Friday, June 17, 2011

MEMORI CHIN NYUK PHENG

MEMORY  PENGETUA  PAHANG
DISEDIAKAN OLEH
CHIN NYUK PHENG

Sebelum  melangkah masuk ke SMK  TELEMONG , saya telah menerima  banyak  maklumat negatif mengenai sekolah itu. Antara komen-komen yang negatif  adalah seperti  % kelulusan dan GPS peperiksaan PMR dan SPM adalah ranking terakhir di daerah Bentong. Sebilangan guru datang lewat dan balik awal serta tidak masuk kelas. Staf sokongan terutamanya pembantu makmal adalah “ king of the school ” kerana mereka adalah kaki politik dan mempunyai  “ Orang Kuat ” di belakang.
Pada hari pertama bertugas ( 01-09-2006 ) , didapati  4 orang guru datang ke sekolah lewat (antara 8.00-9.00 pagi ). Kebetulan maklumat yang  terdengar adalah benar. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap guru-guru tersebut. Pada hari kedua, ketiga dan hari yang seterusnya, saya berdiri di depan pintu sekolah menyambut kehadiran guru-guru.Tanpa  apa-apa teguran , guru-guru yang datang lewat itu telah sampai ke sekolah sebelum loceng berbunyi pada keesokan hari .Satu perubahan yang positif dan menggalakkan. Saya diberitahu mereka berasa malu ketika melihat pengetua berdiri di depan pintu  sekolah  menyambut serta memberi  salam kepadanya.  Ini merupakan satu kaedah “ soft approach ” untuk menyelesaikan masalah serta mengubah sikap manusia tanpa menjejaskan hubungan mesra antara satu sama lain.
Penekanan prioriti  pertama  adalah  memantapkan  pengurusan  akademik. Pemeriksaan audit akademik  menerangkan kurikulum sekolah memerlukan  penambahbaikan dan harus dipertingkatkan. Selepas sesi perbincangan dan debriefing  dengan  GPK pentadbiran dan semua ketua panitia mata pelajaran , didapati sistem pemantauan  dan penilaian akademik adalah kurang mantap. Walaupun mempunyai  proses “ Plan, Do, Check , Act ”(PDCA), tetapi proses   “Check and Act” sangat kurang. Tindakan yang seterusnya adalah menjalankan pencerapan P&P  dan penyemakan buku  latihan pelajar mengikut jadual perancangan. Setiap kali perjumpaan KMK, guru-guru akan  melaporkan “ outcome  and output”  kepada saya.  Hasil perbincangan  didapati ramai guru muda kurang pengalaman ( 80% ) dalam P&P dan pengurusan kelas.  Kompetensi P&P guru agak rendah. Dengan itu ,program-program  LADAP telah dilaksanakan untuk meningkatkan  kompetensi guru dan profesionisme keguruan.  Antara program LADAP ialah “ benchmarking ”  SMK SERI BENTONG, SMK KETARI dan SM TEKNIK ,KUALA LIPIS. Dengan  melaksanakan perancangan  penambahbaikan berterusan , kompetensi  P&P guru  telah meningkat dan seterusnya %  pencapaian peperiksaan PMR dan SPM turut meningkat.  Dari semasa ke semasa, saya  cuba menyerap nilai kreatif , pemikiran positif dan  semangat ingin berubah dalam kalangan warga sekolah  untuk mewujudkan budaya inovatif  di SMK TELEMONG
SMK TELEMONG adalah  sebuah sekolah luar bandar. Bangunan sekolah tidak dicat sejak dibina 16 tahun dahulu. Cat bangunan   sekolah telah luntur  , kelihatan sangat usang dan kotor. Persekitaran sekolah tidak ceria dan  tidak kondusif untuk memeransangkan pengajaraan dan pembelajaran.  Tandas pelajar berbau dan kotor. Pusat sumber sekolah berhabuk, buku-buku berselerak seolah-olah tidak  digunakan  dan  dikunjungi oleh pelajar bertahun-tahun. Kantin sekolah tidak ceria  dan besin pencuci  tangan kotor serta retak . Ruang makan guru berminyak kerana dapur masak adalah berkongsi  dengan ruang makan guru.  Tambahan pula, bilik-bilik darjah  masih menggunakan papan hitam berkapur dan papan kenyataan berlubang serta banyak yang rosak. Selepas pemeriksaan , didapati fizikal sekolah memerlukan penambahbaikkan  dengan segera. Kesemua  penambahbaikan dan perubahan  memerlukan kewangan. Pada ketika itu, didapati  wang (LPBT )  hanya tinggal lebih kurang RM2000.00. dan akaun PIBG  tinggal lebih kurang  RM1000.00.
Untuk menyelesaikan masalah tersebut , saya memanggil mesyuarat guru  dan bercadang untuk mengadakan projek kutipan dana( fund raising ).Target saya adalah RM100,000.00. Semua  guru agak terkejut apabila mendengar target kutipan adalah RM 100,000.00. Dalam fikiran mereka jumlah kutipan ini adalah besar dan memang tidak dapat dicapai. Mereka  berasa pengetua ini adalah gila. Mereka tidak percayai dan tidak yakin sekolah luar bandar  boleh mencari wang yang begitu banyak. Saya memberi keyakinan kepada  guru supaya berani menerima cabaran dan berani membuat sesuatu yang luar biasa. Dengan kegigihan, ketabahan, kerjasama kumpulan, semangat ingin cuba , berinovasi dan berkreatif semua cita-cita dapat direalisasikan.
Selepas mendapat konsensus dan persetujuan daripada guru-guru, saya memanggil  mesyuarat PIBG dan Lembaga  Pengelola  Sekolah (LPS ). Semasa mesyuarat , saya melontarkan idea  “ fund raising ” kepada ahli-ahli PIBG  dan LPS . Pada mulanya mereka  berasa ragu-ragu terhadap cadangan saya tetapi selepas penjelasan dan penerangan  proses pelaksanaan projek dengan teliti, mereka bersetuju dan menyokong cadangan saya dengan sebulat suara. Dalam masa tiga bulan, semua warga sekolah  bekerja bertungkus lumus mencari sponsor serta menjual tiket dari rumah ke rumah, dari kampung ke kampung . Proses  kutipan dana ini  telah merapatkan hubungan  silaturahim antara semua warga sekolah dan ahli-ahli PIBG serta LPS. Walaupun terdapat  banyak rintangan , halangan, perasaan yang pahit dan manis tetapi segala ini dapat diatasi dengan semangat kekitaan dan “ team work “ yang kukuh. Akhirnya target kami tercapai. Semua warga sekolah berasa seronok, gembira dan percaya kepada pedoman “ there is a will, there is a way  .  If you think you can, you can”. Dengan adanya wang yang cukup, bangunan sekolah telah dicat semula. Pusat sumber sekolah  telah dipasang  “ air cond ” dan membeli banyak buku rujukan, buku cerita , buku kerja dan lain-lain.
Kantin sekolah telah ditambahbaikkan dengan membina sebuah pentas, besin pencuci tangan ditukar baru dan kedudukannya . Sebuah dapur memasak telah dibina di tepi kantin iaitu berasingan dengan ruang makan guru. Pentas perhimpunan telah dibesarkan dan dipasang dengan jubin. Tandas pelajar telah ditambahbaikkan. Bilik guru dan bilik gerakan telah dipasang  “ air cond ” . Banyak perubahan dan penambahbaikkan  berterusan  telah dilakukan   dengan kutipan dana tersebut.
Pengurusan HEM sekolah adalah memuaskan. Tiada kes-kes disiplin yang serius. Satu isu yang memeningkan kepala adalah  sikap pelajar yang tidak berminat belajar dan masalah kehadiran pelajar ke sekolah. Sering kali pelajar tidur semasa P&P dijalankan. Punca utama adalah mereka bekerja di luar selepas sekolah. Mereka balik lewat dan keesokan harinya  tidak dapat bangun  awal. Mereka yang hadir ke sekolan akan  tidur di dalam kelas. Program permuafakatan ibu bapa dengan guru dan lawatan kasih ke rumah pelajar  telah dijalankan . Walau bagaimanapun, impaknya tidak begitu berkesan. Untuk menyelesaikan masalah ini , saya dan staf sokongan  terpaksa membawa  pembesar  suara  “portable”  memanggil  pelajar dari tingkat bawah untuk ke sekolah. Ramai pelajar sekolah tinggal di rumah pangsa. Mereka berasa malu kerana namanya diketahui oleh semua penghuni yang tinggal di rumah pangsa. Hanya dengan cara inilah kadar kehadiran pelajar telah bertambah baik. Selain itu, kem motivasi juga diadakan untuk memberi motivasi dan dorongan  kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar tingkatan tiga dan lima supaya dapat membantu pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Aktiviti ini agak berjaya kerana peratus kehadiran pelajar ke sekolah dan kelas bimbingan adalah memuaskan. 
Pengurusan KOKO adalah sangat mantap. Di bawah  kepimpinan GPK  KOKO  yang cekap dan berkesan, semua program KOKO telah dilaksanakan dengan lancar. Satu perkara yang membanggakan adalah semua pelajar  memakai pakaian unit beruniform  setiap Hari KOKO pada masa petang( 3.00- 5.00 petang ).Sekolah telah pungut banyak pingat dalam bidang sukan seperti merentas desa, olahraga ,hoki dan badminton  di peringkat daerah, negeri  dan kebangsaan.
Semasa saya bertugas pada awal bulan September 2006, kerani sekolah (N17) telah mendapat surat pertukaran ke Jerantut  yang berkuat kuasa  pada awal bulan Oktober 2006. Pada masa itu, tiada pengganti  selama beberapa bulan. Saya memang pening kepala  dalam mengurus  kewangan  sekolah kerana tiada pengalaman dan  pengetahuan prinsip perakaunan .  Nasib baiknya, mantan pengetua Encik Ng Chong Soong  rela datang setiap petang mengajar saya mencatat, mengimbang ,menutup akaun dan lain-lain lagi. Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada beliau. Kini saya agak mahir mengurus sistem pengurusan  kewangan sekolah.  Ketiga-tiga kerani baru yang  dihantar oleh JPNP  ke sekolah tiada  pengalaman dan tidak tahu pinsip perakaunan. Sayalah terpaksa menjadi  jurulatih  mengajar mereka menguruskan akaun sekolah.  Sepanjang  4 tahun  berkhidmat di SMK TELEMONG, tidak pernah menerima teguran pengauditan. Ini  merupakan  satu kejayaan  yang membanggakan.
Sokongan padu daripada PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah  dan komuniti tempatan adalah sangat menggalakkan. Apabila sekolah menganjurkan  apa-apa  aktiviti , mereka  akan  datang memberi sokongan moral dan sumbangan untuk menjayakan semua aktiviti yang dilaksanakan. Pengurus Ladang Tuan , Ladang Renjok , Ladang Tong Heng  dan pekerja-pekerja ladang  selalu memberi  bantuan  dalam  projek gotong royong membersihkan kawasan sekolah.  Ketua Balai balai polis Telemong  dan anggota-anggota  polis selalu melawat sekolah dan membeli makanan dari  kantin  sekolah serta makan bersama-sama dengan warga sekolah. Hubungan sekolah dengan komuniti tempatan adalah erat dan masra.
Satu peristiwa yang saya tidak dapat lupakan ialah menerima  surat layang  yang mencatat 15 tuduhan. Surat layang ini dihantar ke PPD, JPNP, KPM dan  Pejabat Perdana Menteri.  Salah satu tuduhan ialah menuduh saya rasuah sebanyak RM13,000,000,000.00 . Pada masa itu, PPD tidak memberi apa-apa sokongan kepada saya. Saya rasa sangat sedih dan ingin meletakkan jawatan. Saya mengadakan mesyuarat  guru  dan memaklumkan  kandungan surat layang  itu kepada semua guru. Tanpa melegakan sesaat pun, semua guru  menurunkan tandatangan surat sokongan sebagai tanda sokongan kepada saya. Saya rasa sangat terharu dan menghargai kepercayaan  guru-guru  kepada saya. Semua AJK PIBG dan AJK Lembaga Pengelola Sekolah  datang ke sekolah selepas mengetahui peristiwa itu. Pengerusi  PIBG  ingin pergi ke PPD dan JPNP  untuk memberi penjelasan tentang peribadi  saya serta memberi  sokongan kepada saya. Saya menolak tawaran PIBG dan meminta mereka tenang. AJK PIBG menulis surat sokongan kepada PPD  dan salinan kepada JPNP, KPM dan Pejabat  Perdana Menteri. Tambahan pula, AJK Lembaga Pengelola Sekolah telah mengumpul  lebih daripada 300 tandatangan penghuni kampung Telemong  sebagai tanda sokongan kepada saya. Saya berasa terharu  atas kepercayaan  mereka  kepada saya. Selepas menghantar laporan penjelasan dan  siasatan  telah dijalankan oleh PPD, didapati semua tuduhan adalah tidak berasas. Akhirnya  nama saya telah dibersihkan.
Selama 4 tahun berkhidmat di SMK Telemong , banyak kenangan manis dan pahit. Segala cabaran,  rintangan dan halangan telah saya atasi atas kerjasama dan sokongan daripada semua warga SMK Telemong, AJK PIBG dan LPS. Saya amat menghargai bantuan dan sokongan yang diberi oleh mereka. Saya ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua warga SMK TELEMONG, AJK PIBG, AJK  LPS, penghuni-penghuni  kampung Telemong dan semua pihak yang memberi bantuan, sokongan serta kepercayaan kepada saya untuk mentadbir dan mengurus  sekolah. Tanpa  sokongan  mereka ,SMK TELEMONG  tidak bolehlah  maju  dan lonjak ke arah kecemerlangan. Memori sebagai  seorang pengetua Pahang  penuh dengan perasaan pahit dan manis . Walau bagaimanapun, perasaan manis jauh lebih banyak daripada perasaan pahit  dan  akan menjadi satu kenangan dalam hati saya buat selama-lamanya.

1 comment:

  1. Tahniah puan kerana mengubah SMK Telemong. Saya masih ingat ketika puan pelawa saya jenguk sekolah, puan sebutkan "...sekolah saya bukan macam sekolah." Sejurus selesai projek mengecat sekolah saya "pusing-pusing" di Telemong dan singgah di sekolah tanpa puan tahu. Saya turut bangga yang SMK Telemong memang SMK.
    Yang saya paling ingat juga, ketika kita berkongsi pengalaman dalam "Perancangan Strategik" di Kolej Komuniti Bentong , saya sebut bahawa Pengetua amat bersemangat untuk "menstrategikkan" perancangan sekolah.Staf sokongan dan guru puan jawab separuh berbisik pada saya: "Kami segan. Pengetua sangat baik."
    Syabas! Puan berjawa menawan hati mereka.
    I salute your effort in transforming SMK Telemong. We, PKPSM Bentong, know very well of what you went through , and that fact challenged many of us to go the extra mile. In our meetings I always cite Telemong as an example of concerted effort and to "watch out for Telemong." Education needs more principals like you when the weather looks bleak.

    Friends to the end.

    ReplyDelete