Monday, June 27, 2011

MEMORI INDAH

Hjh Hafidzah Bt Jono
SMK Jengka Pusat

3 Januari 2004 merupakan tarikh keramat yang sukar dilupakan dalam dunia kerjaya sebagai pendidik.  Mulai tarikh itulah bermulanya kerjaya saya sebagai pengetua di SMK B .  Sukar untuk diungkapkan dalam  perkataan perasaan saya ketika itu.  Gembira, teruja, berdebar-debar, dan takut bercampur-baur menerjah gelodak fikiran dan emosi.  Maklumlah SMK B baru dibuka pada pertengahan tahun 2003 dan sayalah bakal  pengetuanya yang pertama.
Pagi itu, beberapa orang rakan guru di SMK A menghantar saya lengkap membawa dulang-dulang hantaran ke SMK B.  Sungguh saya tidak sangka rupa-rupanya warga  SMK B telah bersedia dengan kedatangan rombongan kami.  Dari jauh lagi saya melihat para pelajar berbaris memegang bunga manggar yang berwarna-warni, paluan kompang menggegar pendengaran, dan barisan guru yang dedikasi tersenyum ikhlas menanti kehadiran kami. Alamak! Seperti pengantin baharulah pula rasanya apabila saya dan rombongan diarak ke dewan sekolah.  Apabila warga SMK B menyambut dulang-dulang hantaran itu,  hati saya berdebar-debar dan terasa peluh sejuk kerana rasmilah tugas sebagai pemimpin di sini.  Pundak sayalah yang akan memikul tanggungjawab berat ini.  Ya Allah berilah kekuatan kepada saya.  Dari raut wajah mereka tergambar penantian dan harapan yang menggunung terhadap saya.  Terasa kerdilnya saya, insya’allah saya berjanji pada diri saya bahawa saya tidak akan menghampakan harapan mereka.  Saya berpegang pada prinsip, nobody can be successful unless he loves his work!, jadi untuk menjadi seorang pengetua yang berkarisma dan berkesan, saya mesti mencintai tugas baharu saya.

TAPAK KAKI ANAK SIAPA ?
Petang itu saya mengambil peluang keemasan untuk berkenal-kenalan dengan lebih rapat dan mesra dengan kakitangan di pejabat.  Sedang kami berbual mesra, tiba-tiba saya dikejutkan oleh mesin fotostat pejabat beroperasi sendiri.  Saya tergamam seketika , yang peliknya mereka biasa sahaja.  Ya Allah apa dah jadini? Jerit hati kecilku.  “Memang macamtulah..dah biasa dah, jangan terkejutlah…” selamba sahaja mereka memberitahuku.  Pucat sekejap saya dibuatnya….
Selang beberapa minggu saya dikejutkan oleh guru ERT yang berlari tercungap-cungap sambil marah-marah kerana bilik ERT kotor oleh kesan tapak kaki yang berlumpur. “Siapa  masuk bilik ERT bawa anak?”  Saya cuba menenangkannya dan mengajaknya ke bilik ERT.  Masya’allah…memang betul, kesan tapak kaki berlumpur orang dewasa dan kanak-kanak sehingga di hujung bilik ERT!.  Pelik juga saya dibuatnya kerana ketika itu pintu bilik ERT berkunci, cuaca panas , dan semua kawasan sekolah bertar.  Memang pelik..k..tegak juga bulu roma saya.
Ada kalanya lampu dan kipas di bilik saya terpasang dan tertutup sendiri, malah barang-barang saya seolah-olah ‘ diusik’ oleh seseorang. Cerita kakitangan terkunci di bilik air ,  guru  membuat aksi berenang di dewan pada waktu siang, dan pelajar histeria merupakan insiden biasa di sekolah.  Sebagai pengetua saya harus menangani kejadian-kejadian itu secara berhemah. Banyak lagi kejadian misteri yang berlaku sepanjang saya di sini, namun sedikit pun tidak menjejaskan tugas kami mendidik anak bangsa. Walau apa pun, itulah kebesaran kuasa Allah swt yang telah menjadikan manusia sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkannya.  Manusia diberi tugas untuk memimpin makhluk lain termasuklah makhluk halus yang menghuni dunia dan tertakluk di bawah prinsip naungan kepimpinan.   Kewujudan makhluk ini memang tidak boleh dinafikan sebagaimana disebut dalam Al-Qur’an, surah Al-A’raaf, ayat 27 yang bermaksud;
‘…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dalam keadaan kamu tidak dapat melihat mereka.’
Pengajarannya di sini, Allah swt telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga ,iaitu  Allah swt menghijab pandangan kita daripada melihat makhluk halus yang berada di sekitar kita.  Bersyukur saya kepada Ilahi akan nikmat ini.  Saya tidak dapat membayangkan sekiranya kita dapat melihat dengan mata kasar  makhluk halus seperti itu setiap hari,  nauzubillah..  Insya’allah pengalaman itu akan memperkuat dan memperkukuh keimanan warga SMK B kepada Allah swt.  Kejadian ini meyakinkan kami tentang kebesaran dan keagungan kuasa Ilahi.  Sehubungan dengan itu, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap musuh yang tidak dapat dilihgat.  Akhirnya percayalah bahawa Allah swt akan sentiasa member pertolongan-Nya kepada hamba-hambanya yang beriman. Ameen.
                
PKKP SEDERAP
Menjadi tuan rumah Majlis Perasmian PKKP SEDERAP Peringkat Negeri Pahang 2004 memang amat mencabar.  Apa tidaknya, sumber kewangan yang ciput, kemudahan, dan kakitangan yang terhad amat merunsingkan saya.  Berpeluh juga saya apabila memikirkannya.  Walau apa pun, sebagai pengetua saya mesti sentiasa berfikiran positif dan sentiasa memberi inspirasi yang akan memotivasikan guru-guru dan kakitangan sokongan yang lain.  Saya selalu berdoa kepada Allah swt agar memberi kekuatan dan memudahkan semua urusan.  Saya amat terharu dengan semangat kerja dan komitmen tinggi warga SMK B yang bertungkus-lumus untuk menjayakan majlis gilang-gemilang ini.  Working together is success memang tepat, kami berkorban idea, tenaga, wang ringgit, dan masa di sekolah semata-mata untuk merealisasikan agenda ini.  Ada yang terpaksa membawa anak-anak kecil sehingga tertidur di kerusi pada malam hari menyiapkan dewan dan guru-guru lelaki sibuk ‘mengusung’ apa-apa jua keperluan yang ada di rumah untuk menceriakan sekolah .  Yang saya bangga sangat ialah mereka lakukan semua ini tanpa arahan daripada saya pun!.  Terima kasih cikgu! Terima kasih sekali lagi.  Di sinilah saya melihat, a team is more than a collection of people. It is a process of give and take.  Alhamdulillah, semuanya berjalan  lancar dengan izin Allah swt.  Masing-masing boleh tersenyum walaupun saya melihat riak muka yang letih dan mata yang kuyu kerana kurang tidur malam sebelumnya.  Penat lelah kami amat berbaloi kerana Yang  Hormat Dato’ Azmey, Pengarah Pelajaran Negeri Pahang ketika itu amat berpuas hati dan menyampaikan kata-kata pujian kepada warga SMK B.
Moralnya, interdependent people combine their own efforts with the efforts of others to achieve their greatest success.
                                               
RANTAI EMAS BERLOKET NILAM
Pejam celik-pejam celik, sedar tak sedar, 4  tahun berlalu begitu pantas di SMK B.  Amat bertuah dan seronok rasanya apabila saya diterima dengan baik oleh warga di sini.  Mereka memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada saya untuk menjayakan agenda sekolah.  Hubungan kerja yang akrab antara guru-guru, guru-kakitangan, dan guru-pelajar menjadi aset penting dan kekuatan saya di sini.  Alhamdullilah, saya tidak stres langsung sebagai pengetua di sekolah ini.  Saya benar-benar berasa dihormati, dihargai, dan dikasihi di sini.
November 2007, saya menerima surat pertukaran ke SMK C yang jauhnya dua kilometer dari SMK B.  Ucapan tahniah beriringan dengan air mata menghujani saya daripada keluarga di sini dan masyarakat sekitar.  Sebak berbaur sayu menyelinap di hati saya dan menjadikan saya agak kurang keruan dibuatnya.  Saya belum puas lagi di sekolah ini…banyak perkara lagi  yang hendak saya lakukan.  Walau apapun, yang pasti saya mesti meneruskan perjuangan .
Saya dikejutkan dengan jamuan ‘ringan’ (kata mereka) tetapi saya anggap gah sebenarnya sebagai tanda perpisahan dan selamat bertugas di sekolah baharu (sebenarnya saya pernah mengajar di sekolah C sebelum ini).  Saya ‘meninggalkan’ sebuah lukisan kapal belayar sebagai kenang-kenangan dan tanda saya akan terus melayari dunia pendidikan yang tiada penghujung ini, sebaliknya mereka mengalungkan saya dengan seutas rantai emas yang berloketkan batu nilam biru berbentuk hati dan bertatahkan berlian.  Aduh..h..h  terharunya, tidak terungkap oleh kata-kata, hanya air mata membasahi pipi saya.  Terkasima saya atas ingatan yang menusuk kalbu.  Bukan harga menjadi ukuran tetapi thought counts.  Sesungguhnya emotional attachment dan memori saya bertugas di SMK B akan terpahat di hati dan menjadi kenangan abadi yang tidak mungkin saya lupakan.  As a new principal at a new school I used to remind my team about the principles of success and promote the feeling that every human being is unique.  Thank you cikgu.  Terima kasih teachers. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi pengetua di SMK B.

0 comments:

Post a Comment