Sunday, June 26, 2011

SMK TEKEK DALAM KENANGAN ...

Oleh : Mohamad Ripin bin Sedek
           SMK Kerdau

Bertugas sebagai seorang pengetua, merupakan impian hampir kesemua orang guru. Begitu jugalah aku, apabila ditawarkan sebagai pengetua di SMK Tekek Pulau Tioman, berasa amat teruja walaupun tempatnya begitu jauh dan terasing sekali. Apa lagi aku terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri tercinta yang sangat memerlukan perhatianku. Ibarat dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, sudah cukup untuk aku mendefinisikan tentang impianku selama ini sudah diperolehi. Kini, aku bergelar sebagai pengetua.  Dengan berbesar hati, aku menerima segala tanggungjawab dan bebanan yang bakal kugalas sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke sekolah tersebut nanti. Hati yang berbunga riang, mata yang bersinar penuh harapan dan senyuman manis yang terukir di bibir menunjukkan betapa aku puas dengan apa yang aku milikki di saat ini. Hati mana yang tidak girang setelah bertahun –tahun menjadi guru dan guru penolong kanan, akhirnya berpeluang menjadi pengetua walaupun di sebuah sekolah yang letaknya jauh di pulau. Namun, setelah memikirkan inilah masanya, dan demi masa depan, tanggungjawab serta amanah, terpaksalah aku akur dengan arahan berkenaan. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
            Pada pagi tanggal 12 November 2006, aku pun melaporkan diri di Pejabat Pelajaran Daerah Rompin. Di sana, aku telah diberi sedikit taklimat oleh PPD Rompin tentang latar belakang SMK Tekek. Akhirnya, sebelah tengah harinya aku ke Pulau Tioman melalui jeti Mersing Johor.
            Setelah hampir dua jam perjalanan menggunakan feri, aku pun sampai di jeti Kampong Tekek. Rupa-rupanya di jeti berkenaan, aku disambut oleh beberapa guru dan pekerja sekolah yang sudah tersedia menunggu aku di situ. Setelah berkenalan, aku dibawa ke perkarangan sekolah dengan menaiki sebuah kenderaan dikenali sebagai ‘ sek kar ‘. Itulah pertama kali aku menaiki kenderaan tersebut.
            Sesampai sahaja aku di perkarangan sekolah, aku terpegun. Dalam hatiku berkata, ‘inilah sekolah baruku, ini rupanya tempat aku bertugas sebagai pengetua, namun aku tak kisah, aku terima semua seadanya…’ Aku lihat terdapat dua blok bangunan kayu yang agak usang, sebuah padang kecil di tengah-tengahnya, dua blok asrama dan dewan makan dansebuah makmal komputer. Rupa-rupanya, barulah aku tahu bahawa semua infrastruktur tersebut terpaksa dikongsi dengan pelajar-pelajar sekolah rendah. Malahan kami dikatakan ‘ menumpang’ di sekolah berkenaan. Oleh sebab itulah kami terpaksa menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran pada waktu petang.
            Keesokan harinya, aku melangkah ke pejabat dengan hati yang penuh berbunga. Tersemat di hatiku perasaan ingin menabur bakti dan membangunkan prestasi sekolah agar setanding dengan sekolah-sekolah lain. Hatiku berkata, ‘ tidak semestinya sekolah yang serba kekurangan, jauh di pulau tidak mampu mendapat keputusan cemerlang ‘. Namun begitu, aku akur bahawa banyak perkara yang perlu aku lakukan. Dari segi disiplin, sahsiah pelajar dan prestasi keputusan PMR yang hanya 48 peratus perlu diberi perhatian. Apalagi tidak ada pelajar yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 5A.
            Setelah bermesyuarat dengan 11 orang guru yang ada, kami merancang membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan yang baru. Pada hari pertama pendaftaran asrama dan kami terpaksa berdepan karenah pelajar  dan penjaganya. Masalah kekurangan katil asrama, almari pakaian dan tilam antara puncanya dan telah dapat diselesaikan dengan baik. Sesi pesekolahan seterusnya kami lalui dengan lancar.
            Aku teringat kepada satu pengalaman yang sukar aku lupakan iaitu sewaktu membawa beberapa buah kotak buku teks dari PPD Rompin. Bot berkenaan diperbuat daripada kayu, penuh dengan muatan seperti tong gas, simen dan kayu. Ketika di tengah lautan, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya diikuti pula dengan kilat sabung-menyabung dan laut bergelora. Dalam hati… Tuhan sahaja yang tahu. Aku berasa amat takut dan terasa amat kecil sekali. Kalaulah berlaku sesuatu yang tidak diingini…..
            Walaupun begitu setelah empat jam berada di lautan, sampai juga bot berkenaan di jeti Kampung Tekek. Lega rasanya….dan jauh dari sudut hatiku terucap rasa syukur kepada Ilahi kerana selamat sampai ke tempat yang dituju. Itulah antara pengalaman getir yang sukar aku lupakan hingga kini.
            Penghujung Disember 2007, apabila keputusan PMR diumumkan, sekali lagi aku amat kecewa kerana prestasinya amat mengecewakan. Prestasinya jatuh lagi kepada 40 peratus. Walaupun beberapa subjek menunjukkan peningkatan yang ketara, tetapi dek kerana subjek bahasa Inggerisnya merudum maka prestasinya merosot. Aku terpana. Aku tahu guru-guru sudah berusaha sepenuhnya. Siapakah yang bersalah? Aku, guru-guru atau pelajar? Lama juga aku memikirkan masalah tersebut. Segala usaha telah dibuat, namun… kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Sebagai pengetua, aku mesti bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut. Aku mesti mencari penyelesaiannya…
            Januari 2008, kami membuat perancangan baru. Kami mengesani permasalahannya dan pasti sekali subjek Bahasa Inggeris menjadi fokus  utama kami. Walaupun begitu, subjek-subjek lain tidak diabaikan. Dengan program yang lebih strategik, bantuan JPN, PPD dan sokongan PIBG sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik. Antara program strategiknya ialah kelas tambahan terancang, seminar teknik menjawab, ceramah  motivasi  turut diatur dan dilaksanakan. Aku juga telah mengadakan program baru iaitu borang kawalan akademik individu untuk. Di sini, aku dapat melihat prestasi akademik pelajar setiap kali ujian dan peperiksaan dan sentiasa mengingatkan pelajar terhadap kemajuan akademik.
            Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Keputusan PMR 2008 telah diumumkan. Aku terkejut dan seolah-olah tidak percaya apabila seorang pegawai PPD mengumumkan keputusannya. Keputusan PMR sekolahku melonjak kepada 75 peratus dan  dua orang pelajarnya mendapat 6A. Aku bersyukur dan prestasi berkenaan dikongsi bersama semua warga pendidik di sekolahku. Tidak sia-sialah segala usaha yang dibuat oleh semua guru. Bak kata pepatah, sekali gagal tidak bererti gagal selamanya.
            Kini, aku berada di sekolah yang baru iaitu di SMK Kerdau. Segala pengalaman yang aku lalui itu kukutip untuk dijadikan pedoman semasa berkhidmat di sekolah yang baru ini. Akan kusumbangkan tenaga, ilmu yang ada, idea-idea yang jitu bagi membantu sekolah ini agar setanding dengan sekolah-sekolah lain di negara ini. Namun sekali-sekala kenangan silam di SMK Tekek bermain-main di ingatan. Ibarat kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat mulanya karierku sebagai pengetua.

1 comment: