Friday, June 24, 2011

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL

Oleh ROHANA  BINTI ABDUL MALIK
Pengetua, SMK Sungai Retang, Jerantut

Baru satu tahun dan  belum puas lagi rasanya berkhidmat di sekolah pertama  sebagai pengetua , saya mendapat arahan bertukar ke sebuah sekolah gred B di daerah yang sama. Walau bagaimanapun, arahan tersebut saya terima dengan hati terbuka. “Sekolah itu teruk.” Itulah kata-kata yang disampaikan kepada saya dua hari sebelum saya melangkah ke sekolah baru.  Kata-kata ini sedikit merunsingkan dan masih  jelas diingatan saya pada hari pertama saya bertugas di SMKSW. Sekolah kedua yang akan saya berkhidmat sebagai pengetua terletak di kawasan  bandar  dan  berhampiran dengan jalan besar. SMKSW merupakan sebuah sekolah yang mana pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum  iaitu  Melayu, Cina, India dan terdapat juga pelajar orang asli dengan enrolmen 350 orang pelajar.

Pada hari pertama bertugas di SMKSW, saya sampai awal ke sekolah. Kedudukan bilik pengetua amat strategik kerana, dengan mengubah kedudukan  kerusi  saya dapat melihat pintu pagar sekolah dan kehadiran pelajar dan guru-guru  ke sekolah dengan jelas.  Sedangkan pelajar tidak dapat melihat saya kerana cermin tingkap berwarna  gelap. Peluang ini tidak saya lepaskan dan saya tarik kerusi dan duduk memandang  ke pintu pagar. Kelihatan pelajar masuk ke kawasan sekolah dan yang memeranjatkan saya ialah ramai pelajar yang keluar semula melalui pintu pagar utama di hadapan pengawal keselamatan. Pengawal Keselamatan tidak menghalang pelajar keluar dari kawasan sekolah.  Kelihatan beberapa pelajar melintas jalan  pergi membeli makanan di gerai nasi lemak di hadapan sekolah. Sebahagian pelajar pula kelihatan masuk kawasan sekolah dengan membawa bungkusan makanan yang dibeli daripada gerai-gerai makanan  yang berhampiran. Keselamatan pelajar yang masuk ke sekolah dan kemudian keluar membeli makanan dalam kesibukan lalu lintas sangat membimbangkan. Saya bertekad untuk membetulkan keadaan ini demi menjaga keselamatan pelajar.

Pengalaman hari pertama saya pada waktu rehat juga mengecewakan. Ada beberapa orang guru yang keluar  dari kawasan sekolah tanpa kebenaran saya. Kemudian apabila ditanya, alasan yang diberi adalah tidak mahu makan di kantin. Setelah loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat, saya mendapati pelajar meninggalkan kantin  dalam keadaan yang kotor.  Pinggan dan gelas di biarkan di  atas meja. Kelihatan juga air yang tumpah dan sisa makanan di atas lantai. 

Sedang saya di kantin, saya memandang  ke arah kelas-kelas di dua blok bangunan berhampiran. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki yang ada di antara mereka tidak memakai tali leher,  lencana dan tanda nama serta baju kemeja yang tidak dipakai dengan kemas berada di luar kelas menunggu guru masuk. Sesekali pelajar-pelajar perempuan juga keluar masuk  kelas dan berada di koridor kelas seolah-olah menantikan  kehadiran guru ke kelas sambil berbual dengan pelajar lelaki. Kadangkala terdengar gelak tawa mereka, mungkin kerana ada peristiwa yang melucukan. Tidak lama kemudian , kelihatan beberapa guru berjalan melintasi kantin menuju ke kelas. Saya menyapa setiap guru yang lalu di hadapan saya. Sebaik melihat kehadiran guru, kumpulan pelajar tadi masuk ke kelas semula.  Akhirnya terdengar doa dibacakan menandakan  guru telah sampai ke kelas dan pengajaran dan pembelajaran bermula.

Semasa  melaksanakan WAYS (Walk Around Your School)  pada hari pertama, saya  mendapati ada bungkusan makanan yang dibuang didalam dan dicelah-celah pasu bunga, disorokkan di antara daun-daun pokok dan diselitkan didalam lubang-lubang saluran air di sepanjang koridor.  Sampah juga ada ditangga dan di koridor kelas. Sedang saya berjalan berhampiran tandas pelajar lelaki, saya terhidu bau busuk tandas dan keadaan  tandas tidak menyenangkan pandangan mata saya. Tandas pelajar perempuan lebih bersih tetapi kelihatan banyak tisu dan pembalut tisu dibuang di atas dan di dalam sinki. 

Sambil berjalan saya melalui satu dua kelas tanpa guru. Apabila di semak didapati guru-guru ini lewat ke kelas atas pelbagai alasan. Saya juga melalui makmal sains. Terdapat empat makmal dengan 3 staf di tugaskan menguruskan makmal. Melalui pemerhatian dan perbualan dengan staf di makmal, saya dapat merasakan bahawa pengurusan makmal dapat dipertingkatkan jika  pengurusan sumber manusia diperkemaskan.

Setelah penat berjalan melihat keadaan persekitaran sekolah, menuju ke pejabat.  Menghampiri pejabat, saya melihat Pembantu Am Pejabat sedang melakukan kerja-kerja mencetak  menggunakan mesin gelek yang masih menggunakan kertas stensil.  Saya amat terkejut kerana pada tahun 2007, SMKSW masih lagi menggunakan mesin gelek untuk mencetak bahan bantu mengajar dan pelbagai modul. Sedangkan banyak sekolah yang saya mengajar telah pun menggunakan mesin fotostat. Sampai di pejabat, saya memberitahu pembantu tadbir bahawa saya hendak melihat akaun sekolah.  Hasil daripada semakan didapati ada pembelian telah dibuat tanpa menggunakan nota minta dan pesanan kerajaan.

WAYS memberi makluman awal bahawa isu-isu keceriaan, disiplin pelajar, keselamatan pelajar datang dan balik dari sekolah serta  keakuran guru kepada Surat Pekeliling Iktisas (SPI) dan Pekeliling-pekeling serta kemudahan fotostat perlu diselesaikan segera.  Setelah menyemak akaun sekolah, saya terus mengambil pen dan kertas dan menulis surat kepada Pengarah untuk memohon mesin photostat.  Surat ditulis  dengan  panjang lebar demi menarik perhatian Pengarah untuk memberikan SMKSW satu unit mesin fotostat.  Apa yang menggembirakan saya dan warga sekolah ialah satu unit mesin fotostat telah dihantar ke SMKSW dalam masa seminggu.  Saya berterima kasih kepada Pengarah atas kelulusan segera permohonan tersebut.  Saya turut menghubungi ibu bapa dan guru  sekolah bertanyakan  mengenai satu lampu isyarat  di hadapan sekolah.  Saya terus bertekad untuk berusaha mendapatkan satu lampu isyarat berkenaan.

Langkah seterusnya yang saya ambil ialah dengan mengadakan mesyuarat dengan Guru-guru Penolong Kanan. Hal ini diikuti dengan mesyuarat dengan semua guru dan staf.   Dengan ilmu yang dibekalkan oleh pensyarah-pensyarah  pemilih, saya membuat taklimat Pengurusan HEM dengan menekankan keselamatan, keceriaan dan disiplin serta sahsiah pelajar . Guru-guru dan staf juga diingatkan untuk sentiasa akur kepada pekeliling dan siaran Kementerian Pelajaran Malaysia serta akibat dan kesan kepada ketidakakuran kepada pekeliling juga dimaklumkan. 

Saya telah menyediakan carta alir pembelian daripada peruntukan yang ada. Saya mula menperkenalkan Nota minta, Pesanan Kerajaan, Buku Rekod Pergerakan Guru untuk acara rasmi dan tidak rasmi, Pas Keluar Kelas dan Buku Pengesanan Kehadiran pelajar di kelas juga diadakan. Pada waktu yang sama, ‘coaching’ and ‘mentoring’ dijadikan senjata saya untuk menguruskan  guru-guru dan staf. Guru-guru dan staf yang didapati tidak akur kepada pekeliling seperti tidak manghantar Buku Rekod, lewat ke kelas, lewat hadir kesekolah, tidak membuat pengurusan kelas, keluar kawasan sekolah tanpa kebenaran Pentadbiran  dan perkara-perkara yang dianggap  kecil tetapi berat seperti itu saya tangani dengan melakukan ‘coaching and mentoring’ dengan bantuan barisan pentadbir lain.

Pertemuan dengan guru-guru kerap saya lakukan di bilik saya dengan memberikan mereka perangsang dan nasihat. GPK juga kerapkali bersama saya semasa sesi ‘coaching and mentoring’ berlangsung. Saya menggalakkkan penggunaan  pendekatan ‘coaching and mentoring’ dalam kalangan barisan pentadbir lain. Akhirnya mereka memainkan peranan yang cemerlang dalam melaksanakan pendekatan ini. Sedikit demi sedikit pelanggaran peraturan oleh guru-guru serta staf semakin kurang dan dapat di atasi.  Amalan ini disokong dengan pemberian penghargaan kepada guru-guru dan staf. Setiap kejayaan mereka diiring dengan hadiah-hadiah dan sijil-sijil yang diberikan pada masa perhimpunan, mesyuarat guru dan staf atau pada hari-hari keraian tertentu. Amalan merekod  pergerakan guru mula dilakukan. Buku-buku Rekod Pergerakan Guru untuk  perkara-perkara rasmi dan tidak rasmi diperkenalkan.  

Tidak dinafikan tindakan tegas dan menarik sedikit kelonggaran yang ada sebelum ini menyebabkan saya mendapat tentangan daripada beberapa guru.  Satu peristiwa  yang tidak dapat dilupakan ialah apa yang berlaku antara saya dan cikgu Z..  Saya baru saja  masuk dan mengunci pintu tandas apabila saya mendengar bunyi tapak kasut guru diluar tandas.  Bunyi itu semakin lama semakin menghampiri  tandas yang saya masuk.   “Aku tak boleh kerja dengan perempuan ni. Ini tak boleh , itu tak boleh. Aku bosan”. Kemudian terdengan bunyi pintu tandas  di sebelah ditutup dengan kuat. Setelah beberapa minit balik ke pejabat, guru Z meluru masuk ke bilik saya dan nampak  sangat marah.  Sambil berdiri dia menyatakan pendiriannya tidak boleh bekerja dengan saya. “ Puan, I cannot  work with you. Too many restrictions. Everything kena beritahu you”.  Kata-kata itu dihamburkan keluar dari mulut cikgu Z kepada saya.  Mungkin cikgu Z marah kerana sekarang sebarang pembelian dan pergerakan guru memerlukan kelulusan dan kebenaran saya. Keadaan ini agak menyusahkan guru-guru dan staf.  Kemudian saya mempersilakan cikgu Z duduk dan cuba menenangkannya. Saya memberitahu dia bahawa ada cara untuk tidak bekerja dengan saya iaitu dia tukar atau tukarkan saya.  Kalau dia nak tukar saya boleh sokong dengan syarat dia isi borang permohonan pertukaran atau tukarkan saya dengan melaporkan apa jua kesalahan saya kepada Pegawai Pelajaran Daerah atau Pengarah. Dia terdiam mendengar jawapan penyelesaiaan yang saya cadangkan. “Cikgu Z, saya tak marah cikgu kalau cikgu tidak suka saya. Setiap orang ada pilihan dan pendirian masing-masing.”  Mendengar kata-kata itu, dia nampak lebih tenang. Saya mengambil peluang untuk menjelaskan bahawa semua saya lakukan adalah untuk melindungi dan membela diri cikgu.  Saya menerangkan kepada cikgu Z mengenai implikasi sekolah audit  berteguran, atau salah mengurus aset alih kerajaan. Saya juga memberi contoh kes warga sebuah sekolah yang terlibat dengan kemalangan dan tidak mendapat  sebarang pampasan kerana keluar dalam waktu bertugas  tanpa kebenaran  Ketua Jabatan.  Apabila melihat cikgu Z lebih tenang , saya mengajak cikgu Z minum di kantin.  Harapan saya ialah supaya staf tidak memandang serong kepada kami kerana mereka mendengar suara cikgu Z menjerit kepada saya sebentar tadi. Cikgu Z menerima pelawaan saya dan kami minum bersama. Bermula daripada hari itu, saya mendekati cikgu Z. Kami kerapkali  secara bersama menilai tugasan yang diberikan atau prestasi kerjanya. Cikgu Z juga  kerapkali diberikan penghargaan atas usahanya. Atas usaha gigih dan kesungguhannya dia telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2008. Pada tahun berikutnya, dia telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Saya amat gembira dengan pencapaian prestasi cikgu Z.

Setelah berbincang dengan GPK HEM , saya memutuskan untuk memperkenalkan sistem merit de merit bagi membendung masalah keluar masuk pelajar membeli makanan dan juga masalah sampah atau sikap tak acuh pelajar kepada keceriaan sekolah. Taklimat sistem ini diberikan kepada semua guru. ”Roadshow” sistem ini dilaksanakan melalui  Jawatankuasa Disiplin kepada pelajar-pelajar dan juga dalam satu perjumpaan dengan ibu bapa. Pelajar-pelajar akan diberikan mata sekiranya melanggar peraturan sekolah.  Tindakan susulan seperti nasihat, kaunseling, amaran dan rotan dilaksanakan apabila mata merit mencapai sesuatu tahap tertentu. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada guru-guru dalam menjalankan sistem merit de merit ini.  Saya bertegas mengambil itndakan terhadap pelajar. Ada ibu-bapa kepada pelajar yang dibuang sekolah memarahi saya kerana tindakan yang saya ambil. Tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan yang diambil.

Saya juga mendapatkan kerjasama Jawatankuasa Keceriaan dan Jawatankuasa Kantin untuk menceriakan kawasan sekolah terutamanya tandas dan kantin sekolah..   Melalui perbincangan dengan pihak pengusaha kantin, bekas-bekas dan besin yang dilabel dan cukup  bilangannya  disediakan untuk pelajar meletakkan pinggan, gelas, sudu dan garfu yang telah digunakan. Jawatankuasa Kantin sentiasa mewar-warkan mengenai pendidikan kesihatan dan kebersihan semasa perhimpunan dan perjumpaan-perjumpaan dengan pelajar secara berkelompok.  Saya juga sentiasa mengambil tindakan memantau keadaan kantin. Saya juga kerap berbincang dengan kontraktor pembersihan kawasan sekolah.

Peristiwa kedua yang tidak dapat saya lupakan ialah pada  hari saya menyuruh sekumpulan pelajar Cina  membersihkan kantin sekolah. Kumpulan pelajar Cina seramai 10 orang  dikenalpasti telah meninggalkan sisa makanan, pinggan dan gelas yang digunakan di atas meja. Mereka menyapu dan  mengelap lantai dan membersih serta menyusun kerusi meja.  Walaupun pada awalnya saya membiarkan saja mereka membuat kerja-kerja tersebut tetapi akhirnya saya turut membantu mereka. Sambil membantu pelajar  membersihkan kantin, saya juga menasihati mereka untuk sama-sama menjaga kebersihan kantin. Mungkin kasihan kepada saya, pelajar-pelajar ini tidak lagi mengotorkan kantin.  Malahan pelajar-pelajar ini rapat dengan saya.  “Selamat pagi, Bonda”.  Itulah antara ucapan keramat mereka kepada saya setiap kali mereka bertemu saya.

 Penekanan tentang menjaga kebersihan kantin, tandas dan makmal sentiasa diberikan semasa perhimpunan dan pertemuan saya dengan pelajar. Saya turut mengadakan program “Dari hati ke hati” dan “Sepetang/Sepagi bersama  Bonda pengetua”.  Semasa program ini dijalankan, saya sentiasa menasihati pelajar untuk menjaga kebersihan  dan keceriaan sekolah. Di waktu saya tiada kelas, ‘roadshow’ kebersihan kantin dan tandas serta makmal sentiasa saya laksanakan. Apabila saya masuk ke kelas saya sentiasa memujuk serta menasihti pelajar mengenai tingkah laku mereka dikantin, tandas dan makmal. Kejayaan usaha ini diperolehi apabila pada tahun 2008 SMKSW menerima anugerah tempat ketiga Kantin Ceria Dan Selera, Naib Johan  Anugerah Program Keceriaan dan Keharmonian Sekolah Menengah pada sambutan Hari Guru peringkat daerah.

Satu lagi pengalaman manis di SMKSW ialah apabila kami masuk bertanding Gading Bersilang kategori Pengurusan Makmal dan Pengurusan PPSMI pada tahun 2009.   Persiapannya perlu rapi dan persembahan ‘powerpoint’ juga mesti menarik dan mantap.  Kerjasama Jawatankuasa terlibat yang terdiri daripada guru-guru. Bidang Sains dan Matematik sungguh membanggakan. Apabila kami disenarai pendekkan di antara enam sekolah, kami telah berusaha memastikan pengurusan makmal  dan pengurusan PPSMI adalah mantap.  Kami  telah bertungkus lumus menyiapkan “presentation” sehingga pukul 2.00 pagi. Apa yang menyentuh hati dan perasaan saya ialah tidak seorang pun guru merungut kerana balik lewat pada hari tersebut. Kami kecundang dalam kategori Pengurusan Makmal tetapi kesusahan kami terbalas apabila kami mendapat tempat kedua Anugerah Gading Bersilang  Pengurusan PPSMI.  Menerima hadiah daripada YAB Menteri Besar Pahang amat mengembirakan saya kerana ini menandakan kejayaan warga sekolah SMKSW .

Melalui pengalaman ini, membuktikan bahawa tindakan membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul  membawa kejayaan kepada SMK Setia Wangsa.  Peristiwa pahit di sini menjadi kenangan.

7 comments:

  1. Syabas puan. Pendekatan yang amat wajar dijadikan panduan rakan-rakan kita yang "bergelut" di sekolah masing-masing. Teruskan kecemerlangan!

    ReplyDelete
  2. Tahniah, anda berjaya membetulkan kesilapan yang telah dibiasakan, bukan senang itu, orang yang cekal aja boleh melakukannya. Semuga cemerlang di sekolah baru.

    ReplyDelete
  3. seorg pemimpin yg berani dan benar dlm meyempurnakan tugas dan tanggung jawab bukan hanya melaui kata-kata sahaja tetapi ditranformasikan dlm bentuk amalan dan terbukti hasilnya dlm membina manusia dan mencipta kejayaan utk guru dan sekolah

    ReplyDelete
  4. Pengetua adalah leader. Guru-guru tahu bidang tugas dan mahu melanksanakan tanggungjawab,tetapi ramai yang perlu didorong dan dipimpin. Guru bukan hanya ingin pujian, tapi mahu juga diberi maklumbalas atas kerjanya. Yang betul disokong, yang lemah didokong, yang slow didorong. Pn. Rohana, kita sama di Temerloh dulu..

    ReplyDelete
  5. Saya yang membaca pun rasa bersemangat dan bermotivasi.. tahniah puan kerana berikthiar dan berusaha untuk memajukan sekolah puan ke arah yang lebih baik..saya percaya kaedah coaching dan mentoring boleh membantu..

    ReplyDelete
  6. Saya yang membaca pun rasa bersemangat dan bermotivasi.. tahniah puan kerana berikthiar dan berusaha untuk memajukan sekolah puan ke arah yang lebih baik..saya percaya kaedah coaching dan mentoring boleh membantu..

    ReplyDelete
  7. Tahniah. Satu pengalaman puan yg boleh dijadikan panduan kepada pengetua2 sekolah. Syabas.

    ReplyDelete