Friday, June 17, 2011

PENGALAMAN PENGETUA PAHANG

PENGALAMAN PENGETUA PAHANG
Suhaimi bin Mohd Dahan
            Surat arahan pertukaran sebagai seorang pengetua bertarikh 16 April 2004 diterima dalam bentuk fax. Kesediaan dan kesanggupan untuk menjawat jawatan pengetua telah mula tertanam dalam diri setelah memiliki sedikit pengetahuan mentadbir dan mengurus sewaktu membuka sekolah baru dengan gelaran yang sesuai ketika itu ialah care taker. Sebenarnya asas ilmu pengurusan banyak saya kutip dan dapati semasa bertugas sebagai pengawas dan ketua pengawas berbagai peperiksaan awam seperti PMR, SPM, STPM, peperiksaan Julai dan peperiksaan muzik. Asal mula menjadi pengawas peperiksaan kerana menggantikan seorang guru  yang menolak jawatan penolong pengawas.
      
      Pengalaman membuka sekolah baru sangat besar ertinya dalam hidup saya dan kekal menjadi kenangan. Ketika perlantikan itu, saya sedang menjawat jawatan Penyelaras Makmal Komputer, dan tidak pernah menjawat jawatan GPK. Bermula dari hari pertama menerima pelantikan sebagai care taker, saya terus mencari guru besar dan pengetua yang saya kenali samada yang masih bertugas atau yang telah bersara, dengan tujuan untuk menuntut ilmu pengurusan. Cara untuk bertemu mereka yang sudah pencen mudah sahaja, umpamanya di pekan sehari, di kedai kopi, dan tidak kurang juga di kedai tayar atau bengkel kereta. Saya akan bertanya sebanyak mungkin soalan tentang pengurusan dan permasalahan yang mungkin wujud termasuk perkara yang dianggap remeh temeh.  Dalam masa yang sama juga saya selalu merujuk kepada rakan sejawat yang sama tugas dan tanggungjawabnya dengan saya iaitu Encik Razak Alias. Selain dari itu,saya juga merujuk kepada  pegawai-pegawai yang berada di PPD. Amalan ini saya teruskan sehingga kini. 
            Satu ketika saya telah meminta seorang GPK meminitkan surat-surat masuk, dengan cara ini saya telah    dapat mempelajari bagaimana meminitkan surat dengan   betul. Pada waktu yang lain pula saya sentiasa mencari kesempatan ke kantin pada waktu dimana seorang CC atau KPT berpengalaman akan berada disana dan menggunakan masa minum    itu untuk menuntut ilmu kewangan.
            Sebelum saya memulakan tugas di SMK Kuala Krau, Haji Ahmad Wahid merupakan salah seorang pegawai di PPD menyarankan kepada saya agar saya juga ‘melapor’ diri  kepada YB DUN Dato Mohammed Jaafar dan YB Parlimen Dato’ Ismail Mohamed Said. Walaubagaimanapun, saranan ini terlupa untuk saya   melakukannya. Sungguhpun begitu Allah telah menyusun dengan lebih baik lagi kerana YDP PIBG sekolah ini disandang oleh Tuan Haji Sharif Azib yang juga merupakan orang kuat YB . Peringkat awal pertemuan saya dengan beliau, saya telah memberi kata kunci kerjasama sekolah dengan YB iaitu ada give and take, ertinya sekolah dapat faedah dan masyarakat setempat juga dapat manfaatnya. Hasil hubungan yang baik antara sekolah dengan YB, banyak perkara dapat diselesaikan dan diatasi serta bermanfaat kepada pelajar seperti mengadakan kemudahan menaiktarafkan prasarana sekolah. Perlu saya rakamkan dalam penulisan ini bahawa hasil hubungan dan kerjasama  sekolah dengan dua  YB di Kuala Krau, dewan sekolah telah dilengkapi dengan penghawa dingin sempena lawatan dan kehadiran Dato’ Seri Najib Tun Razak ke Kuala Krau yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. TPM juga pada awalnya mengumumkan kelulusan peruntukan pembinaan jambatan Kuala Krau di dalam dewan sekolah  pada majlis yang sama.

            Sewaktu menghadiri kursus di IAB kami peserta-peserta mengadakan perkongsian sepuluh minit sebelum bermulanya sesi  kuliah. Setiap peserta menceritakan pengalaman, masalah dan penyelesaian yang dibuat, tip-tip dan teori pengurusan dan berbagai  lagi cerita yang dapat dikongsikan. Seorang peserta menceritakan bahawa sekolah terawalnya merupakan sekolah gangster, tetapi setelah beberapa tahun beliau berada di situ dengan menjalankan program-program  memasyarakatkan sekolah, akhirnya sekolah itu menjadi sekolah pilihan atau rebutan. Pengetua itu adalah seorang perempuan.

            Seorang pengetua perlu kreatif, inovatif, ia juga merupakan seorang jurutera, mungkin juga seorang kaunselor, atau apa sahaja  watak kerjaya yang mungkin diaksikan di sekolah. Sebagai contoh, tekanan air bekalan JBA didapati rendah pada waktu siang hari, mana mungkin tangki yang berada ditingkat tiga   mendapat bekalan air apatah lagi untuk dipenuhkan. Perkara ini berlaku beberapa ketika hasil daripada pertambahan penduduk Kuala Krau. Setelah membuat sedikit penelitian saya telah mencadangkan dalam satu mesyuarat kecil agar satu tangki perlu diletak di koridor belakang tingkat satu, dengan harapan bahawa waktu malam nanti apabila tekanan bekalan air JBA agak kuat dapat memenuhkan tangki di tingkat tiga. Air ini nantinya dapat dibekalkan kepada tandas guru di tingkat satu untuk sepanjang hari persekolahan  esoknya. Sementara tangki alternatif tadi dapat pula membekalkan air kepada tandas pelajar ditingkat bawah kerana ia berada pada aras rendah dan sentiasa mendapat bekalan dari paip JBA. Selesai masalah, dan tidak perlu lagi membuat aduan kepada PPD atau ke JBA.

            Dalam pengurusan disiplin yang melibat kemarahan penjaga, ianya sangat merungsing dan membimbangkan saya. Pernah pada peringkat awal saya menduduki kerusi pengetua, saya di datangi penjaga yang keadaannya sangat marah kepada pengurusan sekolah  kerana anaknya telah dipukul oleh pelajar lain. Teori pertama yang saya gunakan ialah menghulurkan tangan untuk bersalam, keduanya meminta penjaga ini duduk, ketiganya menyapa dengan air muka yang manis, dan tidak lupa juga berpesan kepada GPK upaya menunggu  di luar bilik pengetua berdekatan pintu masuk. Setelah mendengar  segala luahan dan penjelasan darinya, saya pun  memberi jaminan bahawa siastan dan tindakan akan diambil. Sejurus selepas itu  saya susuli  dengan perbualan bertanya khabar, susurgalur keluarga, anak menantu,dan berbagai lagi perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan dan berakhir dengan bersalaman dan turun ke kantin untuk minum bersama. Penjaga  itu pulang dalam keadaan  puas hati.

             Hobi atau minat saya  merakam gambar-gambar bermula sejak zaman  persekolahan lagi. Pada peringkat awal dahulu saya tidak memiliki  kamera, tetapi hobi ini dapat berkembang pada diri saya dengan cara meminjam kamera dari kawan-kawan. Apabila saya telah memiliki kamera digital sendiri, saya   merakamkan gambar-gambar pemandangan dan objek yang saya temui terutama   yang berdekatan dengan saya. Koleksi gambar-gambar ini, apabila tiba masanya   sangat berguna  sebagai bahan dokumentasi kerjaya selain daripada sijil-sijil penghargaan  yang saya perolehi. Bukan sahaja setakat itu, sebahagian daripada koleksi gambar-gambar lama tadi, dapat   dimuatkan kedalam    face book dan blog, lalu dapat pula dikongsi oleh kawan dan kenalan.  

            Jarak dari SMK Kuala Krau  ke PPD seperti yang tercatat dalam diari jabatan ialah 33 km. Jarak dari rumah saya ke PPD  ialah satu km. Sementara tempoh masa perjalanan yang diambil untuk sampai ke sekolah dari rumah ialah kira-kira setengah jam. Satu atau dua hari pada  setiap minggu saya perlu ke bank untuk urusan memasukkan wang. Masa yang paling selesa untuk keluar ke bank ialah sekitar jam tiga, jika lewat dari waktu itu, kereta perlu dipandu  melebihi had kelajuan kebangsaan .Perjalanan akan menjadi lebih berisiko dan kemungkinan juga berdepan dengan speed trap. Pada peringkat awal  saya menjadi pengetua di sekolah ini, kerap juga pegawai dari PPD menelefon ke sekolah selepas jam 4.30 petang, mungkin bertujuan untuk memantau. Jika mereka menelefon dalam tempoh waktu itu dan mendapati saya masih berada di sekolah, nescaya ucapan terima kasih akan terhambur dari mulutnya dan  diikut idengan ketawa. Bagi saya, keluar awal dari sekolah tanpa alasan yang kukuh, sedangkan waktu itu ialah waktu bekerja, maka ia telah menyalahi etika kerja. 
            Inil adalah  sebahagian daripda pengalaman saya sebagai pengetua, yang jika diceritakan semuanya mungkin  mungkin boleh dimuatkan dalam sebuah buku.                  

0 comments:

Post a Comment