa sahaja menghilir Sungai Pahang! Kata sepakat antara Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan sekolah dicapai, maka satu rombongan “MUDEK KE HULU” dijalankan bagi mengeratkan silaturrahim sedia ada. Rombongan singgah di perkampungan. Rombongan disambut meriah oleh penduduk kampong. Pelbagai aktiviti diadakan dengan kerjasama kepimpinan kampung seperti gotong-royong, sukaneka dan kuliah maghrib. Semangat kerjasama antara ahli rombongan sekolah dengan masyarakat setempat terpapar dengan jelas. Impaknya, ramai ibu bapa hadir ke sekolah bagi mendapatkan penjelasan mengenai sahsiah dan akademik anak masing-masing.
            Peningkata bidang suka juga terserlah. Pada September, pasuka bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah menjuarai Piala Coca-Cola negeri dan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan. Sekali lagi anak-anak pelajar sekolah ini berpeluang menyerlahkan bakat dan potensi dalam bidang sukan.
            “Tahniah kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum dan anak-anak Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kerana meletakkan pasukan bola sepak di persada negeri Pahang”.
            Hakikatnya, benarlah, ungkapan nasihat Khalifah Saidina Ali, sekiranya pemimpin sekolah dan guru mampu mendidik anak-anak pelajar sesuai dengan zamannya, maka akan berlaku lonjakan saujan kejayaan sekolah yang meliputi pelbagai bidang.

3 comments:

  1. Bagus tindakan cikgu Azizah merujuk kepada PPD sewktu menghadapi cabaran mengurus kewangan, tidak malu bertanya dan belajar. Banyak jasa anda di SMK JP SHAH. Teruskan kecemerlangan di SMK Damak. Pastikan budak2 Damak yang masuk tingkatan satu yang tak pandai membaca dipulihkan dahulu. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah, program literasi telah dilaksanakan.
    20/27 boleh membaca dan memahami bahan bacaan.
    Terima kasih di atas motivasi daripada tuan.

    ReplyDelete
  3. smk dato shahbandar hussainJanuary 9, 2012 at 7:33 PM

    syabas kak zah.moga terus cemerlang.

    ReplyDelete