Friday, June 17, 2011

CHINI-TANJUNG GEMUK-ROMPIN

CHINI-TANJUNG GEMUK-ROMPIN
Hasil nukilan : PN HAWIAH BINTI CHIK , SMKR , 2011.

Tanggal 16 Februari 2006 aku telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah yang baru dibuka  di Felda  Chini , Pekan ,Pahang. Sekolah  ini merupakan sekolah yang ke 8 aku bertugas dalam tempoh perkhidmatan selama 22 tahun sebagai guru. Walaupun aku terpaksa berulangalik sejauh 170 km setiap hari  dari Bandar Pekan, namun  tidak menjadi masalah kepadaku kerana dalam masa sejam aku dapat sampai ke sekolah. Anak-anakku empat orang masih bersekolah tapi kakak sulungnya ada di rumah sedang menunggu keputusan STPM. Selain  itu dengan berulang ke sana aku dapat melewati kubur ibuku di Kg Padang Rumbia pada setiap hari yang mana hampir 19 tahun telah aku tinggalkan sejak berpindah ke Perak      ( 1985 ) dan Kelantan mengikut suami. Setiap kali melalui kawasan tersebut aku akan memberi salam dan kusedekahkan surah  Al-Fatihah kepadanya dan saudara mara yang lain. Di samping itu dengan mendengar siaran Radio IKIM.FM sepanjang perjalanan pergi dan balik, banyak ilmu yang dapat ku peroleh untuk ku jadikan idea bagi ucapan-ucapan di sekolah.
           Malangnya, bangunan sekolah baharu masih belum siap.Justeru kami terpaksa menumpang di SMK Chini pada sesi petang selama  5 bulan .  Pengetua SMK Chini ketika itu  ialah Tn Hj Razak Mohamad , iaitu jiranku semasa  di Kg Parit Tengah , Pekan. Aku bersekolah menengah di SMU Tengku  Ampuan Fatimah, Pekan dan menumpang di rumah abang keduaku kerana jarak dari kampung asalku ke Pekan ialah 16 batu  Apabila  memikirkan hal ini airmataku menitis tanpa disedari dan aku amat bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana walaupun kami berasal daripada  keluarga susah, namun berkat kesabaran dan usaha gigih ,kami sekarang telah memegang jawatan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Jumlah pelajarku tak ramai hanya 300 orang sahaja dan jumlah guru 24 orang. Dengan berbekalkan pengalaman selama setengah bulan sebagai GPK Pentadbiran dan masing-masing  lima  tahun sebagai Ketua Bidang Sains dan Matematik serta setahun setengah sebagai Ketua Bidang Vokasional dan Teknik, alhamdulillah seboleh mungkin aku memimpin warga sekolah dengan penuh komited untuk menuju kecemerlangan.  Malang  juga bagiku kerana semua set  pemimpin dari pengetua hingga  GPK termasuk hanya seorang Pembantu Tadbir  terdiri daripada orang baharu dan  tidak ada langsung  pengalaman dalam bidang masing-masing. Rasa nak marah pun ada pada orang JPN. Walau bagaimanapun aku amat bersyukur pada Allah SWT kerana mereka semua amat komited melaksanakan tugas masing-masing  dan sentiasa berusaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang sepatutnya, dalam tempoh tiga bulan sahaja. Sebaliknya kali ini aku berterima kasih kepada  pegawai-pegawai  JPN Pahang kerana melantik orang - orang  yang cemerlang untuk membantuku  membangunkan sekolah baharu ini. Kebanyakan urusan kewangan diurus oleh GPK 1 , En Azman Ishak yang terpaksa mengusung Buku Tunai panjang itu pergi balik sampai naik ‘lunyai’ untuk belajar dengan KPT SMK Chini.Tak cukup siang, beliau belajar pada waktu malam kerana masing-masing tinggal di Kuarters Guru. Memasukkan wang ke bank menjadi tugasku kerana anak saudaraku bekerja di salah sebuah bank di Pekan.
Keseluruhan pelajar Tingkatan  2 dan 4 sekolahku adalah terdiri daripada pelajar sederhana dan lemah kecuali pelajar Tingkatan 1. Sebagaimana pelajar sekolah lain, sudah tentu ada kumpulan pelajar yang bermasalah disiplin di samping kurang bermotivasi untuk belajar . Syukur alhamdulillah pihak JPN telah sudi mengeluarkan dana  untuk  program “Permata Hati” khas bagi kumpulan sasaran dari SMK Chini dan SMK Chini 2 yang berlangsung selama seminggu di sekolah dan seminggu lagi di Temerloh.  Selepas itu dengan kerjasama  pengurusan Felda Chini 2 , pihak sekolah  melaksanakan pula program “Permata Hati” Fasa 2 kepada kumpulan pelajar sekolahku,memandangkan sikap mereka yang  tidak banyak berubah. Sampai waktunya bas telah pun tiba tetapi seorang pelajar perempuan masih belum muncul. Aku dan GPK HEM mengambil keputusan menurut ke rumahnya. Didapati pelajar tersebut tidak mahu pergi walaupun didesak oleh ibu bapanya . Selepas dipujuk barulah dia berkemas itupun dalam keadaan separuh hati . Kami bukan apa, sayangkan tempat , kos dan peluang yang tak tentu boleh dapat lagi.Program yang dijalankan di Taman Pertanian Kuantan itu agak padat dan berat sehingga dua orang pelajar lelaki cuba cabut lari tetapi dapat ditangkap oleh petugas  di situ. Pada hari terakhir semasa aktiviti “recall “ dijalankan aku menyorok belakang pokok kerana air mataku turun macam hujan lebat tak dapat ditahan-tahan. Tetapi GPK 1 ku pandai , awal-awal lagi pakai spek hitam .  Yang peliknya pelajar perempuan yang kami turut ke rumah dulu langsung tak menangis walaupun kesemua pelajar lain termasuk lelaki menangis  teresak-esak kerana kesedihan . Hal ini dapat dikesan kerana tidak ada jalur basah pada pipinya yang bersepuh dengan bedak lumpur selepas berkubang sebagai aktiviti terakhir sebelum ‘recall’ berbanding dengan orang lain. Dalam hatiku geram juga dengan pelajar tersebut tapi nak buat macam mana.  Semoga Allah memberi hidayah dan melembutkan hatinya agar menjadi orang yang berguna kemudian hari nanti. 
                   Pertengahan Februari kami telah mengadakan mesyuarat penaja PIBG bersama dengan empat orang ibu bapa dan beberapa orang guru. Seterusnya pada penghujung April, mesyuarat PIBG kali pertama telah diadakan di Dewan Besar Chini yang dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pekan ketika itu , iaitu Tn Hj Hamid bin Abu Bakar.  Sehari sebelum itu dari petang hingga  ke  malam , semua GPK dan guru-guru bertungkus lumus menyedia dan menghias dewan dengan kos yang amat minima dan semua hiasan  termasuk bunga hidup  dibawa dari rumah mereka. Terima kasih semua GPK dan guru-guruku. Semangat kerja berpasukan dan komitmen kalian akan kukenang hingga akhir hayatku . Hanya Allah jua yang dapat membalasnya. Aku juga amat berterima kasih kepada Tn Hj Hamid kerana beliau sanggup menunggu sehingga mesyuarat habis. Satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan ialah ucapan beliau sama dengan isi ucapanku kerana aku juga turut menghadiri Mesyuarat Agung PIBG sebuah sekolah berasrama penuh yang dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran ketika itu Dato’ Ahmad Azmi bin Abu Talib .Justeru, kami mengemukakan isu sama yang diperkatakan oleh pengarah .Hal ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain terutama perasmi supaya ada pelan B untuk sebarang ucapan yang melibatkan orang luar. Mungkin salahku juga kerana tidak menyediakan teks ucapan kepada beliau. Maklumlah kali pertama , jadi tak ingat. Minta maaf Tuan Haji Hamid.
           Seronok bertugas di sekolah FELDA kerana pihak pengurusannya, ibu bapa / penjaga termasuk ADUN sentiasa bekerjasama dan bersedia memberi bantuan dalam segala aspek sama ada tenaga , kepakaran dan terutamanya kewangan. Sebulan sekali sekolah akan dipanggil dalam mesyuarat pengurusan FELDA bersama AJK dan  dikehendakki memberi laporan tentang program bulanan dan masalah yang dihadapi di sekolah. Justeru kami perlu kreatif  merangka program -program strategik . Oleh itu Tn Hj Razak , Pn Hjh Siti Fatimah Awang mantan pengetuaku di SMK Ahmad , dan pengetua-pengetua lain di Pekan serta abangku yang menjadi pengetua di Rompin merupakan mentorku  .Terima kasih diucapkan kepada semua kerana tidak jemu-jemu membantuku apabila diperlukan.
            Anak orang kita jaga ,anak sendiri tak boleh diabaikan. Suatu hari anak keempatku yang bersekolah di sebuah sekolah berasrama di Pekan menelefonku  mengatakan dia demam. Dari nada suaranya kutahu dia demam kuat. Malam tu aku sampai ke rumah pukul 7.50 malam dari Chini. Tanpa berlengah lagi aku pergi ke sekolahnya selepas solat Maghrib dan terlebih dahulu menelefon GPK HEMnya memaklumkan bahawa aku akan membawa anakku pulang ke rumah.. Sedih hati melihat keadaannya, hanya menjamah sekeping roti pada sebelah pagi kerana tiada selera untuk.makan. Dengan peristiwa itu aku bertekad seandainya nanti aku ditempatkan di sekolah berasrama, aku  akan memastikan warden- wardenku dan AJK asrama mengambil berat  terhadap pelajar yang sakit. Pihak pengurusan asrama dikehendakki menyediakan bubur nasi kepada pesakit dan memastikan mereka minum banyak air .
            Aku memohon bertukar ke Rompin mengikut suami dan ditempatkan di SMK Sungai Puteri pada  1 Disember 2006. Selama ini hampir 6 bulan kami berulangalik seorang ke hulu seorang ke hilir dengan jarak yang hampir sama. SMK Sungai Puteri mempunyai 430 orang pelajar, 34 orang guru dan 7 orang kakitangan. 20 % pelajar terdiri  daripada orang asli yang berasal dari kawasan Bangkong menghala ke Leban Chondong dan seterusnya ke Kg Sabak. Kebanyakan pelajar adalah dalam kumpulan sederhana dan lemah dengan masalah ponteng sekolah yang agak tinggi ,kurang bermotivasi dan masalah disiplin terutama dari kelas-kelas belakang . Syukur Alhamdulillah aku juga mendapat GPK-GPK ,guru-guru dan kakitangan yang komited , senang diajak berunding dan semangat kerja berpasukan yang tinggi .Pelbagai program diatur dan dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk PIBG , polis , bomba , AADK . Kerajinan dan kewibawaan semua pihak membuahkan hasil yang lumayan. Keputusan PMR 2007 menunjukkan peratus lulus meningkat 13 %  berbanding tahun sebelumnya.
            1 Disember 2007 aku ditukarkan pula ke SMK Tg Gemok , Kuala Rompin.  Cabaran yang amat  besar menungguku dengan jumlah pelajar 1050 orang dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 , 78 orang guru dan 17 kakitangan , berasrama serta sekolah 2 sesi. Peringkat awal bercelaru juga aku dibuatnya tetapi sekali lagi aku memanjat kesyukuran ke hadhrat iIahi kerana nikmatnya tidak pernah  putus kepadaku. Antara kekuatan SMKTG ialah GPK-GPK , Penyelia Petang , kaunselor ,guru-guru dan kakitangan sokongan yang berpengalaman , komited dan senang dibawa berunding. Selain  itu sebahagian kecil ibu bapa atau penjaga ialah anak murid arwah abangku yang sulung yang pernah mengajar di SK Pianggu. Sama dengan sekolahku yang terdahulu, YDP dan AJK PIBG sangat ‘supportive’ dan komited . Apa sahaja program yang berfaedah kepada pelajar , mereka tetap akan memberi sokongan sama ada kewangan , kepakaran atau tenaga. Peristiwa paling pahit ialah pada 2008 SMKTG mempunyai 18 orang guru GSTT iaitu hampir ¼ daripada jumlah guru. 2010 SMKTG dijadikan sekolah satu sesi. Senang rasa dihati , kalau tidak selagi pelajar tak balik rasa risau terus mencengkam dijiwa takut apa-apa berlaku pada pelajar sesi petang.
            Aku teringat program‘ Spell It Right‘ yang dijalankan pada 2009 di mana sambutan para pelajar sangat menggalakkan dan di luar dugaan. Pelajar datang berpusu-pusu pada waktu petang hingga penuh dewan dan terpaksa dibuat dua hari berturut-turut.  Selain daripada guru Bahasa Inggeris , guru–guru Sains dan Matematik serta guru GSTT terpaksa diambil menjadi pengadil. Pada tahun itu juga SMKTG buat pertama kali dalam sejarah telah berjaya menjadi Juara Perbahasan Bahasa Inggeris peringkat Daerah dan seterusnya mewakili daerah ke Cameron Highland. Siapa sangka orang kampung boleh jadi juara  Bahasa Inggeris !!!! .  Dalam hal ini aku percaya potensi pelajar dapat diperkembangkan dan diasah bakat mereka melalui usaha guru–guru  yang bekerja sebagai satu pasukan dan tidak jemu-jemu mendorong dan melatih pelajar . Tanpa diduga hasil perancangan strategik serta usaha gigih semua guru , SMKTG telah berjaya menempa nama di peringkat negeri dengan mendapat anugerah Hadiah Menteri Besar Pahang sebagai Sekolah Terbaik SPM Kategori Luar bandar bagi Tahun 2008 dan 2009 . Pada 2008  juga,SMKTG telah merangkul Anugerah Gading Bersilang dari Kerajaan Negeri Pahang di mana empat mata pelajaran telah menjadi mata pelajaran terbaik kategori Luar  Bandar  , iaitu Tasawwur Islam , ICT , Perdagangan dan Sains Sukan . Pada 2009 hanya dua mata pelajaran menjadi mata pelajaran terbaik iaitu Fizik dan Tasawwur Islam.  Sebelum itu keputusan PMR  dan STPM turut meningkat dan sebagai ganjaran ADUN Tioman YB  Kaptern (B) Tn Hj Johari Hj Hussein telah menghadiahkan seekor lembu untuk sambutan perayaan Hari Guru 2010.Untuk pertama kalinya dalam sejarah SMKTG seorang calon STPM 2009 telah berjaya mendapat 4 Prinsipal A..  PIBG juga telah turut mengadakan jamuan makan malam kepada semua guru.  Apa yang aku lihat budaya kerja guru-guru SMKTG yang menyerlah ialah mereka akan berebut-rebut membuat kelas terakhir kepada pelajar sebelum hari peperiksaan yang sebenar bagi mata pelajaran berkenaan walaupun dalam cuti akhir tahun.
            Bagiku  aplikasi program ‘Headcount’ dan ‘Post Mortem’ amat penting di mana setiap pelajar perlu tahu dan berusaha sepenuhnya mencapai target mereka. Sebenarnya aku amat berbangga dengan program PKKP yang dicetuskan pada 1995 oleh Pengurusan Akademik JPN Pahang. Di Perak program tersebut bermula pada 1998 dan disemarakkan penggunaannya dengan sepenuhnya tanpa gagal dan tiada kecacatan ( zero defect ) . Begitu juga penggunaannya di Kelantan semasa aku berada di sana pada Jun 2003. Tetapi sayang seribu kali sayang di Pahang penggunaannya tidak menyeluruh kerana di setiap sekolah aku bertugas sebagai pengetua, ramai guru lama bersikap acuh tak acuh terhadap konsep ‘headcount’ . Kalau guru baru kita boleh kata tak tahu. Pencapaian pelajar berkadar terus dengan usaha , keprihatinan,  dan dorongan serta keikhlasan guru terhadap mereka di samping doa.
          Dalam bidang kokurikulum ,pencapaian pelajar juga tidak menghampakan. Seorang pelajar iaitu Muhammad Khairuddin bin Rosdin telah berjaya mendapat hadiah Kecemerlangan Kokurikulum 2009 Negeri Pahang kerana menjadi pemain kebangsaan dan turut mewakili negara ke Chennai, India dalam kejohanan Softball Bawah 17 Tahun. Pelajar Afzareza bin Shahril telah berjaya mendapat Hadiah Pelajar Cemerlang Kokurikulum 2009 Negeri Pahang kategori Kejohanan Softball Terbuka Kebangsaan Bawah 16 tahun , Johan Lelaki. Pelajar Johari a/l Yon telah menjadi Johan peringkat Negeri ( pecah rekod ) dan Kebangsaan Lelaki Bawah 18 tahun dan wakil SUKMA 2010 bagi acara Merejam Lembing. SMKTG juga telah menjadi Naib Johan Kejohanan Olahraga Daerah di samping empat orang pelajar telah menjadi wakil daerah dan negeri bagi Sukan Perahu Layar 2010. Pencapaian pelajar dalam kokurikulum perlu diberi sanjungan dan penghargaan oleh pihak sekolah dan menganggap mereka sebagai wira sekolah bagi meningkatkan ‘self- esteem’ mereka. Seterusnya pelajar-pelajar tersebut perlu diberi motivasi supaya tidak mengabaikan pelajaran dan perlu turut cemerlang dalam akademik kerana mereka lebih mudah diterima ke universiti berbanding pelajar lain .
            Pusat Sumber SMKTG amat menyedihkanku kerana prasarana dan jumlah bukunya tidak menggambarkan sekolah yang ada Tingkatan 6 . Terletak di tingkat 2 ( paling atas ), lantai sentiasa berair apabila hujan disebabkan kebocoran termasuk air hujan mengalir melalui suis lampu dan kipas. Situasi  amat  tidak selamat , tidak strategik dan tidak kondusif untuk digunakan. Jumlah buku hanya 8000 buah sedangkan mengikut nisbah pelajar perlu ada 20,000 buah buku. Rupanya setelah diselidik PSS telah diubah tempat 2 kali , juga disebabkan oleh masalah kebocoran yang banyak merosakkan buku-buku. Sayangnya jantung hati sekolah tidak beroperasi sebagaimana sepatutnya. Selepas menghadiri seminar PSS peringkat negeri di BTPN Kuantan pada akhir 2008 aku begitu teruja untuk memartabatkan PSS sekolah. Puas bertanya PPD dan JPN tiada jalan penyelesaian. Akhirnya aku beranikan hati menghantar surat ke KPM bahagian pembangunan memohon peruntukan untuk PSS baharu. Balasan surat amat mendukacitakan kerana tiada peruntukan . Aku membuat surat kedua kepada Bahagian Teknologi Pendidikan KPM dengan melampirkan gambar-gambar PSS lama. Alhamdulillah akhirnya SMKTG dapat PSS baru dengan kos hampir RM 200,000.00 dan keluasan 9 ‘bay‘  berbanding sebelumnya  5 ‘bay‘ . Aku terus mengupayakan GPK 1 ,Guru Media dan kumpulan guru PSS untuk menambahbaik fungsi PSS melalui program seperti lawatan penanda arasa ke sekolah-sekolah terbaik dalam daerah . Gerak gempur program Nilam dijalankan dengan menumpukan perhatian terutama kepada anak-anak guru dan kakitangan sekolah, ibu / bapa masing-masing akan ditanya tentang perkembangan jumlah buku yang dibaca dari semasa ke semasa termasuk semasa cuti panjang.. Akhirnya hasil kolaborasi mereka bintang PSS terus meningkat daripada 2 bintang pada 2007 ke 3 bintang pada 2008 dan 2009 dan akhirnya 4 bintang pada 2010.
          
                Prinsip kerjaku mudah , sebagai pemimpin yang membentuk modal insan ,guru perlu mematuhi semua etika perkhidmatan dan perguruan ,  membuat rancangan pengajaran harian bukannya laporan pengajaran , menepati masa dan bekerja seikhlas hati dengan menganggap pelajar sebagai anak atau adik sendiri. Jika kita komited mengajar anak orang , insyallah orang akan mengajar anak kita dengan penuh komited. Sarananku juga prinsip analisis SWOC/SWOT perlu diterap juga kepada pelajar terutama pelajar menengah atas supaya pemikiran dan tindakan mereka lebih cepat dan tepat untuk  menghadapi persaingan dalam dunia yang semakin mencabar.

0 comments:

Post a Comment