Saturday, June 18, 2011

MEMORI BERSAMA PENGETUA

Oleh
Roslan bin Md Ali

Pada bulan Februari tahun 2009 saya menerima surat penempatan sebagai pengetua di salah sebuah sekolah dalam daerah Jerantut. Saya dikehendaki mula bertugas  bermula awal bulan Mac tahun 2009.  Dengan keyakinan berbekalkan serba sedikit pengalaman bertugas sebagai GPK Hal Ehwal Pelajar dan GPK Pentadbiran selama 13 tahun di dua buah sekolah menengah di daerah Maran, saya melapor diri di PPD Jerantut pada 2 Mac 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada JPN Pahang kerana memberikan peluang dan kepercayaan ini.
Pelbagai teori kepimpinan yang dipelajari melalui kursus, seminar, bahan bacaan dan sebagainya boleh dijadikan sebahagian daripada panduan yang berguna untuk memulakan tugas sebagai pengetua disertai dengan pengalaman selama 13 tahun sebagai GPK.
Namun begitu saya mula mengimbas kembali karektor dan amalan atau tindakan-tindakan pengetua yang boleh saya jadikan teladan dan panduan. Saya mula menyusur masa ke belakang mengimbau kenangan bertugas bersama beberapa orang pengetua. Saya juga mengingati kembali tindakan-tindakan pengetua semasa belajar dalam tahun 70an dahulu di sebuah sekolah dalam daerah Jerantut.
Tahun 2001-2008 saya bertugas sebagai GPK Pentadbiran di sebuah sekolah di Maran. Pengetuanya Pn. N, berjaya menyatukan tenaga dann komitmen guru-guru untuk melaksanakan sesuatu program hingga mencapai matlamat yang ditentukan. Di bawah kepimpinan beliau sekolah ini berjaya mendapat anugerah hingga ke peringkat kebangsaan. Saya tidak mendengar rungutan daripada guru-guru yang tinggal berhampiran sekolah untuk bekerja di luar waktu termasuklah pada waktu malam dan hujung minggu. Saya yakin ini berlaku kerana pengetuanya turut ‘turun padang’  dan bersama dengan guru-guru melakukan kerja-kerja yang ingin disiapkan.

Kekuatan ke 2 yang ada pada pengetua ini ialah beliau sentiasa memastikan persiapan bagi mengadakan sesuatu majlis diatur dengan tersusun rapi. Bagi majlis-majlis di peringkat sekolah sekalipun beliau tetap mahu diadakan raptai dan akan hadir bersama di dalam raptai berkenaan sehingga perjalanan majlis kelihatan lancar.
Kembali ke tahun 2000 sehingga tahun 1993, saya bertugas di sebuah sekolah rancangan khas juga dalam daerah Maran. Banyak juga perkara yang tetap saya ingati sebagai panduan yang berguna. Salah seorang pengetuanya En. Y amat baik pengamatannya dalam menganalisis sesuatu perkara. Beliau seorang yang amat analatikal,  membolehkannya membuat keputusan dan tindakan berasaskan data dan maklumat yang tepat.
Saya masih ingat satu peristiwa di mana seorang guru mengadu mengenai rasa kecewanya apabila kerja-kerjanya tidak diambil tahu oleh seorang pengetua (yang lain) sedangkan En. Y  yang sering menyemak kerja-kerja guru, berbincang dan memberikan sedikit pujian serta galakan kepada mereka. Guru-guru begini merasakan bahawa usaha mereka dihargai oleh pengetua. Sifat prihatin dan ambil tahu ini walaupun nampak seperti sesuatu hal yang kecil tetapi ia sebenarnya akan menggembirakan dan menjadi pencetus motivasi bekerja bagi seseorang.
Sifat prihatin pengetua ini bukan saja terhadap guru-guru, staff sokongan  bahkan juga kepada para pelajar . Ini dapat saya lihat melalui gaya dan pendekatan yang beliau amalkan iaitu pendekatan mendidik dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar, menolak pendekatan menghukum. Dalam satu kes pelajar yang bermasalah disiplin yang sepatutnya boleh dikenakan tindakan ‘buang sekolah’, beliau tidak melaksanakannya sebaliknya cuba memulihkan disiplin pelajar berkenaan dengan cara membawa pelajar berkenaan tinggal bersama beliau bagi satu tempoh tertentu.
Walaupun En. Y  merupakan seorang yang sangat mengambil berat dalam soal akademik namun dalam masa yang sama beliau juga banyak menjalankan usaha-usaha mengindahkan kawasan persekitaran sekolah termasuklah kawasan rumah guru dengan menanam pokok-pokok hiasan yang masih dapat dilihat hingga ke hari ini. Usaha-usaha meningkatkan lagi keceriaan persekitaran sekolah seterusnya disambung pula oleh Hj. OR.
Satu lagi watak manusia yang ramai orang akan menyukainya ialah tidak sombong dan merendah diri. Sifat  ini dimiliki oleh En. W. Hubungan beliau dengan warga sekolah sangat mesra. Pelajar-pelajar memanggilnya dengan panggilan ayahanda,menggambarkan hubungan yang amat baik dan rasa hormat yang tinggi.
Mengimbas kenangan ke tahun 1992 hingga 1987 juga banyak yang dapat dijadikan teladan dalam pengurusan sekolah. Di sebuah sekolah lain, masih dalam daerah Maran, sekolah tempat saya memulakan tugas sebagai seorang guru. Sempat bertugas di bawah 2 orang pengetua. En. IY pengetua saya yang pertama. Beliau seorang yang memahami keperluan dan masalah guru serta mudah membantu. Dalam satu kejohanan olahraga tahunan sekolah saya ditugaskan untuk mendapatkan kain rentang panjang bunga raya. Ketika itu hanya JKR yang memilikinya. Saya berurusan dengan dengan JKR Maran tetapi perlu mengambilnya sendiri di stor JKR Temerloh.
Disebabkan baru bekerja saya tidak mempunyai kenderaan. Perkara ini saya adukan kepada pengetua. Oleh kerana sifat prihatin dan mudah membantu yang ada pada En. IY, lalu beliau meminjamkan keretanya untuk saya mengambil kain rentang tersebut dari stor JKR Temerloh. Rasa lega kerana tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik.
Pengetua selepas beliau iaitu Hj. Z  juga mempunyai keistimewaannya. Beliau amat dikenali di kalangan guru-guru dengan sifat tenang dan tidak mudah marah. Bercakap dengan berhemah dan tidak pernah meninggikan suara kepada guru, staf dan juga pelajar-pelajar.

Dalam memori ini saya hanya mencatatkan beberapa watak dan amalan-amalan yang baik-baik sahaja untuk dikongsi dan menjadikannya sebagai teladan.

Kini sebagai pengetua di sebuah sekolah dalam daerah Maran, saya cuba mengambil teladan dan pegajaran daripada amalan-amalan yang baik. Saya bersyukur ke hadrat Allah swt dan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru dan pengetua-pengetua yang pernah mengajar dan mendidik saya.

0 comments:

Post a Comment