Thursday, June 16, 2011

MENCARI PERSAMAAN DAN MEMAHAMI PERBEZAAN

MENCARI PERSAMAAN DAN MEMAHAMI PERBEZAAN.
Hasil Nukilan.
Norhayati bt Mohamed
SMK Maran 2.


Kini sudah hampir lima tahun genap menjawat jawatan pengetua di SMK Maran 2, walaupun aku rasa seperti baru sahaja diberi mandat ini. Hal ini demikian mungkin kerana aku masih memikirkan tentang cara dan kaedah yang terbaik untuk memajukan sekolah serta memperkasakan anak bangsa. Masih ku ingat semasa dalam perjalanan balik mengikuti rombongan lawatan sambil kerja MPSM daerah Bentong ke dua buah sekolah menengah di negeri Johor dan sebuah Universiti di Pulau Batam, Indonesia . Pada masa itu, aku sedang memangku tugas Pengetua yang telah bertukar ke IAB . Suasana sunyi menyelubungi diriku dek kerana bot penumpang yang kami naikki dipenuhi dengan ahli rombongan yang tertidur disebabkan keletihan dan tiada liputan telefon bimbit sejak sejam perjalanan tersebut. Tiba-tiba bunyi telefon bimbitku telah mengejutkan aku dan ahli rombongan yang lain dari lamunan. Rupa-rupanya ada banyak panggilan yang gagal diterima daripada pejabat sekolah. Sejurus itu, perasaan bimbang menyelubungi dirku, fikiranku jadi tidak keruan, dan jantungku juga berdegup lebih kencang memikirkan keadaan sekolah pada ketika itu. Jam menunjukkan 4.30 petang. Dalam hati aku berdoa kepada Tuhan agar tiada sebarang masalah atau insiden yang berlaku semasa ketiadaanku sama ada di sekolah mahupun asrama. Aku menarik nafas panjang, lalu cuba menghubungi pejabat sekolah namun gagal, kerana talian sangat sibuk. Bila disemak mesej yang masuk “ Tahniah, kita dapat pengetua baru.” daripada Puan Hamidah, Ketua Pembantu Tadbir sekolah kami. Aku menarik nafas lega. Kami meneruskan perjalanan balik dengan menaiki bas yang disewa khas. Aku duduk di bahagian hadapan bas seorang diri,.Aku masih memikirkan lagi perkara tadi dan cuba mencari jawapan yang sebenar. Lama kelamaan , aku terlena sehinggalah bas kami sampai di Bandar Bentong. Mataku yang masih kuyu disebabkan baru sedar dari tidur terbeliak apabila melihat suami tersayang telahpun menunggu untuk menjemputku pulang ke rumah. Semasa di dalam kereta, aku ragu-ragu untuk memberitahu tentang berita yang masih samar ini. Belum sempat aku membuka mulut, suamiku bersuara dan ingin tahu sebab aku berdiam diri. Lalu aku menunjukkan mesej yang diterima daripada Pn Hamidah kepadanya. “Alhamdulillah abang doakan agar berita itu benar, jika tidak pun awak masih memegang jawatan GPK 1 dan tanggungjawabnya ringan sedikit dengan adanya pengetua yang baru itu. Pastikan buat sesuatu yang terbaik, hasilnya sudah tentu baik juga, ok ?..”. ujarnya dengan penuh yakin, . Sebenarnya kekuatan dan kejayaan aku selama ini adalah kerana mempunyai suami yang “ sporting” dan banyak memberi semangat serta dorongan untuk lebih berjaya .


Esoknya, aku ke sekolah dan menjalankan tugas seperti biasa walaupun masih terasa kepenatan. Bila ada masa terluang, mulut aku tidak lengang dari soalan-soalan untuk mendapat kepastian daripada Puan Hamidah tentang perkara yang digosipkan oleh mereka itu. Beliau menegaskan bahawa perkara itu bukan sekadar gosip semata-mata malah dari sumber yang boleh dipercayai. Kemudian, aku terus ke bilik untuk membuka surat dan diminitkan seperti biasa. Pada masa itu barulah terjawab semua persoalan yang berlegar dimindaku. Aku telah dilantik untuk menjawat jawatan Pengetua di SMK Maran 2 mulai 1 Julai 2005. . Aku juga merupakan kumpulan guru DG 44 pertama yang terpilih untuk menjawat jawatan pengetua. Bercerita tentang SMK Maran 2 pula, nampaknya celotehku bukan sekadar gurauan semata-mata kerana sebelum ini, apabila ke Kuantan bersama rakan-rakan jika melalui bandar Maran kerapkali aku berjenaka mengatakan bahawa satu hari nanti aku adalah pengetuanya sambil menunjuk ke arah sekolah tersebut. Terasa macam bermimpi di siang hari. Tidak dapat digambarkan perasaan aku ketika itu. Perasaanku bercampur-baur, terkejut dan terharu ,sedih pun ada kerana terpaksa bertukar dan mungkin akan berjauhan dari suami dan anak-anak buat sementara. Walau bagaimanapun aku tetap bersyukur kerana terpilih dan diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah sekolah di kampungku sendiri. Kata orang hujan emas ditempat orang dan hujan batu di tempat sendiri, aku tetap berbangga dapat berkhidmat dikampung sendiri. Syukur kehadrat Allah swt dengan izinnya aku diberi kesempatan menjawat jawatan ini. Perkara yang berlaku seperti dirancang kerana secara kebetulan aku telah membeli sebuah rumah dan tidak menyangka dapat mendiaminya dalam tempoh yang agak cepat jika dibanding dengan rakan-rakanku yang lain yang masih menetap dirumah sewa atau kuartes guru walaupun sudah hampir penghujung karier mereka. Aku telah hadir melaporkan diri di Pejabat Pelajaran Maran dan memohon penangguhan tugas di SMK Maran 2 kerana urusan serahan tugas yang perlu diselesaikan . Aku juga telah hadir ke Pejabat Pelajaran Daerah Bentong untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan dan tunjuk ajar serta kepercayaan mereka terhadap aku untuk memimpin di sebuah sekolah yang berprestij seperti SMK Seri Bentong sebelum ini..



Menjawat jawatan pengetua tidak semudah yang difikirkan, seperti kata seorang pengetua yang berjaya, Puan Ainun dalam penulisannya yang pernah kubaca komennya “ I am just like a swimming duck, nampak cantik sahaja terapung di permukaan air, tetapi kakinya yang berhempas pulas mengayuh orang tak nampak”. Bagiku pula “Kita jadilah Pengetua seperti mana Pengetua Idaman sebelum kita menjawat jawatan pengetua”. Maksudnya ialah ketika kita berada dibawah pimpinan pengetua, banyak yang diharapkan daripada pengetua tersebut. Oleh itu, aku akan berusaha memenuhi harapan tersebut dan menjadi seorang pengetua seperti mana yang aku idamkan selama ini.. Di harapkan pengalaman dan tunjuk ajar daripada lapan orang mantan Pengetua yang pernah berkhidmat diatasku sebelum ini boleh dijadikan panduan untukku mengurus sekolah di daerah Maran nanti.. Berikutan dengan itu aku mula mengenangkan kembali pengalamanku bersama mereka yang merupakan mentor yang cemerlang dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Pengetuaku yang pertama, agak sukar untuk kukenang , mungkin masa begitu singkat berkhidmat di sekolah tersebut. Kadang- kala kemesraan dan hubungan yang lebih mesra dan dekat sangat penting untuk lebih dingati dan dihayati. Pengetua yang kedua, pula seorang perempuan,Cina yang dikenali sebagai “Iron lady”. Kuat bekerja dan sangat mementingkan disiplin. Tidak kira pelajar mahupun guru akan segera ditegur dan dingatkan tentang tanggungjawab masing-masing.Setiap kali ada perhimpunan, pengetua akan memberi galakan dan pengharapan yang tinggi kepada pelajar dengan kata-kata harapan seperti , “ Kejayaan tercapai apabila peluang disepadukan dengan persiapan dan manusia bukan kekurangan tenaga tetapi mereka kekurangan keazaman”. Keadaan perjalanan sekolah berjalan lancar walaupun ketika ketiadaan beliau di sekolah. .Masing-masing berlumba-lumba menunjukkan kehebatan untuk meraih pujian dan surat penghargaan. Pengetua yang ketiga pula seorang pemidato yang hebat, pandai berbicara dan membuatkan kami selalu bermotivasi dalam melaksanakan tugas. Malah ramai guru-guru senior telah dinaikan pangkat pengetua di sekolah-sekolah sekitar daerah Bentong. Beliau seorang dermawan dan baik hati. Beliau juga pernah menghantar aku ke wad kerana sakit hendak bersalin anak yang ketiga semasa di sekolah. Perkara yang tidak boleh dilupakan dan lucunya ialah semua jururawat menyangka beliau adalah suamiku. Bila mereka diberitahu cerita sebenar, mereka ketawa besar dan mohon maaf dengan suamiku. Kepimpinan beliau yang berkarismatik dan bersituasi sangat member kesan yang positif kepada kemajuan sekolah.
Pengetua yang keempat ini, bagiku adalah yang paling hebat. Beliau akan memastikan dia orang pertama sampai di sekolah dan biasanya memeriksa buku latihan pelajar di kaunter tempat kami menulis buku kehadiran. Beliau juga akan menggariskan buku kehadiran tepat jam 7.30 pagi dengan pen dakwat merah., guru yang lewat hadir sudah tentu akan dipersoalkan atau tunjuk sebab jika kerap kali mengulanginya. Beliau seorang yang mementingkan disiplin, dan mengotakan setiap yang diperkatakannya. Bagi beliau tiada perkara yang mustahil , jika kita berusaha pasti akan tercapai. Oleh itu, kita perlu bersabar dan gigih berusaha.. Aku sendiri pernah dicerap tiga hari berturut-turut dan beberapa kali setahun .Rupa-rupanya tahun itu aku telah dicalonkan dan telah dianugerahkan APC ( Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ). Kami sentiasa dimaklumkan tentang prestasi masing-masing. Kami sangat bermotivasi dan bersemangat semasa bekerja. Namun sebaliknya bagi guru yang malas dan bermasalah akan sentiasa dipantau dan diselia. Beliau juga seorang yang agresif dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengetua. Beliau suka membangkitkan kesedaran bidang-bidang yang boleh seseorang individu memberi sumbangan. Mereka tidak merasakan yang mereka dikerah atau diarah. Ringkasnya beliau adalah penggerak yang menyokong pelbagai sumbangan perubahan, pelaksana idea baru. Guru dapat rasakan yang mereka boleh menyumbang dan perubahan yang mereka ingin bawa dihargai dan menyumbang kepada kemajuan sekolah.. Pengetua selalunya menekankan ‘ Orang atau institusi yang berjaya mesti sentiasa selangkah kehadapan’.
Kemudian aku ditukarkan ke sekolah yang baru, pada masa yang sama diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Rupa-rupanya Pengetua juga baru dilantik dan bertukar disekolah itu. Pengetua yang kelima ini masih muda dan perwatakannya tegas tetapi pandai mengambil hati . Beliau menumpukan perhatian penuh dan member komitmen yang penuh terhadap tugasnya. Banyak masa diluangkan untuk memajukan sekolah walaupun diluar waktu kerja. Ini menjadi ikutan guru dan kakitangan sekolah. Beliau juga antara orang yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepadaku dalam penggunaan komputer. Sebelum ini aku sangat takut dan masih mentah dalam menggunakan komputer. Beliau juga telah mengadakan kelas komputer kepada guru dan pelajar semasa cuti sekolah. Sejak itu aku sangat berminat dan pandai menggunakan komputer. Walau bagaimanapun, khidmat beliau disekolah tersebut tidak lama dan beliau ditukarkan ke sebuah sekolah di daerah lain. Beliau kemudian digantikan dengan seorang pengetua yang baru. Pengetua yang keenam ini mempunyai kelulusan dalam bidang psikologi dan ini membantu beliau mendekati staf dan para pelajar dengan lebih berkesan. Setiap kerja dan sumbangan staf mendapat perhatian dan penghargaan . Setiap projek yang hendak dijalankan dengan perancangan yang begitu rapi dan setiap staf diberi bimbingan yang cukup jelas berkenaan deangan tugas yang akan dilaksanakan., terutama dalam pengurusan disiplin pelajar. Beliau sendiri akan turut serta dalam semua tindakan. Akhirnya sekolah tersebut telah berjaya mencapai lonjakan saujana dengan 99.4% lulus SPM tahun 1986. Sebagai ganjaran, sekolah itu telah mendapat peruntukan pembinaan dua buah bangunan tiga tingkat yang baru daripada Jabatan Negeri Pahang Pahang. Beliau kemudiannya terpilih untuk bertugas di PPD dan GPK 1 pada masa itu telah dilantik sebagai pengetua yang baru. .Pengetua yang ketujuh ini pula seorang yang bersikap terbuka, mudah didekati, senang berbincang dan amat menghormati serta saling mempercayai antara satu sama lain. Sesi perbincangan dijadikan sebagai amalan dan keadaan ini telah mewujudkan budaya sekolah yang harmoni berteraskan semangat keupayaan dan kekitaan yang tinggi dikalangan warga sekolah. Aku kemudianya ditukarkan ke sebuah sekolah sebagai GPK 1 dan malangnya jawatan pengetua yang bersara masih belum diisi. Berikutan dengan itu aku diminta untuk memangku jawatan tersebut. Lebih kurang empat bulan selepas itu, kami menyambut kehadiran pengetua yang baru. Pengetua yang ke lapan ini pula seorang berkelulusan peringkat tertinggi dalam bidang keguruan. Pengetua ini menunjukkan ciri-ciri tegas dan mempunyai hala tuju yang jelas. Beliau juga bijak berkongsi cara untuk memimpin. Beliau bekerjasama dengan pemimpin peringkat pertengahan seperti ketua Bidang, panitia untuk menyampaikan dan menjelaskan maklumat arahan serta teguran yang beliau buat kepada staf-staf yang lain. Beliau juga sentiasa meletakkan harapan yang tinggi tetapi realistik untuk mencapai matlamat. Aspek pemantauan merupakan antara agenda penting pengetua dalam bidang pengurusan. Pendekatan management by walking about (MBWA ) dan Management by objective (MBO) merupakan cara pengetua ini memantau setiap penjuru sekolah untuk mendapat maklumat yang tepat mengenai prestasi sekolah secara keseluruhannya.
Kesimpulanya, sebagai Pengetua yang menjadi peneraju kepimpinan sekolah, haruslah mampu membawa perubahan dan memberi impak kepada sekolah secara keseluruhannya. Keilmuan dan kemahiran diikuti dengan sikap yang positif sememangnya membantu meningkat prestasi sekolah. Keduanya, pengetua perlu memberi keutamaan untuk mengurangkan masalah disiplin pelajar kerana proses pengajaran dan pembelajaran tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan jika pelajar tidak mempunyai disiplin yang tinggi. Seterusnya, pemuafakatan yang menyeluruh oleh warga sekolah termasuk pengetua, guru pelajar,ibu bapa, agensi luar PPD dan JPN berjaya menempatkan SMK Maran 2 telah berjaya memperolehi anugerah dan menjadi penanda aras dalam program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah dan Penganjuran Hari Koperasi Sekolah di Malaysia .Kejayaan yang diperolehi bukanlah satu usaha yang berlaku sekelip mata. Pencapaian prestasi akademik sekolah ini juga memberansangkan, kami berbangga kerana sudah ada pelajar mendapat semua A dalam peperiksaan PMR dan SPM dan peratus lulus serta GPS turut meningkat dari tahun ke tahun. Begitulah proses pengabungjalinan idea dan kemahiran yang diperolehi hasil latihan yang diikuti dari semasa ke semasa dapat meningkatkan kecemerlangan diri dan sekolah. Semoga proses pencarian persamaan dan memahami perbezaan mentor-mentor membantu aku mengurus sekolah dan mendapat kecemerlangan di dunia dan di akhirat .Insyaallah.

0 comments:

Post a Comment