Tuesday, June 14, 2011

CATATAN MEMORI PENGETUA

CATATAN MEMORI PENGETUA.
Oleh :
NORMAH ISMAIL
PENGETUA SBPI TEMERLOH


Sungguh sukar rasanya untuk aku memulakan catatan ini. Sesungguhnya pengalaman memanglah banyak tetapi aku seperti tidak pasti di mana hendakku mulakan penceritaan ini. Catatan ini akan sentiasa aku kenang kerana merupakan sesuatu yang sangat berharga. Mungkin juga ada insan yang sudi membacanya.

Kini setelah 12 tahun berlalu , aku sudah menerajui empat buah sekolah sebagai pengetua. Memang terlalu banyak pengalaman pahit dan manis. Untuk mengurus sekolah dengan berkesan, terasa berguna sekali bekalan pengalaman sebagai pentadbir . Aku menjadi PK1 ketika usia khidmatku begitu muda, iaitu mencecah tahun kedua perkhidmatan sebagai pendidik. Masih sangat mentah dengan pengetahuan mengenai urusan perkhidmatan. Tapi aku bersyukur kerana pengetua yang mencadangkan namaku sebagai PK1 , (yang kini kupanggil ‘ayahanda’) banyak memberi semangat dan tunjuk ajar berharga buatku. Masih jelasku ingat katanya “ saya nak lantik awak sebagai penolong kanan sekolah ini”. Aku terpinga-pinga, kenapa aku? Pengetua menyatakan “saya pilih awak sebab awak ada potensi”. Dalam hati berkata, rasanya aku belum mampu memegang jawatan penting itu lantas berbagai-bagai alasan kuberikan. Katanya tempoh itu selama 3 bulan sahaja sementara menanti jawatan itu diisi. Aku terpaksa menerima dengan berat hati. Oleh sebab hanya ‘sementara’ aku memujuk hati ini untuk menerimanya. Sehari demi sehari aku terus cuba memahami tanggungjawab baru itu kerana kutahu tangungjawab tetap tanggungjawab.

Paling tidak dapat dilupakan apabila setelah seminggu secara rasminya memegang jawatan sebagai orang kedua penting di sekolah, pengetua terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit jantung. Aku perlu mengambil alih tugas penting untuk menguruskan mesyuarat agung PIBG sekolah. Perasminya seorang yang bergelar YB. Bukan sahaja kena menyediakan, malah aku perlu memberi laporan sekolah. Tetapi apa yang perlu aku lakukan, tanpa panduan dan juga tiada pula pengalaman. Berserabut kepala dibuatnya , bak kata orang ‘demam tak kebah’. Rakan karibku terus memberikan aku semangat. Rupa-rupanya aku boleh melakukannya dengan baik malah mendapat pujian. Aku mula yakin. Apabila teringatkan kata-kata “Allah tidak akan memberikan tanggungjawab kepada seseorang itu melainkan ia mampu melakukannya”, aku terus bersemangat dan perlahan-lahan keyakinanku bertambah. Hari terus berlalu pengganti tidak juga datang. Lebih menyedihkan beberapa bulan kemudian ‘ayahanda’ telah bertukar ke sekolah berhampiran kediamannya di Kuala Lipis, aku terharu sekali. Kuingat lagi pesanan akhirnya sebelum menuruni tangga, “ lepas ini beli kereta, senang nak buat kerja, ingat mesti beli kereta cc sekurang-kurangnya 1.5, senang buat tuntutan”. Aku hanya memandang kepadanya. Tidak pernah kulupa hingga kini bagaimana ia mengajarku untuk menulis surat dan menguruskan buku tunai. Aku akan mengadap di mejanya dan ia akan memegang pen merah semasa membetulkan surat-surat rasmi yang aku buat. Aku pula mendengar dengan penuh tekun, tanda bersedia . Pengalaman berharga itu aku gunakan hingga kini.



Hari demi hari aku terus bekerja kuat untuk membangunkan sekolah dan menimba sebanyak mungkin pengalaman. Rakan-rakan terus memberi sokongan kepadaku. Tanpa disedari aku telah berkhidmat sebagai PK1 di bawah tunjuk ajar 7 orang pengetua beserta kepimpinan 7 orang PPD (Pegawai Pelajaran Daerah). Empat kali aku memangku jawatan sebagai pengetua. Maklumlah 11 tahun lebih sebagai PK1, bermula dari zaman bujang hinggalah bergelar isteri dan ibu. Kuingat lagi , Julai 1988 aku mula memegang jawatan itu hinggalah aku menerima surat bertukar sebagai Pengetua di sebuah sekolah baru, SMK Jengka 16.
Pengalaman berharga yang kukatakan sebagai seorang PK1 kerana aku berkesempatan menguruskan sebuah sekolah yang asalnya gred C hinggalah dinaikkan ke gred A. Anak didiknya menjangkau ke angka 2 ribu orang, dengan 2 sesi persekolahan, pelajar-pelajar sesi petang dan pagi hampir sama ramainya. Hampir 100 orang guru perlu diuruskan. Pengalaman paling manis ketika aku dengan ‘berani dan yakin’ berjanji dengan pihak nazir supaya memberikan aku masa setahun untuk membuktikan bahawa kami boleh meningkatkan pencapaian keputusan sekolah. Mungkin ketika itu aku terlalu bersemangat memajukan sekolahku. Tahun 1996, masa itu kami baru sahaja dilawati oleh 20 orang nazir, yang diundang pengetua. Seminggu mereka berkampung di sekolah. Keputusan sekolah tak seelok mana . Mana tidaknya pelajar-pelajar SPM yang mendapat Gred 1 selalunya tidak melebihi 15 orang tetapi jumlah calonnya menjangkau 250 orang. Dengan mendapat mandat dari pengetua , aku bersama 4 orang Ketua Bidang merancang mengadakan Kem Kecemerlangan yang dibuat 2 minggu sekali, Ketua Bidang dilantik sebagai pengurus projek secara bergilir-gilir. Hasrat kami hanyalah untuk ‘membangunkan’ anak-anak FELDA dari lenanya maka cara ini sangat berkesan dan sesuai ketika itu. Sekolah kami tidak ada asrama jadi bilik darjahlah tempat tidurnya. Tiap program memakan masa 3 hari dua malam. Kami memasak makanan secara bergilir. Pelajar akan membawa bahan mentah. Bagi membeli bahan basah sedikit duit akan dipungut dari pelajar-pelajar . PIBG merestui dan menyokong. Sambil itu juga kami dapat mendidik sebahagian besar anak-anak yang ‘susah’ untuk bersolat. Antara mereka ada yang tidak ada nota maka program diisi dengan cara membuat peta minda, untuk mereka berkongsi. Tak sangka mereka sangat seronok. Kami tahu ada juga yang berasa terpaksa pada awalnya. Aku teringat macammana guru-guru sesi pagi dan petang saling membantu. Mereka sedia berkorban dan kami bagaikan adik beradik dalam satu keluarga besar, serta berasa tanggungjawab untuk membangunkan sekolah yang disayangi. Tiga tahun berturut-turut , 1997, 1998 dan 1999, program itu dilakukan dan kami mendapat lebih 40 orang pelajar beroleh Gred 1 setiap tahun. Bangga sekali kerana ramai anak didik yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Masih kukuh diingatanku pada satu hari di bulan Ramadhan aku mendapat panggilan dari Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), yang kemudiannya meminta aku ke pejabatnya. Akur dengan perintah bos, keesokkannya aku terus berjumpanya. Katanya aku telah dicadangkan kepada pengarah untuk menjadi pengetua di sebuah sekolah. Dengan penuh rasa terkejut dan rendah diri aku memberikan berbagai-bagai alasan dengan hasrat menolaknya. Ada juga timbul rasa tidak yakin, yang pasti selepas itu 2 hari aku mengalami demam mungkin aku terlalu memikirkannya. Jawatan PK1 berakhir pada 31 Disember 1999. Aku tidak pernah mohon tukar sepanjang perkhidmatanku, sehinggalah aku menerima surat dilantik sebagai pengetua pada 1.1.2000. Memang berat meninggalkan sekolah yang banyak mematangkan karierku namun arahan menghendaki aku ‘bergerak’. Sebulan setelah aku ke sekolah baru, aku perlu ke sekolah lama kerana ada urusan , anak didikku bertanya “cikgu ke mana, lama tidak tengok cikgu, cikgu berkursus ye? Terharu aku dengan kata-kata itu, maklumlah 14 tahun bersama , bertukar pula semasa cuti sekolah.

Sekolah pertama sebagai pengetua memang banyak cabarannya. Maklumkan sekolah baru. Dengan 9 orang guru (termasuk pengetua) bersama 4 orang kakitangan sokongan, pada tahun pertamanya kami menumpang di sebuah sekolah rendah. Masing-masing bekerja kuat. PPD memberi kerjasama yang sangat baik dengan memenuhi sedapat mungkin keperluan. Tuan rumah juga tidak janggal menerima kami. ‘Anak sulung’ kami seramai 60 orang, dengan 2 kelas tingkatan satu. Sebagaimana sekolah lain kami perlu menyertai berbagai-bagai program daerah selagi berkemampuan. Masih teringat lagi peristiwa bagaimana anak-anak didik kami yang masih di tingkatan 1 telah dibelasah teruk oleh pasukan bola sepak daripada sekolah lain. Kami bukan saja kalah teruk 20 gol berbalas 0 malah seorang anak didik kami mengalami patah kaki. Namun kami tidak putus asa dan berazam satu masa nanti untuk bangun sebagai ‘hero’.

Tahun 2001 kami berpindah ke bangunan sendiri. Jasa SK tempat kami menumpang memang tetap kami hargai. Bagi memastikan perjalanan sekolah lancar , kami perlu selalu berpakat, aku bersama 3 orang penolong kanan. Kerja-kerja dibahagi agar lebih fokus dan jelas. Masa itu kelas telah bertambah iaitu 2 kelas tingkatan satu dan 2 kelas tingkatan 2. Pelajar-pelajar dari sekolah berhampiran dibawa berpindah ke sekolah kami , 4 kelas Tingkatan 4, kelas kemanusiaan, maaf kalau dikatakan mereka semua dari kelas hujung. Kelas sains masih belum dapat beroperasi maklumlah kelengkapan belum mencukupi. Jenuh juga kami menguruskan pelajar-pelajar ini untuk membentuk 1 budaya baru. Hampir 3 bulan PK HEM meninjau-ninjau untuk mencari ketua murid yang sesuai dalam kalangan pelajar baru tingkatan 4. Maklumlah ketua pelajar perlu ada bakat, penampilan yang baik, sedapatnya hebat akademik, celik agamanya serta mampu membaca doa. Calon yang layak belum ditemui. PK HEM akhirnya mengenalpasti seorang yang sesuai , yang akhirnya menjadi seorang yang sangat setia kepada guru-gurunya dan cinta akan sekolah. Ia dididik daripada ‘kosong’ sehinggalah lahirnya seorang yang bergelar Ketua Pelajar. Keputusan SPM pertama sekolah diumumkan pada Mac 2003 (calon 2002) dan kami berada di tangga tercorot Pahang. Namun di sebaliknya kamilah yang tahu bahawa kami boleh berbangga kerana sekurang-kurangnya kami telah melahirkan 20 orang lepasan SPM yang berjaya menyambung pelajaran ke tingkatan 6 dan yang pentingnya menjadikan mereka sebagai ‘orang’. Maka makin bertambah kepercayaan dalam kalangan para waris.

Sebagai seorang pengurus sekolah aku terus memandang ke hadapan dan berfikir ‘ke manakah untuk dibawa sekolah ini?’ Kami tidak mungkin dapat terus cemerlang akademik dalam keadaan pelajar-pelajarnya tidak ‘kemas’ disiplin dan tidak tinggi kelulusan UPSRnya. Aku merasakan anak pelajar perlu ada rasa sayang kepada sekolah dan ingin memajukan diri lalu kami ‘ikat’ hubungan itu melalui aktiviti kokurikulum . Dari situ akan terbina hubungan akrab dengan guru-guru, lahir rasa hormat dan sayang kepada sekolah. Akhirnya nanti mereka sanggup berjuang untuk diri dan juga sekolah. Memudahkan lagi urusanku, PK1, PK HEM dan PK Kokurikulum, bekerja kuat dan sangat bertanggungjawab terhadap tugas. Kami bersungguh-sungguh untuk berjaya. Perlahan-lahan kami bangun seperti orang lain. Sekolah yang usianya ‘setahun jagung’ telah keluar sebagai juara MSSM daerah serta dijadikan pula pusat kokurikulum daerah. Pasti ada sahaja wakil yang dihantar hingga ke peringkat kebangsaan. Kami terus berjuang memajukan sekolah hingga terbinanya asrama. Akhirnya dengan kepercayaan daripada pihak atasan sekolah ini menjadi pusat tingkatan 6. Satu lagi kejayaan . Keputusan STPM sangat membanggakan dan mendapat kedudukan di Pahang. Aku melihat perkara pentingnya ialah sebagai pengurus sekolah, perlu terus menyokong guru-guru dan yang lebih penting ialah sama-sama ‘turun padang.’ 7 tahun 7 bulan aku di sekolah itu akhirnya aku digerakkan menerajui sekolah yang lain. Sangat berat meninggalkan sekolah pertama aku sebagai pengetua, tetapi arahan mengatasi segalanya. Masihku ingat kata-kata PPD yang kini menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, semasa meraikan jamuan perpisahan pada malam itu kerana beliau sangat memberikan semangat kepadaku. Beliau sangat meyakini dan menghargai kepimpinanku.

Apabila ditukarkan ke sekolah yang pelajarnya lebih sedikit daripada 200 orang, aku seolah-olah terpinga-pinga. Namun aku tetap bersungguh-sungguh . Di sini aku punya banyak masa dengan pelajar. Aku dapat bersama dan melihat guru-guru mengajar kelas tambahan pada hari Sabtu. Tidak hairanlah kenapa keputusan peperiksaan boleh melonjak jauh berbanding percubaannya. Aku tahu mereka berbangga dan sangat bermotivasi jika pengetuanya ada bersama. Tempoh aku di sekolah itu tidak lama, cuma 3 bulan tetapi aku bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan beberapa perkara. Kemudian aku ditukarkan pula ke sekolah yang ‘lebih besar’. Namun jauh dari kediamanku, 75 km satu perjalanan, ertinya 150 km pergi dan balik. Aku perlu berulangalik dari rumah ke tempat kerja kerana keperluan keluarga. “Jangan buat kerja gila, jauh tu”, masih teringat kata-kata daripada seorang rakan baik yang bimbangkan keselamatanku, juga seorang pengetua . Aku hanya mampu tersenyum. Anak sulungku akan mengambil SPM, tugas pula perlu dipikul . Setahun dua bulan aku berulangalik dengan penuh yakin dan sabar sebelum berpindah ke Temerloh.

Sekolah baruku ini berbeza dengan sekolah-sekolah sebelumnya. Kalau dulu aku berhadapan dengan masyarakat FELDA yang sebenarnya aku tidak ada masalah dengannya, kini berlatarbelakangkan pula masyarakat kampung yang berbilang bangsa, Melayu, Cina, India dan tidak kurang ramainya ialah pelajar-pelajar daripada kaum Asli. Seperti biasa aku mudah menyesuaikan diri. Lebih memudahkan aku kerana aku sukakan pelajar-pelajar. 2 tahun 7 bulan aku menerajui sekolah itu. Aku sangat seronok di sana. Banyak pula pengalaman baru.

Kini aku berada di sebuah sekolah yang pelajar-pelajarnya ‘terpilih’, iaitu sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang terletaknya di tempat lahirku, Temerloh. Sudah tentu aku akan mendapat pengalaman-pengalaman baru yang berbeza . Mungkin di kesempatan yang lain kita akan berjumpa lagi dengan kisah yang lain.

6 comments:

  1. ini kak normah yang jadi gpk jengka 21 tahun 1992an dulu ke...????kot betoi tahniah..sebab kak normah memang kaya dengan senyuman..dan berbudi bahasa bagi saya yang baru posting masa tu,,

    ReplyDelete