Saturday, June 18, 2011

BELAKANG PARANG DIASAH LAGIKAN TAJAM


YAHYA BIN AWANG
PENGETUA
SMK JENGKA PUSAT 2, MARAN PAHANG

Saya menyandang jawatan Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Purun di daerah Bera pada tahun 2006. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman sebagai  Pentadbir  di beberapa buah sekolah di Johor dan juga di Pahang saya berazam ingin menjalankan tugas sebagai seorang Pengetua dengan sebaik mungkin. Setelah setahun setengah bertugas di SMK Purun, saya ditukarkan ke SMK Jengka Pusat 2. Diam tak diam sudah tiga tahun saya berkhidmat di sekolah ini.
Tiap-tiap Pengetua mempunyai hasrat dan keinginan untuk menjadikan sekolah mereka , sebuah sekolah yang hebat dan cemerlang dalam semua aspek. Saya juga mempunyai keinginan seperti itu. Saya dan juga warga  Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 mencuba sedaya upaya untuk menjadikan sekolah kami sekolah yang hebat dan cemerlang. Walaupun sekolah saya tidak sehebat atau setanding dengan sekolah-sekolah lain di negeri Pahang ini, namun ada juga beberapa kejayaan yang suka saya kongsi bersama dengan warga pendidik yang lain. Pengalaman saya dalam mentadbir di Sekolah MenengahKebangsaan Jengka Pusat 2 ini sedikit sebanyak telah melakar kenangan manis yang sukar untuk saya lupakan semenjak saya terlibat secara langsung di dalam bidang kepengetuaaan ini.
Saya memulakan tugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Kebangasaan Jengka Pusat  2 ini pada bulan November 2007, Sejak hari pertama saya bertugas di sekolah ini , saya mula  melihat  dan meneliti perjalanan sekolah dari segi pengajaran dan pembelajaran serta  kejayaannya. Di samping itu juga saya sering mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk berbincang dan menerima pandangan bagj melancarkan lagi program-program yang dirancang oleh demi kebaikan anak-anak didik di sekolah ini. Komitmen yang diberikan oleh  Persatuan Ibu bapa dan Guru memudahkan saya untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sekolah. Dari sini saya mula menyusun strategi untuk meningkatkan pencapaian sekolah ini. Langkah pertama yang saya lakukan ialah membina hubungan baik dan mesra antara Pengetua, Penolong Kanan dengan guru-guru.  Seterusnya hubungan dengan murid-murid, staf sokongan dan ‘stake holder’. Hubungan yang dibina  perlu mesra, cekap dan telus.
2 Januari 2010, pendaftaran pelajar tingkatan satu bermula. Saya mendapati ramai di kalangan pelajar tingkatan satu masih belum  menguasai kemahiran 3M. Saya terfikir jika sesuatu tidak dilakukan maka pelajar-pelajar ini akan menghadapi masalah apabila berada di dalam masyarakat nanti. Saya memandang serius keadaan ini. Saya harus merancang sesuatu untuk menangani masalah ini.
Saya memanggil guru kaunselor iaitu cikgu Burhanuddin yang lebih dikenali sebagai cikgu Bob dan juga Ketua Bidang Bahasa Melayu. Saya berbincang selama seminggu dengan mereka tentang jumlah pelajar yang tidak menguasai 3M begitu ramai pada tahun ini. Dalam perbincangan ini, kami bersetuju untuk memulakan kelas PROBIM dan akan menjadi program sepanjang tahun. Setelah diagnosis dijalankan, kami mengenal pasti seramai 28 orang yang masih tercicir dan belum menguasai kemahiran 3M. Satu jumlah yang sangat membimbangkan. Saya beriltizam untuk menyelamatkan anak-anak ini dari terus dilabel penghalang untuk sekolah mencapai keputusan 100% dalam peperiksaan PMR dan SPM yang akan mereka tempuhi nanti.
Untuk menjalankan program PROBM ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua guru.Pengetua dan semua Penolong Kanan dan Ketua Bidang akan mengajar dua waktu mengikut bidang masing-masing. Selain daripada itu, guru-guru lain juga yang jadualnya kurang daripada orang lain  dikehendaki mengajar 2 waktu. Kelas berjalan seperti biasa dan lancar. Ada ketua tingkatan dan juga guru kelasnya. Cikgu Bob bersetuju untuk menjadi guru tingkatan. Saya mengajar mata pelajaran Sejarah. Apabila masuk ke kelas, pelajar akan berdiri memberi hormat kepada saya. Saya menceritakan kisah-kisah sejarah lama seperti kehebatan Laksamana Hang Tuah dan sebagainya. Walaupun pelajar ini tidak tahu membaca, tetapi mereka mendengar dengan penuh minat. Biasanya sebelum memulakan pengajaran, saya akan berbual dengan pelajar saya. Selepas itu saya akan memberikan beberapa biji kismis anggur kepada pelajar. Saya memberitahu mereka bahawa setiap orang dibenarkan mengambil sebanyak tujuh biji sahaja. Kebanyakannya saya memberi bilangan kismis yang lebih kepada mereka. Beberapa ketika, beberapa orang pelajar datang memulangkan kismis yang saya bagi itu. Katanya lebih. Saya agak terkejut, sebenarnya saya sengaja beri lebih tapi pelajar ini nampaknya jujur-jujur belaka. Dipulangkan semula kismis lebih sebagai tanda kejujuran dan keikhlasan mereka.
Hari berganti hari. Begitulah perjalanan kelas ini. Akhirnya sampailah masa untuk mereka diuji sama ada melepasi tahap pencapaian untuk memasuki kelas biasa atau tidak. Ujian  pertama diadakan pada bulan Mei, daripada 28 orang pelajar yang diuji. 15 orang telah lulus dan layak untuk masuk ke kelas biasa.  Satu pencapaian yang tidak saya duga sama sekali. Saya agak terkejut kerana pelajar ini begitu cepat dapat menguasai 3M. Kami semua berasa gembira dengan keputusan ini . Pelajar yang belum menguasai seramai 15 orang terus diajar seperti biasa.  Pada bulan Julai, sekali lagi ujian diadakan. Dalam ujian kali kedua ini, 8 orang pelajar lagi telah lulus.  Hanya tinggal 5 orang sahaja murid yang masih belum berjaya menguasai 3M. Kami meneruskan lagi usaha murni ini dan kelas PROBIM  telah dikendalikan sepenuhnya oleh Cikgu Bob. Pada bulan Oktober  ujian ketiga dijalankan.
Saya mengadakan perbincangan dengan Cikgu Bob mengapa masih ada dua orang pelajar yang masih belum menguasai kemahiran 3M. Hasil daripada perbincangan tersebut saya  mendapati 2 orang pelajar itu selalu ponteng sekolah dan tidak menghadirkan diri apabila kelas PROBIM dijalankan. Harapan kami dengan usaha yang dijalan secara bersungguh-sungguh ini, semua pelajar PROBIM berjaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira  menjelang hujung tahun ini. Semua murid kelas PROBIM yang  berjaya untuk mengikuti pelajaran di kelas biasa dipantau oleh guru bahasa kelas berkenaan.  Kesedaran dan tanggungjawab inilah yang seharusnya ditanamkan di kalangan guru-guru agar terus berusaha tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Pelajar-pelajar yang tidak menguasai 3M ini sebenarnya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru-guru. Mereka mudah mesra dan begitu berminat untuk belajar. Sifat keanak-keanakkan mereka ini sebenarnya menuntut kesabaran yang tinggi daripada para guru yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Apabila saya menguji mereka membaca, selalunya mereka akan berebut-rebut untuk mengambil bahagian walaupun mereka tidak boleh membaca dengan lancar.  Saya akan memberi hadiah sebagai satu skim galakan. Ini menimbulkan semangat belajar yang tinggi di kalangan mereka.
Saya membuat sedikit analisis dan dapat merumuskan beberapa perkara dalam mendidik anak-anak istimewa ini:
i.              Guru-guru mesti mempunyai perancangan program yang baik
ii.            Guru-guru mesti ikhlas dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.
iii.           Bimbingan dan latihan yang berterusan diberikan kepada pelajar.
iv.           Bimbingan dan latihan berterusan juga diberikan kepada guru-guru.
v.             Pemantauan yang berkesan daripada pihak pentadbir.
vi.           Penilaian yang mesra, cekap dan telus.
Dengan adanya enam program yang disebutkan seperti di atas, saya amat yakin bahawa program kelas pengajaran PROBIM ini dapat dijayakan sepenuhnya. Dengan itu tidak menghairankan kesan-kesan positif hasil daripada program PROBIM ini dapat dijelmakan
Kesan-kesan yang dapat dilihat ialah pada hari pertama pendaftaran tingkatan satu, pada awal Januari 2011 seorang ibu berkata kepada seorang guru di sekolah saya bahawa anaknya sekarang sudah pandai membaca dan dia tidak mahu anaknya berpindah ke sekolah lain. Dan dia gembira sangat apabila suaminya membeli surat khabar dan membawa pulang ke rumah , anak-anaknya akan berebut untuk membaca kerana merka sudah pandai membaca  Kata ibu itu lagi, bahawa pada hari ini saya daftarkan pula adiknya untuk masuk tingkatan satu . Adiknya juga tidak menguasainya 3M. Saya dan guru-guru lain, tersenyum bangga di atas harapan dan kepercayaan ibu tersebut terhadap sekolah kami.Saya sentiasa berazam untuk melatih pelajar-pelajar di sekolah ini untuk menjadi orang yang berguna bukan sahaja untuk  hidup di dunia bahkan yang lebih penting untuk hidup di akhirat . Oleh itu selain daripada program PROBIM ini kami juga di sekolah melaksanakan progran ‘ Tahsin Solat .‘
Satu lagi bukti yang saya nampak ialah kejayaan mendapat 100% dalam SPM dan  lulus Bahasa Melayu. Kejayaan ini menyebabkan semua pelajar layak untuk mendapatkan sijil.  Ini tentunya satu pencapaian yang baik kerana saya difahamkan bahawa sejak tertubuhnya sekolah ini pada tahun 1991,hanya pada tahun 2010 merupakan kali pertama keputusan 100% dicapai,dan Ini tentunya satu keputusan yang sangat menggembirakan. Kami memahami bahawa pelajar-pelajar sudah sebelas tahun bersekolah dan tentulah menyedihkan jika mereka tidak dapat sesuatu yang diharapkan seperti sijil SPM ini . Sekurang-kurangnya dengan adanya sijil ini membolehkan mereka untuk memohon pekerjaan apabila mereka berada di dalam masyarakat nanti. Oleh itu kami berazam untuk mengekalkannya pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya  InsyaAllah.
Bukti yang ketiga, apabila pelaksanaan PROBIM menjadi satu agenda peringkat Pejabat Pelajaran Maran, ia telah melonjakkan lagi pencapaian keputusan Bahasa Melayu SPM di peringkat negeri yang mana pada tahun 2009 dan 2010 , mencapai kedudukan tempat kedua dan ketiga di negeri Pahang. Ini diakui sendiri oleh Tuan Haji Zamri bin Haji Zakaria , Ketua Unit Akademik PPD Maran. Dengan adanya program PROBIM di peringkat daerah, jumlah pelajar-pelajar yang tidak dapat menguasai 3M telah dapat dikurangkan. Kami sentiasa berbincang di peringkat PPD tentang bagaimana cara untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar PROBIM ini. Mana-mana sekolah yang menghadapi masalah kami cuba bantu sedaya yang mungkin. Kami sedang berusaha gigih untuk meminimakan jumlah pelajar yang tidak menguasai 3M  pada tahun ini  Bukti yang yang dapat dilihat ialah pada bulan Januari 2010 jumlah pelajar PROBIM di daerah Maran mencecah 200 orang dan pada bulan Oktober jumlah itu dapat dikurangkan kepadal 46 orang sahaja.
Kesimpulannya, saya berpandangan bahawa anak-anak yang istimewa ini jika diberi bimbingan dan asuhan yang betul dan sistematik serta penuh kasih sayang akan menampakkan hasil yang membanggakan. Oleh itu, pupuk dan didiklah mereka seperti anak kita sendiri dan sama-samalah kita berdoa semoga mereka juga boleh berjaya seperti orang lain. Inilah yang dikatakan belakang parang jika diasah lagikan tajam, inikan pula akal manusia.

2 comments:

  1. Syabas kerana menghasilkan bahan pengalaman yang bermanfaat untuk panduan pengetua dan pengetua dalam pembikinan. Saya perlukan satu sumbangan bahan tuan untuk MPSM tahun ini. Salam.

    ReplyDelete
  2. Saya sangat setuju dengan usaha tuan. Untuk memandaikan anak yang tercicir memang kena sabar. Memerlukan tempoh masa yang panjang, mungkin sampai tiga bulan. Semuga Allah memberi kekuatan kepada pasukan anda. Usaha ini telah mula nampak buktinya, teruskan! Banyak jasa tuan kepada anak muda kita.

    ReplyDelete