Thursday, June 23, 2011

MEMADAM API ATAU MEMBINA BANGUNAN

Abdul Rahim bin Mohd Yunus  
Pengetua SMK Bukit Rangin Kuantan


“Ada kalanya, di sini saya lebih banyak memadam api daripada membina bangunan.”  Itulah antara lain kataku ketika memberi taklimat kepada sekumpulan ibu bapa di Dewan Titipan Ilmu, Seri Bentong. Ketika itu belum pun sampai setahun aku bertamu di daerah ini.

Ada seorang bapa mengulas kata-kataku itu dengan harapan supaya aku “terus juga membina bangunan”. Aku lega kerana dia memahami. Juga lega kerana mengingatkan aku kepada tanggungjawab dan keputusanku mengimbangi  islah asrama dengan sekolah atau akademik. Cabaran “besar, berbulu  dan menakutkan” itu aku  pahatkan di minda. Cabaran itu sentiasa timbul sebagai ”parut” yang membangkit kesedaran apabila tersentuh oleh jari-jemari perasaan yang sensitif.

Api. Hangat, panas, membakar, tidak selesa dan bisa membahayakan. Sebaliknya pula, api menjadi perlu, bermanfaat dan menyamankan. Kuasa yang Allah berikan kepada api mempunyai potensi positif dan negatif. Pada fikiranku masalah disiplin itulah ”api” bagiku di sini. Habis tu, apalah yang positif tentang masalah disiplin? Yang negatif, memang jelas. Tak payah nak suluh.

Aku yakin bahawa masalah disiplin pelajar memberi peluang berfikir dan mematangkan guru. Pemikiran guru menjadi reflektif apabila berdepan dengan beraneka masalah disiplin anak didik. Bahkan boleh jadi kreatif! Kita boleh tersentap dan tersentak, namun naluri seorang guru akan membuat kita berfikir mencari punca dan mencari cara menanganinya. Cari akal: ”Kalaulah aku boleh menyelesaikannya ...”. Menyelesaikannya adalah satu kepuasan. Bahkan berupa satu calitan atau meninggalkan bekas yang mematangkan.

Sebaik sahaja aku ’confirm’ akan bertukar ke Seri Bentong, Cikgu Azhar Daud (SMART) menyampaikan khabar bahawa Cikgu Azmi Othman di sini sudah memaklumkan lebih awal bahawa ada kes yang ”menunggu” untuk diselesaikan. Kes buli. Budak kena pukul. Polis akan berjumpa pengetua baru. ”Api” itu sudahpun memanaskan kerusiku. Bahangnya sudah sampai ke Kuantan sedangkan aku belum pun mengemas barang. Lirik lagu Inggeris yang berbunyi ”I beg your pardon, I never promise you a rose garden” seperti tiba-tiba didendangkan dengan muzik ghaib ala cerita Hindustan!

Apabila aku kemudiannya bertemu semula rakan di SMART, ada yang bertanya penuh minat tentang bagaimana aku ”memadam api” itu. Berjayakah? Apa dah jadi?

Cerita memadam api boleh menjadi rumit seperti karya fiksyen. Tiada nota kuliah mahupun latihan perguruan yang boleh menyediakan kita secara khusus dengan cabaran mengatasi masalah yang unik serta tersendiri di sekolah masing-masing. Nak sangat jadi cikgu! Tiada orang paksa dan kita sendiri rela hati menandatangan surat menerima tawaran lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Kita bukan sahaja menerima segala faedah dan ganjaran profesion ini, tetapi juga segala masalah dan cabaran yang datang bersamanya. Pakej lengkap. Take it or leave it? Ignore it? Pilihan di tangan kita.

Sudah tentulah aku terpaksa mempunyai pakej lengkap untuk memadam api. Kalau penyanyi rancangan realiti tv dinilai berdasarkan pakej, cikgupun demikian. Masalahnya bilakah pakej ’fire fighting’ ala bomba ini akan lengkap? Aku pernah berhadapan dengan kes atau masalah disiplin pelajar, guru dan staf sokongan yang pelbagai di Kuantan, namun untuk mengatakan bahawa aku tahu menyelesaikan atau menangani kes-kes di Bentong ini tentunya satu pembohongan. Memang aku harap dan berdoa agar Tuhan Yang Maha Bijaksana mengajarku.

Berdasarkan pengalaman menjadi pengetua  yang masih ”hijau” di sini, aku dapati beberapa panduan berguna berhadapan dengan ibu bapa pelajar bermasalah disiplin ialah:

  1. Tenang dan mesra (’cool head and warm heart’). Banyak berdoa moga-moga semuanya akan selesai dengan baik,
  2. Beri makluman kepada ibu bapa tetapi bukan menyelesaikannya melalui telefon. Seringkali berlaku salah tafsir perkataan, nada, ‘pitching’ dan lain-lain lagi. Jika perlu menjelaskan melalui telefon, berhati-hatilah dengan perkataan. Apabila tiada “bahasa” badan yang boleh ditafsir, maka setiap perkataan adalah mustahak,
  3. Ajak berbincang dalam suasana “anak-beranak”/kekeluargaan,
  4. Sambut ibu bapa dengan hormat dan ucap terima kasih terlebih dahulu kerana sudi bertemu,
  5. Amat berguna jika kita meminta maaf kerana ”mengganggu” dan menyusahkan ibu bapa (mereka mungkin sekali mengambil cuti, meninggalkan kerja atau datang dari jauh).Sudah tentu juga mereka gusar serta malu,
  6. Cari ruang yang paling selesa, nyaman dan menyejukkan; seboleh-bolehnya terlindung daripada pandangan dan pendengaran umum,
  7. Gunakan perkataan “anak kita” apabila merujuk kepada pelajar pada awal pertemuan. Ini cukup membantu meredakan ketegangan/kebimbangan ibu bapa bahawa anak mereka akan dipersalahkan dan kita menganggap pelajar sebagai individu yang jauh dari hati kita (contohilah slogan TV9),
  8. Jangan bertengkar atau mempertahankan tindakan peribadi, guru dan staf di hadapan ibu bapa. Sikap defensif yang tidak dialas atau tidak dilapik dengan ‘cushion’ bahasa yang wajar akan “menyemarakkan api”!,
  9. Sediakan rekod salahlaku yang lengkap; termasuk tindakan yang akan membantu pelajar memulihkan diri. Jangan memberi fokus kepada hukuman,
  10. Dapatkan laporan/pandangan Guru Kaunseling berdasarkan sesi kaunseling individu. (Secara peribadi, aku rasa selesa jika ada laporan dua Guru Kaunseling dan laporan dua sesi tersedia.)
  11. Sertakan rekod akademik pelajar dan dapatkan maklum balas bertulis tentang kekuatan dan kelemahan daripada guru-guru yang mengajar (sebaiknya dalam bentuk jadual/’table’-komen tulisan tangan dengan tandatangan kuanggap terbaik). Pastikan ruang ”kekuatan” turut diisi.
  12. Jelaskan dengan berhati-hati tentang pandangan bahawa perubahan tingkahlaku ada kaitan dengan kemerosotan tumpuan terhadap akademik. Awas! Jangan mereka-reka kaitan jika data menunjukkan sebaliknya. Tiada yang lebih menjengkelkan ibu bapa daripada guru yang ”kelihatan” ’bias’ atau mencari kesalahan anak mereka (walaupun kita tidak bermaksud demikian).
  13. Tunjukkan kita serius dan bimbang akan implikasi negatif tetapi nyatakan juga sayang akan masa depan, tidak membezakan serta menerima pelajar secara peribadi tanpa syarat,
  14. Ikutlah garis panduan/saranan Kementerian Pelajaran melalui surat pekeliling/siaran supaya tindakan kita tidak dipertikai.
Aku amat yakin bahawa ada banyak lagi pendekatan yang bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan yang menjadi ’trademark’ masing-masing. Apa yang penting di sini ialah kita mesti mematuhi garis panduan dan kita menunjukkan pemahaman yang profesional tentang masalah yang wujud. Profesionalisme itulah yang membezakan kita dan bersamanya akan datang penghormatan yang tidak perlu diminta atau dituntut.


1 comment:

  1. Jailani Tasman (Pengetua SMK Gali)January 8, 2012 at 7:05 PM

    Assalamualaikum Tn.Hj.Terima Kasih di atas tip-tip yang diberikan, ia dapat memperkayakan pengalaman kita bersama. Falsafah resam bermain layang-layang dan memancing ikan selalu juga saya gunakan....kalau yang datang tu tsunami..maka saya"layan aje""dengar aje" apa yang dia nak katakan...bila rasanya dia dah puas hati...cakap apa yang terbuku...barulah saya mulakan percakapan..dimulakan dengan "saya minta maaf..(merendah diri)...alhamdulillah setakat ini tiada masalah lain yang berlaku, kuncinya ...kita kena benar-benar SABAR, kerana Allah meletakkan orang yang sabar itu di kedudukan yang tinggi...watawasaubissob.tq

    ReplyDelete