Monday, July 4, 2011

PERJALANAN SEORANG GURU

Oleh: Edah binti Salim
SMK Temerloh

          Hatiku gusar berdebar dan selalu aku memikirkan tentang suatu perkara. Perkara yang sangat penting yang akan menentukan arah tuju perjalanan hidupku seterusnya. Hatiku gusar tentang penempatan guru baru. Bimbang, aku akan dihantar bertugas jauh ke negeri lain atau di pedalaman. Namun bagiku kerisauan ini adalah normal kerana sepanjang pengetahuanku, semua guru baru yang menunggu untuk ditempatkan mengajar, perkara ini pastinya menjadi kerisauan mereka.
          Syukur ku panjatkan kepada Ilahi, penempatan pertamaku adalah di sekolah di mana aku belajar dulu, tempat aku menimba ilmu dan sangat banyak berjasa padaku. Aku ditempatkan bertugas di Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor. Maka, tibalah masanya untuk aku mencurahkan khidmat baktiku kepada masyarakat setempat.
          Hari pertama di sekolah baru dimulakan dengan memperkenalkan guru-guru baru di perhimpunan pagi. Ianya kulalui dengan lancar walaupun agak sukar dan kekok. ‘ Pengalaman adalah guru terbaik mengajar kita.’ Seterusnya, hari demi hari kulalui pengalaman  mengajar, mendidik pelajar dan tidak kurang juga dengan pelbagai aktiviti luar kelas. Walaupun kadangkala sangat penat tetapi ianya membuatkan diriku sangat seronok dan rasa teruja sehinggakan aku dipilih oleh pengetua menjadi warden asrama. Pelantikan itu kuterima dengan senang hati memandangkan aku akan lebih dekat dan selalu berdampingan dengan pelajar dibandingkan jika aku terpaksa berulang alik ke sekolah yang mana masaku banyak terbuang dengan menunggu bas atau teksi untuk datang ke sekolah atau balik ke rumah.
          Bagiku, memang seronok menjadi guru walaupun profesion guru ini bukan cita-cita asalku. Keseronokan dirasai apabila mengetahui pelajar-pelajarku berjaya dalam satu-satu pertandingan atau semasa keputusan peperiksaan awam diumumkan. Tambah menyeronokkan lagi apabila subjek yang kuajar mencapai atau melepasi target yang disasarkan. Terasa lega dan hilang segala perit jerih yang dilalui. Lebih-lebih lagi apabila seorang demi seorang pelajar datang berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih mereka atas didikan dan asuhan kita selama ini.
          Sebagai warden asrama, pelajar-pelajar begitu akrab denganku; mereka mengadu masalah remaja mereka sama ada dari segi masalah emosi maupun masalah pembelajaran.   Di samping itu aku juga menimba pengalaman dalam pertubuhan amal seperti Pandu Puteri dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS).
          Masa berlalu, hampir tiga tahun pengalaman menjadi warden, akhirnya aku bertemu jodoh dengan jejaka Pahang dan aku berhijrah ke Pahang pada Januari 1985 sehinggalah sekarang. Aku telah menetap dan berkhidmat di bumi Tok Gajah ini menghampiri 26 tahun. Walaupun aku bukan anak kelahiran Pahang,namun aku berbangga dan bersyukur kerana masih dikekalkan minat yang mendalam di bidang perguruan dan dapat memberi khidmat terbaik di bumi ini.
          Setelah 23 tahun dalam alam pendidikan, baik sebagai guru pelbagai kategori; guru kelas, Ketua Panitia, Penyelia Petang, Guru Penolong Kanan, maka pada tahun 2005 aku menerima surat perlantikan sebagai pengetua di SMK Seri Bera, sekolah yang singkatannya SMKSB, sama seperti sekolah di mana aku berkhidmat ketika itu. Aku sering membayangkan sekolah inilah aku akan menamatkan perkhidmatanku sebagai guru dan bersara. Itulah SMK Seri Bahagia yang merupakan ‘guru kehidupan’ bagiku.
          Berbekalkan sekelumit pengetahuan dan pengalaman dalam pentadbiran di sekolah dan motivasi yang begitu tinggi daripada Encik Wan Abd. Hamid, pengetuaku ketika itu(bekas PPD Kuantan), aku meyakinkan diri untuk menerima cabaran ini. Setelah menangguhkan hampir seminggu, akhirnya aku melapor diri ke PPD Bera. Rupa-rupanya pada hari itu akan diadakan mesyuarat pengurusan bagi sekolah-sekolah daerah Bera. Maka aku dikehendaki hadir dan aku diperkenalkan kepada semua pengetua dan guru besar daerah Bera oleh Tuan PPD Bera iaitu Encik Arifin.
          Dalam seminggu berikutnya aku sudah melihat hampir semua sudut sekolah dan asrama. Aku mencari tanda kecemerlangan melalui petunjuk fizikal. Orang kata ‘ Don’t judge the book by it’s cover’. Benar, aku bukan melihat kekuatan dan kelemahan, sedangkan aku juga insaf, aku mempunyai kelemahan tersendiri. Bilik pengetua nampaknya terjaga dengan baik walaupun aku difahamkan hampir setahun tiada pengetua. Cuma keceriaannya tidak begitu memberangsangkan. Akhirnya apabila maklumat telah bertambah, kerja dan tanggungjawab pun bertambah. Aku melihat banyak yang belum beres terutamanya  kerana pelajar-pelajar sekolah ini adalah pelajar terpilih sepertimana SMK Seri Tualang. Maka aku berfikir tidakkah tugasku ini sangat mencabar dan membebankan? Kerana aku seorang pengetua dan aku akan dipersoalkan tentang apa yang aku lakukan.  Aku yang memilih untuk menerima jawatan ini. Aku yang memilih untuk setia dan cakna kepada tugas ini dan di atas segala pilih memilih ini aku sedar sebenarnya Allah yang memilih.
          Dalam  aku merangka-rangka untuk membuat perubahan kecil di samping meneruskan perancangan yang sedia ada, aku dikejutkan oleh satu surat penempatan baruku. Sungguh tidak kusangka dan tidak terdetik di hatiku yang aku akan ditukarkan semula ke daerah Temerloh. Maklum sajalah aku baru sangat menjadi pengetua dan tidak memohon untuk bertukar. Apa pun aku sangat-sangat bersyukur kepda Allah. Sekolah baruku ini, SMK Paya Pulai hanya lebih kurang 7 minit saja perjalanan kereta dari rumahku.
          Tarikh keramat 16 Mei 2006  aku melapor diri di PPD Temerloh. Walaupun sekolah ini berdekatan dengan rumahku dan pada pandangan luaran sangat selesa, aman dan tenang, adakah tugasku agak mudah? Yang jelas cabarannya ‘ besar, berduri dan menakutkan’.  Sekolah  ini juga ketiadaan pengetuanya sejak beberapa bulan yang lepas. 
          Hikmah di sebalik penempatan tempat kerjaku berdekatan dengan rumah, rupa-rupanya Allah ingin menguji kesabaran dan kebergantunganku terhadapNya. Aku diuji dengan sakit misteri, kaki kiriku bila-bila masa boleh ‘cramp’ tidak boleh berdiri tegak dan berjalan secara normal. Maka aku akan memegang dinding atau tiang bangunan untuk sokongan semasa berjalan. Ada masa-masanya terasa amat sakit dan menyebabkan pergerakanku terbatas. Pemeriksaan doktor telah kulalui termasuk x-ray dan doktor tidak menemui punca sebenar, kemungkinan ada kaitan dengan saraf.
          Walaupun keupayaanku terbatas, namun sokongan padu guru-guru dan warga sekolah, kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan nama sekolah, untuk mencemerlangkan nama sekolah yang ‘biasa-biasa’ di antara sekolah-sekolah daerah Temerloh. Allah maha adil dan maha mengetahui, usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas pastinya mendapat ganjaran yang setimpal, di mana kami berjaya mendapat kedudukan keempat peringkat kebangsaan dalam pertandingan pengurusan bilik skim pinjaman buku teks sekolah (BOSS) dan johan peringkat negeri dalam kadet bomba bagi tiga tahun berturut-turut.
          Banyak yang perlu dipelajari dan ditimba pengalaman untuk menempa personaliti seorang pengetua. Bercakap tentang pengalaman, seorang cendekiawan menulis bahawa dia belajar melalui kesilapan sendiri, tetapi lebih banyak pengajaran yang diperolehi daripada kesilapan orang lain. Pelajar, guru, staf, ibubapa, komuniti, ahli politik,pegawai PPD, JPN dan KPM – semuanya bila-bila masa boleh menjadi sumber kepada pengalaman yang unik. Kerap datang rasa malu dan kerdil pada diri sendiri. Malu dengan keluhan dan pandangan kerdil kerana hebat dicabar serta dicuba dengan sememangnya mereka yang hebat.
          Suatu petang ketika aku berada di pejabat sekolahku, aku begitu terkejut dan tergamam menerima sepucuk surat daripada kerani sekolahku. Sendi-sendi tangan dan kakiku terasa sangat lemah. Surat yang menyatakan aku ditukarkan ke SMK Temerloh ini sungguh memeranjatkan aku. Aku termenung lama meneliti surat itu dan tanpa kusedari manik-manik jernih membasahi pipiku. Pelbagai persoalan membelenggu fikiranku. Sekolah besar, pelajar dan staf yang sangat ramai, budaya kerja, fizikal sekolah, pentadbiran,disiplin dan seribu satu macam perkara lain yang sangat berat untukku hadapi. Jauh di sudut hatiku, aku merasakan aku tidak mampu untuk melaksanakan tugas dan amanah ini. Silap langkah aku gagal, salah perhitungan, aku kecundang. Semuanya kuserahkan kepada Ilahi. Hanya Allah tempatku berserah diri dan memohon pertolongan. Semoga aku diberi pertunjuk dan hidayah sepanjang aku menjalani amanah ini.
          Setelah melaksanakan serahan tugas, maka pada 9 Januari 2009, aku memulakan mesyuarat pertamaku di SMK Temerloh. Terasa begitu kerdilnya diriku di hadapan guru-guru yang besar jumlahnya. Aku mengambil pendekatan bersahabat. Aku menyatakan hasratku untuk membawa kemajuan dalam segala aspek dan bidang dan meneruskan perancangan yang telah dirancang awal tahun. Aku mengharapkan semua guru memberi sokongan padu untuk menjayakan visi dan misi sekolah.
          Aku terus mendekati setiap warga sekolah dan cuba sedaya upaya mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Alhamdulillah dengan izin Allah mereka semakin memahami dan memberikan kerjasama. Aku sentiasa membuka pintu kepada semua pihak untuk berbincang apa jua masalah yang berlaku.  
          Aku berpesan kepada diriku dan teman-teman pendidik supaya kita bersama-sama mengekalkan azam dan tekad mendidik di sekolah. Hanya dengan ilmu saja kita akan menjadikan pelajar-pelajar kita insan yang berperibadi tinggi dan berilmu pengetahuan. Semoga hari-hari mendatang ini terus bersinar dan menjadikan kita kekal tabah mengharungi kehidupan.

1 comment:

  1. Pn. Edah, selagi ada daya upaya, mesti ada jalan... saya tidak ada keberanian spt Pn, jadi mungkin pengalaman tidak sehebat Pn. Tapi tak akan lupa lajunya kereta Pn Edah memotong kereta 'jalan kura-kura' saya di 'lebuhraya' Temerloh-Bera... kalaulah saya masa tu kena sampai sebelum 7.30, tak sampai sebulan saya dah minta balik ke Temerloh. Pn Edah memang saya kagumi ketabahannya... semoga Pn. terus tabah...

    ReplyDelete