PENGALAMAN PENGETUA PAHANG
Suhaimi bin Mohd Dahan
Surat arahan pertukaran sebagai seorang pengetua bertarikh 16 April 2004 diterima dalam bentuk fax. Kesediaan dan kesanggupan untuk menjawat jawatan pengetua telah mula tertanam dalam diri setelah memiliki sedikit pengetahuan mentadbir dan mengurus sewaktu membuka sekolah baru dengan gelaran yang sesuai ketika itu ialah care taker. Sebenarnya asas ilmu pengurusan banyak saya kutip dan dapati semasa bertugas sebagai pengawas dan ketua pengawas berbagai peperiksaan awam seperti PMR, SPM, STPM, peperiksaan Julai dan peperiksaan muzik. Asal mula menjadi pengawas peperiksaan kerana menggantikan seorang guru yang menolak jawatan penolong pengawas.
Pengalaman membuka sekolah baru sangat besar ertinya dalam hidup saya dan kekal menjadi kenangan. Ketika perlantikan itu, saya sedang menjawat jawatan Penyelaras Makmal Komputer, dan tidak pernah menjawat jawatan GPK. Bermula dari hari pertama menerima pelantikan sebagai care taker, saya terus mencari guru besar dan pengetua yang saya kenali samada yang masih bertugas atau yang telah bersara, dengan tujuan untuk menuntut ilmu pengurusan. Cara untuk bertemu mereka yang sudah pencen mudah sahaja, umpamanya di pekan sehari, di kedai kopi, dan tidak kurang juga di kedai tayar atau bengkel kereta. Saya akan bertanya sebanyak mungkin soalan tentang pengurusan dan permasalahan yang mungkin wujud termasuk perkara yang dianggap remeh temeh. Dalam masa yang sama juga saya selalu merujuk kepada rakan sejawat yang sama tugas dan tanggungjawabnya dengan saya iaitu Encik Razak Alias. Selain dari itu,saya juga merujuk kepada pegawai-pegawai yang berada di PPD. Amalan ini saya teruskan sehingga kini.
Satu ketika saya telah meminta seorang GPK meminitkan surat-surat masuk, dengan cara ini saya telah dapat mempelajari bagaimana meminitkan surat dengan betul. Pada waktu yang lain pula saya sentiasa mencari kesempatan ke kantin pada waktu dimana seorang CC atau KPT berpengalaman akan berada disana dan menggunakan masa minum itu untuk menuntut ilmu kewangan.